Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

3 Februari 2019

Penyakit kanser merupakan salah satu penyakit yang ditakuti oleh ramai orang. Justeru, terdapat segelintir pesakit kanser akan cuba membeli apa saja ubat ataupun suplemen yang dikatakan dapat menyembuhkan penyakit mereka. Segelintir pesakit lagi memilih rawatan alternatif lain bergantung kepada kepercayaan mereka. 

Pada zaman teknologi ini, sebenarnya terdapat ubat-ubatan atau prosedur yang terbukti berkesan dalam rawatan penyakit kanser melalui kajian klinikal yang telah dilakukan. Walau bagaimanapun, rawatan yang sedia ada ini disarat dengan mitos berkaitan keberkesanan, kesan sampingan dan keserasian ubat-ubatan tersebut dengan pesakit dan penyakit itu sendiri.     

Oleh itu, pesakit kanser dinasihatkan supaya mendapatkan informasi yang sahih daripada ahli profesional kesihatan yang bertauliah. Kepercayaan kepada mitos yang tidak sah boleh menerukkan lagi perkembangan penyakit dan juga melambatkan pemberian rawatan yang sepatutnya. 

Mitos 1: Rawatan Kanser Adalah Dahsyat Berbanding Penyakit Kanser Itu Sendiri 

Walaupun terdapat beberapa kaedah rawatan kanser, namun yang sering menjadi topik perbualan adalah kemoterapi dan radioterapi. Kedua-dua kaedah rawatan ini boleh memberi kesan sampingan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit.  

Namun begitu, kemajuan teknologi terkini telah menghasilkan ubat-ubatan dan radioterapi yang boleh meningkatkan tahap penerimaan oleh pesakit. Sebagai contoh, kesan sampingan daripada rawatan kanser seperti muntah, pening, keguguran rambut dan kerosakan tisu telah dapat dikurangkan. Tambahan pula, gejala penyakit dan kualiti hidup pesakit kanser dapat ditingkatkan melalui pengurusan kesan sampingan yang baik semasa rawatan diberikan.  

Mitos 2: Rawatan Alternatif Dan Produk Kesihatan Semula Jadi Boleh Menyembuhkan Kanser 

Berdepan dengan kemungkinan menjalani rawatan ubat kemoterapi dan radioterapi, pesakit kanser sering mencari rawatan alternatif yang boleh merawat atau menyembuhkan penyakit mereka. Mereka berharap produk kesihatan semula jadi ini boleh mengelakkan mereka daripada kesan sampingan rawatan ubat kemoterapi.  

Terdapat pihak yang mendakwa bahawa produk kesihatan yang dihasilkan daripada bahan semula jadi boleh menyembuhkan penyakit kanser tanpa memberi kesan sampingan seperti ubat-ubatan moden. Namun begitu, penggunaan produk-produk kesihatan semula jadi dalam rawatan kanser tidak disokong dan tidak terbukti oleh kajian yang kukuh. Tambahan pula, orang awam perlu diingatkan bahawa produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia tidak dijamin kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.   

Selain daripada itu, penggunaan sesetengah jenis produk herba mungkin boleh berinteraksi dengan rawatan ubat kemoterapi atau radioterapi yang diterima. Pesakit kanser harus berbincang dengan doktor atau pakar onkologi yang merawat sebelum mengambil apa-apa produk pelengkap dan alternatif termasuk produk kesihatan berbentuk vitamin dan suplemen. 

Melihat kepada situasi ini, pesakit kanser sebenarnya dimomokkan dengan mitos kesan sampingan perubatan moden dan ‘keberkesanan’ rawatan alternatif. Pesakit kanser sering menjadi sasaran peniaga yang tidak bertanggungjawab, manakala pesakit kanser pula sentiasa mencari ikhtiar demi mendapatkan rawatan alternatif yang sebenarnya tidak terbukti keselamatan dan keberkesanannya.  

Mitos 3: Ubat-ubat Yang Boleh Menyembuhkan Kanser Disorok Oleh Syarikat Ubat Bagi Mengaut Keuntungan Melalui Kemoterapi Dan Radioterapi 

Tiada pihak yang menghalang perkembangan ubat-ubatan dalam rawatan penyakit kanser. Sebenarnya kajian-kajian klinikal sedang giat dijalankan bagi menghasilkan ubatubatan yang berkesan dalam diagnosis dan rawatan pelbagai jenis penyakit kanser.  

Namun begitu, kajian-kajian klinikal ini perlu mengambil masa yang panjang bagi memastikan keberkesanan, keselamatan serta kualiti sesuatu ubat baru itu. Ini menyebabkan wujudnya persepsi bahawa ubat yang baru seolah-olah disekat oleh pihak yang ingin mengaut keuntungan.  

Ketelitian dan ketelusan menjalankan kajian ini tidak seharusnya dijadikan pertaruhan dalam mempercepatkan proses penghasilan ubat kerana ianya akan memberikan kesan yang besar kelak pada pesakit.  

Kesimpulannya, mitos-mitos berkaitan rawatan kanser seharusnya tidak dipercayai dan ditinggalkan. Dapatkan maklumat daripada sumber yang diiktiraf dan jalani saringan kesihatan seperti yang disarankan. Ini adalah penting bagi memastikan pesakit kanser mendapat rawatan yang sepatutnya dan tidak menjadi mangsa kepada produk-produk yang memberi harapan palsu melalui tuntutan kesihatan yang tidak sah.  

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

HUBUNGI KAMI

PROGRAM PERKHIDMATAN FARMASI
LOT 36, JALAN UNIVERSITI, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

PUSAT PANGGILAN FARMASI KEBANGSAAN (NPCC)

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2019 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman