Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

13 Oktober 2023

Antikoagulan atau lebih dikenali sebagai ubat pencair darah merupakan ubat yang diberikan kepada pesakit yang mempunyai masalah pembekuan darah. Antikoagulan bertindak dengan cara mengurangkan risiko pembekuan yang tidak  normal di dalam saluran darah dan mengelakkan darah beku yang telah terbentuk menjadi lebih besar. Penggunaan antikoagulan telah terbukti berkesan untuk pencegahan dan rawatan deep vein thrombosis, dan pulmonary embolism serta mengurangkan risiko strok dalam kalangan pesakit yang mengalami atrial fibrillation (degupan jantung tidak teratur). 

 

Terdapat dua kumpulan utama antikoagulan yang diambil secara oral. Salah satu kumpulan tersebut ialah antagonis vitamin K, contohnya seperti warfarin. Satu lagi kumpulan pula ialah antagonis bukan vitamin K. Antikoagulan daripada kumpulan ini turut dikenali sebagai direct oral anticoagulants (DOACs).

 

Faktor yang perlu diambil kira bagi pengambilan warfarin

 

Sejak diperkenalkan pada 1954, warfarin merupakan antara rawatan untuk mencegah atau merawat pembentukan darah beku. Namun begitu, penggunaan warfarin memerlukan pemantauan ujian darah yang dikenali sebagai International Normalized Ratio (INR) secara berkala. Bacaan INR pesakit perlu berada dalam julat yang disasarkan untuk memastikan keberkesanan warfarin dan mengelakkan risiko pendarahan.

 

Selain itu, warfarin juga diketahui berisiko untuk berinteraksi dengan pelbagai jenis makanan dan ubat-ubatan lain. Sebagai contoh, kesan terapeutik warfarin dipengaruhi oleh pengambilan vitamin K melalui diet seharian memandangkan mekanisme tindakan warfarin yang menghalang fungsi vitamin K dalam proses pembekuan darah. Pesakit yang mengambil warfarin perlu mengawal pengambilan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin K untuk mengelakkan interaksi vitamin ini dengan warfarin. 

 

Direct Oral Anticoagulants (DOACs)

 

Hasil kajian dan teknologi farmaseutikal, antikoagulan generasi baharu iaitu DOACs telah diperkenalkan sebagai alternatif kepada warfarin. DOACs mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza dan cara penggunaannya lebih memudahkan pesakit. Sehingga kini, empat DOACs telah didaftarkan dan berada dalam pasaran iaitu dabigatran, edoxaban, apixaban, dan rivaroxaban. 

 

DOACs terbukti berkesan untuk menghalang pembentukan darah beku. Kesan antikoagulan yang lebih konsisten membolehkan pesakit mengambil dos ubat yang tetap tanpa memerlukan pemantauan nilai INR. Pesakit juga tidak perlu mengubah suai diet seharian memandangkan DOACs tidak dipengaruhi oleh vitamin K. Di samping itu, DOACs juga menghasilkan kesan yang lebih pantas dan mempunyai risiko interaksi dengan ubat-ubatan lain yang lebih rendah.

 

DOACs perlu diambil mengikut dos yang telah diarahkan. Kebiasaannya, dos bagi dabigatran dan apixaban adalah dua kali sehari dan boleh diambil sama ada sebelum atau selepas makan pada waktu yang sama setiap hari. Rivaroxaban pula perlu diambil sekali sehari sejurus selepas makan untuk meningkatkan kadar keberkesanannya. 

 

Penilaian doktor dalam pemilihan antikoagulan

 

Penilaian profesional oleh doktor amat penting dalam pemilihan rawatan antikoagulan. Beberapa faktor akan dinilai terlebih dahulu seperti fungsi buah pinggang, ubat-ubatan lain yang diambil, sejarah dan risiko pendarahan, umur, tahap pematuhan ubat, kos dan keperluan ubat pencair darah jenis lain. Penilaian ini memastikan rawatan yang bersesuaian dan optimum dapat diberikan kepada pesakit.  

 

Nasihat untuk pesakit

 

Pesakit dinasihatkan agar tidak mengubah suai dos atau berhenti mengambil ubat antikoagulan tanpa nasihat doktor. Tindakan ini tanpa sebab yang munasabah akan meningkatkan risiko pembekuan darah atau strok. 

 

Selain itu, pesakit hendaklah memaklumkan doktor, doktor gigi atau ahli farmasi bahawa mereka sedang mengambil DOACs apabila menghadiri janji temu perubatan, setiap kali sebelum menjalani pembedahan atau prosedur pergigian, serta apabila ingin membeli sebarang ubat-ubatan. Pesakit juga harus memberitahu doktor atau ahli farmasi sekiranya sedang hamil, bercadang untuk hamil atau menyusukan bayi. Jika terdapat pertanyaan atau kekeliruan tentang DOACs, pesakit disaran untuk bertanya kepada ahli profesional kesihatan. Bukan itu sahaja, pesakit harus hadir setiap kali janji temu dengan doktor.

 

Pendarahan merupakan antara kesan sampingan yang mungkin berlaku selepas pengambilan antikoagulan seperti DOACs. Pesakit dinasihati agar sentiasa peka akan sebarang tanda atau gejala pendarahan, seperti lebam secara tiba-tiba, pendarahan pada gusi dan hidung, sakit atau ketidakselesaan perut, serta pendarahan yang banyak atau berpanjangan semasa haid. Pesakit harus mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya keadaan ini berlarutan atau menjadi semakin serius. Di samping itu, pesakit perlu memaklumkan doktor atau ahli farmasi jika mendapati air kencing bertukar warna kemerahan atau keperangan, ataupun jika warna najis berubah menjadi merah, coklat gelap atau hitam.

 

Setiap DOACs, terutamanya dabigatran perlu disimpan di dalam pek pembungkusan asal untuk mengelakkannya terdedah kepada kelembapan. Ubat ini tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam kotak pil. Apabila setiap waktu pengambilan DOACs, keluarkan hanya sebiji kapsul daripada pek pembungkusan. Perkara ini penting untuk membantu mengekalkan kualiti dan keberkesanan DOACs yang selebihnya.

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat ini, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman