Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

3 Oktober 2023

Tidur ialah satu proses rehat semula jadi yang penting untuk kesihatan tubuh manusia. Tidur bukan sahaja merehatkan badan, malah secara tidak langsung berperanan dalam mengawal selia metabolisme tubuh, menguatkan sistem imuniti dan daya ketahanan serta membantu mengurangkan risiko penyakit kronik. Oleh sebab itu, seseorang individu harus mendapat tidur yang berkualiti. Kualiti tidur dapat mempengaruhi tahap produktiviti serta fungsi fizikal dan mental seseorang pada keesokan harinya. Namun, terdapat sebahagian daripada masyarakat yang mengalami masalah berkaitan tidur yang lebih dikenali sebagai insomnia.

 

Tanda-tanda, implikasi dan faktor risiko bagi insomnia

 

Insomnia menyebabkan seseorang individu mengalami kesukaran untuk tidur. Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature and Science of Sleep pada tahun 2021, hampir 55% daripada keseluruhan responden melaporkan bahawa mereka mendapat kurang daripada tujuh jam tidur sehari. Terdapat juga laporan akhbar yang melaporkan bahawa 9 daripada 10 orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berkaitan tidur dan hanya tidur 6.3 jam sehari secara purata. Statistik ini merupakan hasil tinjauan yang dilakukan pada 2018 oleh sebuah syarikat penganalisis data terkemuka.  

 

Sukar memberi tumpuan, fungsi kognitif yang lemah, kurang bertenaga dan gangguan emosi merupakan sebahagian daripada tanda-tanda dan implikasi bagi insomnia. Di samping itu, insomnia juga boleh menyumbang kepada peningkatan risiko obesiti, ketidakseimbangan hormon, kurang imuniti badan serta penyakit mental, diabetes dan kardiovaskular. Beberapa perkara telah dikenal pasti sebagai faktor risiko bagi insomnia seperti umur, jantina, keadaan persekitaran, pekerjaan, gaya hidup dan tahap stres. 

 

Fungsi melatonin untuk kitaran tidur manusia

 

Melatonin merupakan sejenis hormon yang terdapat di dalam badan manusia. Hormon ini dirembeskan oleh kelenjar pineal pada waktu malam dan berfungsi mengawal kitaran tidur dan bangun. Melatonin membantu seseorang individu untuk tidur yang turut dipengaruhi oleh kualiti dan konsistensi rehat. Namun begitu, penghasilan melatonin oleh tubuh mula berkurang dengan peningkatan usia.

 

Melatonin juga boleh diperoleh daripada sumber makanan seperti pisang, plum, anggur, nasi, bijirin, herba, nanas, oren dan minyak zaitun. Apabila seseorang individu mengambil makanan-makanan yang tinggi kandungan melatonin, paras melatonin dalam darahnya juga akan meningkat dengan ketara.

 

Risiko penggunaan produk mengandungi melatonin yang tidak berdaftar

 

Dari sudut undang-undang di Malaysia, sediaan ubat-ubatan yang mengandungi melatonin dikelaskan dalam Kumpulan C (Jadual Pertama Akta Racun 1952) yang membolehkan produk melatonin dibekalkan oleh ahli farmasi, doktor, doktor gigi dan doktor veterinar yang berdaftar dan berlesen. Walau bagaimanapun, masih tiada produk melatonin diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk penggunaan di Malaysia hingga kini. Malah, beberapa negara lain seperti United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah, Jepun, Australia dan Kanada juga tidak membenarkan penggunaan produk mengandungi melatonin walaupun sebagai produk ubat am (over-the-counter).

 

Kajian yang dijalankan di Kanada sebelum larangan penjualan dikuatkuasakan telah menunjukkan satu dapatan yang perlu diberi perhatian. Kajian ini melibatkan 31 produk melatonin dan antara keputusan utama yang diperoleh ialah terdapat perbezaan yang jelas antara peratus kuantiti sebenar bahan aktif melatonin berbanding kuantiti yang dilabelkan. Sisihan yang sangat ketara ini menunjukkan produk-produk melatonin tersebut berkemungkinan dihasilkan tanpa mematuhi prosedur operasi standard, tidak menepati garis panduan berkaitan Amalan Pengilangan yang Baik dan kawalan kualiti yang lemah dalam kalangan pengeluar produk tersebut. 

 

Produk seperti ini berisiko mendatangkan kesan yang tidak diingini kepada pesakit kerana kandungannya yang tidak seragam. Contohnya, produk yang mengandungi bahan aktif yang terlalu tinggi boleh mendatangkan  kesan mudarat kepada pengguna. Antara kesan sampingan yang boleh dialami terutamanya jika dos melatonin terlalu tinggi ialah sembelit, cirit-birit, keresahan, sawan dan masalah pernafasan. Sebaliknya, sekiranya dos yang diberikan terlalu rendah, produk tersebut pula berkemungkinan tidak dapat memberikan kesan yang sewajarnya kepada pengguna. 

 

Di samping itu, melatonin juga tidak digalakkan bagi wanita mengandung dan individu yang mengalami ketagihan alkohol. Produk mengandungi melatonin juga tidak digalakkan kepada individu yang sedang mengambil ubat-ubatan tertentu seperti fluvoxamine, carbamazepine, rifampicin, warfarin, hormon yang mengandungi estrogen dan ubat tidur daripada kumpulan benzodiazepine atau bukan benzodiazepine kerana terdapat risiko interaksi yang mungkin berlaku.

 

Nasihat untuk orang awam

 

Orang awam hendaklah lebih berhati-hati apabila berhasrat untuk membeli atau menggunakan produk mengandungi melatonin memandangkan produk ini tidak didaftarkan oleh PBKD Malaysia untuk dipasarkan atau digunakan sebagai rawatan bagi insomnia. Penggunaan produk tidak berdaftar dikhuatiri membahayakan pengguna. 

 

Sebagai alternatif kepada produk melatonin, orang awam dan khususnya, individu yang mempunyai masalah insomnia dinasihati agar mengamalkan tabiat tidur yang sihat (sleep hygiene). Menurut saranan daripada American Academy of Sleep Medicine (AASM), setiap individu hendaklah mengekalkan jadual tidur yang konsisten setiap hari iaitu dengan bangun dan tidur pada waktu yang sama setiap hari, termasuklah semasa hari bercuti. Selain itu, persekitaran tidur yang kondusif turut digalakkan, contohnya dengan memastikan bilik tidur disediakan dalam keadaan sunyi, gelap, dingin dan selesa untuk tidur. 

 

Selain itu, untuk tidur yang berkualiti, gajet dan peralatan elektronik yang terdapat di dalam bilik harus dimatikan sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu tidur. Alat-alat ini termasuklah telefon bimbit, komputer dan televisyen. Bukan itu sahaja, makanan dalam saiz yang besar serta minuman beralkohol atau kafein juga hendaklah dielakkan apabila sudah menghampiri waktu tidur.

 

Saranan yang seterusnya pula berkaitan dengan aktiviti fizikal iaitu orang awam digalakkan untuk bergerak aktif pada waktu siang, misalnya dengan bersenam agar mudah untuk tidur pada waktu malam. Tabiat merokok, menonton televisyen atau bermain permainan video hingga lewat malam juga harus dihentikan kerana boleh mendatangkan kesan terhadap kitaran tidur seseorang. 

 

Sebagai kesimpulannya, masalah berkaitan tidur seperti insomnia mungkin boleh dirawat dengan menggunakan melatonin, namun penggunaannya masih belum diluluskan di Malaysia. Individu yang mengalami insomnia dan orang awam lebih digalakkan untuk mengamalkan tabiat tidur dan gaya hidup yang sihat. Dapatkan juga nasihat daripada doktor sekiranya mengalami masalah insomnia yang berlarutan.

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang melatonin atau ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman