Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

10 Julai 2023

Kebelakangan ini, penggunaan produk pelindung suria dilihat semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat. Produk ini menjadi salah satu daripada produk kosmetik yang sering dibeli dan digunakan, terutamanya oleh pengguna wanita. Penggunaan produk pelindung suria sememangnya memberi manfaat kepada pengguna, contohnya seperti mengelakkan selaran matahari (sunburn), membantu melambatkan tanda-tanda penuaan dan mengurangkan risiko kanser kulit. 

 

Namun begitu, manfaat ini hanya dapat diperoleh sekiranya produk pelindung suria digunakan dengan cara yang betul dan bersesuaian dengan keperluan khusus pengguna. Oleh sebab itu, pengguna harus mengetahui kaedah yang tepat untuk memilih produk pelindung suria dan cara yang betul untuk menggunakan produk tersebut.

 

Faktor-faktor yang harus dipertimbang apabila memilih produk pelindung suria

 

Pengguna disaran agar mengambil kira beberapa faktor apabila memilih produk pelindung suria yang hendak digunakan bagi memastikan produk tersebut memberi kesan yang optimum. Antara faktor tersebut termasuklah:

 

  1. Bentuk sediaan dan kandungan produk pelindung suria

 

Produk pelindung suria yang terdapat dalam pasaran boleh didapati dalam beberapa bentuk sediaan seperti krim, losen dan penyembur. Selain bentuk sediaan, produk ini juga mungkin berbeza dari segi kandungan bahan. Pemilihan bentuk sediaan dan kandungan yang bersesuaian dengan jenis kulit pengguna dapat meningkatkan keberkesanan produk pelindung suria. 

 

Sebagai contoh, pengguna yang mempunyai kulit kering dicadangkan untuk memilih produk dalam bentuk krim yang mengandungi bahan bersifat pelembab, seperti ceramide, gliserin dan asid hyaluronik. Produk dalam bentuk sediaan gel atau losen yang berasaskan air (water-based) pula lebih bersesuaian untuk kulit jenis berminyak. Kulit jenis ini juga boleh memanfaatkan produk yang mengandungi bahan-bahan seperti teh hijau, minyak tea tree atau niacinamide

 

  1. Spektrum liputan produk pelindung suria

 

Secara mudahnya, spektrum liputan bermaksud kebolehan sesuatu produk pelindung suria melindungi kulit pengguna daripada sinaran ultraviolet (UV). Dua jenis sinaran UV yang perlu dielakkan ialah UVA dan UVB kerana kedua-duanya memberikan kesan yang tidak diingini kepada kulit. Oleh sebab itu, pengguna disaran untuk menggunakan produk pelindung suria dengan spektrum liputan yang luas kerana produk ini dapat melindungi kulit daripada sinaran UVA dan UVB.

 

  1. Kandungan Faktor Pelindung Suria (Sun Protection Factor, SPF)

 

Salah satu perkara lagi yang mempengaruhi keberkesanan produk pelindung suria ialah kandungan Faktor Pelindung Suria (Sun Protection Factor, SPF). Secara ringkasnya, SPF merujuk tempoh perlindungan daripada produk pelindung suria sebelum kulit mengalami selaran matahari. Contohnya, produk yang mempunyai SPF 30 dapat mengelakkan selaran matahari pada kulit 30 kali lebih lama berbanding tempoh untuk selaran matahari terjadi tanpa sebarang perlindungan pada kulit. 

 

Pemilihan SPF bergantung kepada jangka masa seseorang itu terdedah kepada sinaran matahari. Pakar dermatologi menyarankan penggunaan produk pelindung suria dengan SPF sekurang-kurangnya 30 untuk perlindungan yang lebih baik. Individu yang perlu berada lebih lama di bawah sinaran matahari harus memilih produk dengan SPF yang lebih tinggi. 

 

  1. Kandungan yang memberi kesan kalis air (water-resistant)

 

Apabila produk pelindung suria yang disapu pada kulit terdedah kepada air, keberkesanannya akan mula berkurang. Walau bagaimanapun, terdapat produk yang diformulasi agar bersifat kalis air bagi suatu tempoh tertentu. Tempoh ini dinyatakan pada label pembungkusan dan kebanyakan produk mempunyai tempoh kalis air dalam julat 40 hingga 80 minit. 

 

Selepas tempoh ini berakhir, produk pelindung suria perlu disapu semula untuk mengekalkan perlindungan kepada kulit. Pengguna yang terdedah kepada sinaran matahari dan pada masa yang sama berada di lokasi yang memungkinnya terkena air yang banyak, seperti di pantai atau sungai, disaran menggunakan produk dengan formulasi kalis air ini. Perkara ini juga haruslah diberi perhatian oleh individu yang mudah berpeluh kerana peluh yang banyak juga dapat mengurangkan keberkesanan produk pelindung suria.

 

Cara penggunaan produk pelindung suria yang betul

 

Selain faktor-faktor pemilihan produk yang perlu diambil kira, keberkesanan produk pelindung suria turut dipengaruhi oleh cara penggunaannya. Yang berikut merupakan cara penggunaan produk pelindung suria yang digalakkan:

 

  1. Produk pelindung suria hendaklah disapu pada kulit 15-30 minit sebelum seseorang individu terdedah kepada sinaran matahari. Cara ini dapat memberi masa untuk produk meresap ke dalam kulit dan menghasilkan perlindungan yang maksimum. 

 

  1. Sapu kuantiti produk pelindung suria yang secukupnya untuk keseluruhan kulit muka dan tubuh, termasuk pada bahagian tubuh yang tersorok. 

 

  1. Penggunaan produk pelindung suria setiap hari sangat digalakkan. Produk ini juga hendaklah disapu setiap 2-3 jam selepas sapuan pertama untuk memastikan keberkesanan yang berterusan. 

 

Nasihat kepada pengguna dan orang awam

 

Pengguna hendaklah memastikan produk pelindung suria yang yang digunakan bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi produk yang hendak digunakan melalui fungsi Product Search di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmacy Regulatory Agency, NPRA) atau aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar. 

 

Di samping itu, untuk mengekalkan kestabilan kandungan yang terdapat dalam produk pelindung suria, produk ini perlu disimpan dengan cara yang betul, iaitu jauh daripada cahaya matahari dan suhu yang terlalu tinggi. Produk pelindung suria yang hendak digunakan juga harus dipastikan tidak melepasi tarikh luput yang dicetak pada label. Produk yang telah luput dikhuatiri telah menjadi tidak stabil dan berkemungkinan tidak dapat memberikan perlindungan seperti yang dikehendaki.

 

Pengguna boleh mendapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli profesional kesihatan, seperti doktor dan ahli farmasi sekiranya mempunyai persoalan tentang cara memilih, menggunakan atau menyimpan produk pelindung suria. Keberkesanan yang optimum dapat diperoleh dengan pemilihan dan penggunaan produk  yang betul seperti yang disarankan kepada pengguna. 

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman