Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

1 Jun 2023

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan berdepan fenomena El Nino sehingga September. Fenomena ini mengakibatkan jumlah hujan yang turun akan berkurangan serta cuaca menjadi panas dan kering. Keadaan ini dikhuatiri dapat memberi kesan kepada tahap kesihatan orang ramai. Tambahan pula, baru-baru ini seorang kanak-kanak telah dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba. Oleh sebab itu, orang ramai harus didedahkan tentang penyakit berkaitan haba, termasuklah tentang punca, faktor risiko dan langkah pencegahannya.

 

Kelesuan haba (heat exhaustion) dan strok haba (heat stroke)

 

Kelesuan haba (heat exhaustion) dan strok haba (heat stroke) merupakan dua keadaan utama yang tergolong sebagai penyakit berkaitan haba. Kedua-dua keadaan ini berlaku apabila seseorang individu terdedah kepada suhu tinggi secara berterusan hingga menyebabkan dehidrasi. Sekiranya tidak dirawat segera, seseorang yang mengalami kelesuan haba berisiko untuk mendapat strok haba, iaitu apabila suhu badannya meningkat secara drastik, hingga melebihi 41 darjah Celcius

 

Individu yang mengalami penyakit berkaitan haba mungkin mengalami tanda dan simptom seperti kulit menjadi kemerah-merahan, sakit kepala, loya dan muntah-muntah, gangguan penglihatan, tekanan darah rendah, serta rasa gelisah dan keliru. Selain itu, tanda-tanda tambahan yang lebih serius seperti perubahan rentak jantung (arrhythmia), pernafasan tercungap-cungap (hyperventilation), pengumpulan cecair dalam peparu, kegagalan buah pinggang dan hati, sawan serta koma pula mungkin berlaku kepada seseorang yang mengalami strok haba. 

 

Punca serta faktor risiko bagi kelesuan haba dan strok haba

 

Kedua-dua keadaan ini terjadi apabila seseorang terdedah kepada kombinasi beberapa faktor risiko secara berpanjangan. Melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas dan kering dalam tempoh yang lama merupakan punca utama penyakit berkaitan haba. Di samping itu, kelesuan dan strok haba turut dikaitkan dengan umur seseorang, iaitu kanak-kanak berusia empat tahun atau kurang dan warga emas adalah lebih berisiko.

 

Bukan itu sahaja, kemungkinan mengalami penyakit berkaitan haba meningkat sekiranya seseorang individu menghidap penyakit seperti diabetes, hipertensi dan sakit jantung, atau sedang mengambil ubat-ubatan yang mudah menyebabkan dehidrasi. Selain itu, individu yang berlebihan berat badan, merokok atau mengambil alkohol secara kronik juga berisiko lebih tinggi mengalami kelesuan atau strok haba. Masalah fungsi hati dan buah pinggang juga merupakan faktor risiko bagi sesetengah individu lain. 

 

Penggunaan ubat yang meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba

 

Sesetengah ubat berkemungkinan menyebabkan kesan peningkatan suhu badan melalui beberapa mekanisme tindakan. Peningkatan suhu badan boleh terjadi akibat kesan sesuatu ubat terhadap pusat pengawalan suhu badan di otak, daya jantung mengepam darah (cardiac output), pengembangan atau penguncupan salur darah (vasodilation or vasoconstriction), kadar perpeluhan, fungsi buah pinggang serta status hidrasi dan elektrolit tubuh. Walau bagaimanapun, kesan peningkatan suhu badan turut dipengaruhi faktor persekitaran atau tahap kesihatan seseorang. Bahkan, terdapat juga kemungkinan bahawa penyakit berkaitan haba boleh berlaku walaupun seseorang itu tidak mengambil sebarang ubat-ubatan.

 

Antara ubat yang berisiko menyebabkan peningkatan suhu badan ialah ubat daripada kumpulan diuretik, beta blocker dan calcium channel blockers. Ubat-ubat ini digunakan dalam rawatan hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang lain. Ubat kumpulan diuretik berpotensi menyebabkan dehidrasi manakala ubat beta blocker dan calcium channel blockers memberi kesan kepada denyutan nadi dan kemampuan jantung mengepam darah. Selain ubat diuretik, dehidrasi mungkin berlaku kepada individu yang mengambil ubat sembelit atau julap secara berpanjangan. Hal in kerana ubat jenis ini menyebabkan penyingkiran air secara berlebihan daripada tubuh.

 

Selain itu, risiko mengalami penyakit berkaitan haba turut dipengaruhi oleh pengambilan ubat-ubatan yang bertindak ke atas sistem saraf pusat. Contoh ubat-ubat ini ialah ubat kumpulan antipsikotik, benzodiazepine serta ubat antikemurungan seperti lithium, selective serotonin reuptake inhibitor dan tricyclic antidepressants. Kebanyakan ubat daripada kumpulan-kumpulan ini memberi kesan kepada pusat pengawalan suhu badan di otak dan mempengaruhi cara tubuh bertindak terhadap perubahan suhu badan. Kedua-dua kesan ini memperlahankan proses penyejukan secara semula jadi oleh tubuh.

 

Alkohol dan ubat kumpulan antihistamin juga berkemungkinan untuk meningkatkan suhu badan. Alkohol yang diambil secara berlebihan dapat mengganggu daya penumpuan dan kebolehan seseorang mentafsir rangsangan haba serta menyebabkan pengembangan salur darah. Antihistamin yang sering digunakan untuk gejala alahan dan selesema pula akan menyebabkan kesan penguncupan salur darah dan seterusnya melambatkan proses penyejukan semula jadi tubuh Selain ubat-ubatan, pengambilan produk untuk penurunan berat badan, seperti carnitine dan ekstrak teh hijau pula berupaya untuk meningkatkan penghasilan haba dalam tubuh. Kesan ini terhasil akibat peningkatan kadar metabolisme tubuh. 

 

Nasihat untuk pesakit dan orang awam

 

Walaupun beberapa jenis ubat diketahui dapat meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba, pengambilan ubat-ubat tersebut masih perlu diteruskan mengikut arahan doktor atau ahli farmasi. Pesakit tidak sepatutnya mengurangkan dos atau berhenti mengambil ubat tersebut sendiri. Ini terutama bagi ubat-ubatan penyakit kronik. Sekiranya terdapat kerisauan tentang kemungkinan mengalami penyakit berkaitan haba, pesakit dinasihatkan supaya berbincang dan mendapatkan pandangan doktor yang merawat.

 

Di samping itu, pesakit disaran untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit berkaitan haba. Antara perkara utama yang boleh dilakukan termasuklah memastikan tahap hidrasi tubuh sentiasa mencukupi. Selain air kosong, minuman isotonik tanpa gula boleh dijadikan pilihan kerana minuman ini dapat membantu mengembalikan elektrolit dan mineral yang diperlukan oleh tubuh. Pengambilan minuman yang manis, yang mengandungi kafein dan alkohol hendaklah dikurangkan.

 

Pesakit juga dinasihatkan agar mengehadkan atau mengurangkan tempoh dan intensiti aktiviti luar yang hendak dilakukan. Jika boleh, jadualkan aktiviti tersebut pada waktu yang lebih redup. Sekiranya perlu keluar dari rumah, penggunaan produk pelindung cahaya matahari (sunscreen) sangat digalakkan. Krim pelindung cahaya matahari dengan SPF15 atau lebih, contohnya, dapat membantu melindungi kulit daripada terik cahaya matahari. Sapukan krim ke bahagian tubuh yang terdedah kepada cahaya matahari sebelum keluar dari rumah. Penggunaan secara konsisten dapat memberi kesan perlindungan yang lebih efektif. Selain itu, penggunaan payung dan topi juga digalakkan.

 

Kesimpulan

 

Selain faktor persekitaran dan keadaan tubuh, penyakit berkaitan haba boleh terjadi disebabkan pengambilan sesetengah ubat tertentu. Sehubungan dengan itu, individu yang sedang mengambil ubat-ubat ini hendaklah mendapatkan pandangan ahli profesional kesihatan untuk memastikan ubat dapat diambil untuk rawatan penyakit, di samping mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba. Pesakit juga dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan.

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman