Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

25 April 2021

Menjelang Ramadan, umat Islam akan bersedia untuk berpuasa. Selain persiapan aktiviti lain, pengambilan ubat juga harus dititikberatkan oleh pesakit beragama Islam. Kewajipan berpuasa pada waktu siang tidak bermakna pesakit boleh meninggalkan pengambilan ubat-ubatan, terutama bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes. Ubat perlu diambil dengan mengubah suai waktu pengambilan agar penyakit kronik sentiasa terkawal. 

 

Pengubahsuaian Waktu Pengambilan Ubat ketika Berpuasa

 

Berikut merupakan panduan umum pengambilan ubat mengikut kesesuaian waktu makan pada bulan Ramadan bagi ubat yang perlu dimakan atau diminum:

 

1. Ubat yang diambil sekali sehari:

  • Ubat sebelum makan: ambil 1 jam sebelum bersahur,

  • Ubat selepas makan: ambil selepas bersahur atau berbuka puasa

 

2. Ubat yang diambil dua kali sehari:

  • Ubat sebelum makan:

  • Ambil dos pertama 1 jam sebelum bersahur,

  • Ambil dos kedua sejurus selepas berbuka puasa tetapi sebelum mengambil menu utama atau dua jam selepas berbuka puasa

 

  • Ubat selepas makan:

  • Ambil dos pertama selepas bersahur,

  • Ambil dos kedua selepas berbuka puasa

 

3. Bagi ubat yang perlu diambil tiga kali sehari atau lebih, pengubahsuaian waktu pengambilan ubat perlu  mengambil kira beberapa faktor. Antaranya termasuklah keperluan meneruskan rawatan dan ketersediaan ubat alternatif yang dapat memberi kesan yang sama.

 

Panduan yang diberikan ini adalah secara umum. Pesakit disarankan berbincang dengan doktor atau ahli farmasi untuk menyusun jadual pengambilan ubat yang lebih sesuai mengikut tahap kesihatan.

 

Pengubahsuaian Dos dan Waktu Pengambilan Ubat Antidiabetes

 

Perubahan dos bagi ubat antidiabetes adalah penting untuk mengelakkan hipoglisemia (keadaan apabila paras gula terlalu rendah dalam darah). Gejala biasa hipoglisemia termasuklah lapar yang keterlaluan, berdebar-debar, berpeluh dan pengsan. 

 

Secara umumnya, dos serta waktu pengambilan ubat kumpulan sulphonylurea serta suntikan insulin perlu diubah suai kerana lebih berisiko menyebabkan hipoglisemia. 

 

Panduan yang Berikut Merumuskan Pengubahsuaian Dos dan Waktu Pengambilan bagi Ubat-ubat Tersebut:

 

1. ubat sulphonylureas (contohnya glibenclamide dan gliclazide):

  • dos satu kali sehari (ubat jenis modified release):

  • ambil pada waktu berbuka puasa (sekali sehari)

 

  • dua kali sehari:

  • ambil ubat sekali sahaja pada waktu berbuka puasa,

  • tinggalkan dos yang biasanya diambil pada waktu pagi.

 

2. suntikan insulin jenis basal sekali sehari, contohnya seperti Insugen N®, Humulin N® dan Insulatard®:

  • suntik insulin sebelum tidur pada waktu malam ataupun selepas berbuka puasa.

  • dos insulin mungkin perlu dikurangkan jika terdapat risiko hipoglisemia pada waktu siang.

 

3. suntikan insulin jenis pracampur (campuran insulin bertindak cepat dan sederhana) sekali sehari, seperti Insugen 30/70® dan Mixtard 30/70®:

  • suntik dos biasa ketika waktu berbuka puasa.

 

4. suntikan insulin jenis pracampur yang perlu disuntik dua kali sehari:

  • dos yang biasanya disuntik pada waktu pagi diambil ketika waktu berbuka puasa,

  • dos yang biasanya disuntik pada waktu malam diambil ketika bersahur.

 

Walau bagaimanapun, panduan yang diberikan ini hanyalah secara umum. Pesakit diabetes perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi di fasiliti pesakit menerima rawatan bagi mendapatkan nasihat yang sesuai dengan keadaan semasa pesakit.

 

Selain itu, pesakit digalakkan memantau sendiri paras gula dalam darah di rumah menggunakan alat glukometer. Waktu pemantauan yang disarankan ialah sebelum bersahur, dua jam selepas bersahur, pada waktu tengah hari, sebelum berbuka puasa dan dua jam selepas berbuka puasa. Sekiranya paras gula lebih rendah daripada 3.3 mmol/L, pesakit hendaklah berbuka puasa untuk mengelakkan hipoglisemia menjadi lebih serius.

 

Ibadah puasa adalah amalan baik dari segi agama mahupun kesihatan. Namun, puasa bukanlah penghalang untuk pesakit kekal patuh kepada rawatan. Pesakit perlu berkomunikasi dengan doktor dan pegawai farmasi lebih awal bagi menyusun semula jadual pengambilan ubat sepanjang tempoh berpuasa.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh :                                                                                                                                                  Najihah binti Mohamad Shukri                                                                                                                            Pegawai Farmasi                                                                                                                                                  Hospital Rehabilitasi Cheras

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap