Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

27 Jun 2023

Perkembangan teknologi, terutamanya dalam bidang komunikasi dan penyampaian maklumat sememangnya memberi banyak manfaat kepada pengguna. Situasi ini menjadi semakin mudah dengan kemunculan pelbagai platform media baharu seperti media sosial dan aplikasi permesejan segera (instant messaging) dalam telefon pintar. Informasi dapat diperoleh dengan pantas dan kemudiannya dapat pula dikongsikan kepada orang lain. Maklumat berkaitan pelbagai perkara, termasuk isu kesihatan dan perubatan dapat disebarkan ke seluruh dunia dengan penggunaan teknologi ini.

 

Kesan penyebaran maklumat tidak sahih

 

Namun begitu, penyebaran maklumat yang pantas ini boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab dan akhirnya mencetuskan perkara yang tidak diingini. Misalnya, terdapat sesetengah pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan ubat-ubatan. Penyebaran informasi yang tidak tepat ini telah menyebabkan segelintir individu terpedaya dan akhirnya mempengaruhi cara mereka mengambil ubat-ubatan. Antara maklumat palsu yang kerap ditularkan termasuklah berkaitan bahaya pengambilan ubat-ubat penyakit kronik yang didakwa dapat menyebabkan kerosakan buah pinggang. Informasi yang salah ini mengelirukan pesakit-pesakit kronik hingga mereka bimbang untuk meneruskan rawatan.

Bukan itu sahaja, impak penularan maklumat tidak sahih menjadi lebih serius sekiranya berita palsu tersebut berkaitan dengan pandemik. Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organization, WHO) mendefinisikan situasi kebanjiran informasi tidak sahih yang disebarkan secara meluas melalui pelbagai cara dan medium ketika sesuatu wabak melanda sebagai infodemik. WHO menekankan bahawa infodemik harus dikawal dan ditangani secara efektif kerana penularannya dibimbangi memberi kesan yang sama buruk seperti pandemik yang sebenar. Sebagai contoh, berita palsu tentang jangkitan, rawatan dan langkah pencegahan wabak COVID-19 telah menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan orang awam. Malah, informasi yang mengelirukan tentang vaksin COVID-19 telah menyebabkan sesetengah individu menolak untuk mendapatkan suntikan vaksin ini.

 

Sumber-sumber untuk mendapatkan maklumat sahih tentang ubat-ubatan

 

Kesan negatif kepada kesihatan akibat penyebaran berita palsu menunjukkan bahawa orang awam harus lebih berhati-hati dalam mendapatkan informasi berkaitan ubat-ubatan. Orang awam dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat kesihatan daripada sumber yang mempunyai kredibiliti agar informasi yang diperoleh adalah lebih berkualiti dan boleh dipercayai. Sumber yang paling mudah bagi mendapatkan maklumat kesihatan dan ubat-ubatan ialah ahli profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi yang terlibat dalam rawatan pesakit sendiri.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyediakan perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) yang menerima dan menjawab pertanyaan orang awam tentang ubat-ubatan. Orang awam boleh mengemukakan pertanyaan kepada pegawai yang bertugas melalui talian bebas tol 1-800-88-6722. NPCC beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, setiap Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum).

 

Laman web dan portal agensi di bawah KKM turut menyediakan informasi yang berguna dan sahih untuk rujukan orang awam. Antara laman web dan portal yang boleh dilawati termasuklah laman web Kenali Ubat Anda, laman web Info Sihat dan portal MyHealth. Bukan itu sahaja, orang awam juga kini boleh mendapatkan maklumat kesihatan dan ubat-ubatan melalui media sosial. Sebagai contoh, laman Facebook Duta Kenali Ubat Anda, Instagram dan Tiktok Kenali Ubat Anda serta akaun Youtube rasmi Program Perkhidmatan Farmasi sentiasa memuat naik berbagai-bagai informasi tentang ubat-ubatan untuk rujukan orang awam. Maklumat yang dikongsikan melalui laman web, portal dan media sosial rasmi agensi KKM ini terdapat dalam pelbagai bentuk, contohnya artikel, infografik, poster dan video.

 

Tidak sekadar itu, maklumat ubat-ubatan disampaikan juga melalui slot bual bicara melalui pelbagai saluran radio dan televisyen. Tetamu jemputan yang terdiri daripada ahli profesional kesihatan diundang untuk membincangkan topik-topik kesihatan dan ubat-ubatan yang relevan dengan isu semasa. Tip dan nasihat yang berguna untuk orang awam akan dikongsikan pada setiap sesi bual bicara ini.

 

Nasihat untuk orang awam

 

Penyebaran informasi yang salah merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Segelintir individu sengaja berkongsi berita yang diketahui tidak benar semata-mata untuk menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Oleh sebab itu, orang awam yang menerima informasi yang meragukan daripada sumber yang tidak berkredibiliti hendaklah sentiasa menyemak maklumat tersebut terlebih dahulu dan mendapatkan penjelasan sebenar daripada pihak yang sepatutnya. Elakkan daripada menyebarkan informasi tersebut kepada orang lain sebelum kesahihan maklumat dapat dipastikan.

 

Selain itu, orang awam disarankan untuk lebih memanfaatkan portal Sebenarnya.my yang diselia oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membuat pengesahan informasi tidak sahih yang diterima. SKMM juga menggalakkan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat yang meragukan melalui ruangan “Salur Kepada Kami” di portal tersebut. Maklumat-maklumat tidak sahih ini kemudiannya akan dipanjangkan kepada kementerian dan agensi yang berkaitan untuk dibuat pengesahan.

 

Orang awam juga boleh mengemukakan aduan kepada pihak SKMM sekiranya mengetahui mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu dalam media sosial. Aduan boleh dikemukakan melalui portal aduan, panggilan telefon, mesej atau e-mel. Maklumat lanjut tentang tatacara membuat aduan boleh dirujuk daripada portal rasmi SKMM. 

 

Penutup

 

Kemudahan teknologi yang membolehkan informasi disampaikan secara pantas dan meluas hendaklah digunakan dengan cara yang sepatutnya. Orang awam berperanan dalam membantu mengekang berita palsu daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman