Menjelang Ramadan, umat Islam akan bersedia untuk berpuasa. Selain persiapan aktiviti lain, pengambilan ubat juga harus dititikberatkan oleh pesakit beragama Islam. Kewajipan berpuasa pada waktu siang tidak bermakna pesakit boleh meninggalkan pengambilan ubat-ubatan, terutama bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes. Ubat perlu diambil dengan mengubah suai waktu pengambilan agar penyakit kronik sentiasa terkawal.
Pengubahsuaian Waktu Pengambilan Ubat ketika Berpuasa
Berikut merupakan panduan umum pengambilan ubat mengikut kesesuaian waktu makan pada bulan Ramadan bagi ubat yang perlu dimakan atau diminum:
1. Ubat yang diambil sekali sehari:
-
Ubat sebelum makan: ambil 1 jam sebelum bersahur,
-
Ubat selepas makan: ambil selepas bersahur atau berbuka puasa
2. Ubat yang diambil dua kali sehari:
-
Ubat sebelum makan:
-
Ambil dos pertama 1 jam sebelum bersahur,
-
Ambil dos kedua sejurus selepas berbuka puasa tetapi sebelum mengambil menu utama atau dua jam selepas berbuka puasa
3. Bagi ubat yang perlu diambil tiga kali sehari atau lebih, pengubahsuaian waktu pengambilan ubat perlu mengambil kira beberapa faktor. Antaranya termasuklah keperluan meneruskan rawatan dan ketersediaan ubat alternatif yang dapat memberi kesan yang sama.
Panduan yang diberikan ini adalah secara umum. Pesakit disarankan berbincang dengan doktor atau ahli farmasi untuk menyusun jadual pengambilan ubat yang lebih sesuai mengikut tahap kesihatan.
Pengubahsuaian Dos dan Waktu Pengambilan Ubat Antidiabetes
Perubahan dos bagi ubat antidiabetes adalah penting untuk mengelakkan hipoglisemia (keadaan apabila paras gula terlalu rendah dalam darah). Gejala biasa hipoglisemia termasuklah lapar yang keterlaluan, berdebar-debar, berpeluh dan pengsan.
Secara umumnya, dos serta waktu pengambilan ubat kumpulan sulphonylurea serta suntikan insulin perlu diubah suai kerana lebih berisiko menyebabkan hipoglisemia.
Panduan yang Berikut Merumuskan Pengubahsuaian Dos dan Waktu Pengambilan bagi Ubat-ubat Tersebut:
1. ubat sulphonylureas (contohnya glibenclamide dan gliclazide):
-
dua kali sehari:
-
ambil ubat sekali sahaja pada waktu berbuka puasa,
-
tinggalkan dos yang biasanya diambil pada waktu pagi.
2. suntikan insulin jenis basal sekali sehari, contohnya seperti Insugen N®, Humulin N® dan Insulatard®:
3. suntikan insulin jenis pracampur (campuran insulin bertindak cepat dan sederhana) sekali sehari, seperti Insugen 30/70® dan Mixtard 30/70®:
4. suntikan insulin jenis pracampur yang perlu disuntik dua kali sehari:
-
dos yang biasanya disuntik pada waktu pagi diambil ketika waktu berbuka puasa,
-
dos yang biasanya disuntik pada waktu malam diambil ketika bersahur.
Walau bagaimanapun, panduan yang diberikan ini hanyalah secara umum. Pesakit diabetes perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi di fasiliti pesakit menerima rawatan bagi mendapatkan nasihat yang sesuai dengan keadaan semasa pesakit.
Selain itu, pesakit digalakkan memantau sendiri paras gula dalam darah di rumah menggunakan alat glukometer. Waktu pemantauan yang disarankan ialah sebelum bersahur, dua jam selepas bersahur, pada waktu tengah hari, sebelum berbuka puasa dan dua jam selepas berbuka puasa. Sekiranya paras gula lebih rendah daripada 3.3 mmol/L, pesakit hendaklah berbuka puasa untuk mengelakkan hipoglisemia menjadi lebih serius.
Ibadah puasa adalah amalan baik dari segi agama mahupun kesihatan. Namun, puasa bukanlah penghalang untuk pesakit kekal patuh kepada rawatan. Pesakit perlu berkomunikasi dengan doktor dan pegawai farmasi lebih awal bagi menyusun semula jadual pengambilan ubat sepanjang tempoh berpuasa.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh : Najihah binti Mohamad Shukri Pegawai Farmasi Hospital Rehabilitasi Cheras