Pengenalan
Pergerakan mata untuk memandang keluar dan ke dalam dikawal oleh 6 jenis otot pada setiap mata.
Gambar 1: Mata Kanan Juling Ke Dalam
Juling ke dalam mungkin disebabkan oleh rabun yang tidak dibetulkan, masalah otot yang mengawal pergerakan mata atau saraf yang tidak normal.
Juling ke dalam kerap terjadi di kalangan bayi dan kanak-kanak. Juling ke dalam bersaiz kecil yang kelihatan sekali-sekala pada bayi yang berumur di bawah 20 minggu biasanya akan hilang dengan sendiri.
Juling ke dalam yang hadir sejak lahir biasanya mempunyai saiz yang besar dan kelihatan sangat ketara. Juling ini adalah juling yang tetap dan mata boleh digunakan secara bergilir-gilir.
Juling ke dalam juga boleh berlaku pada satu mata atau kedua-dua mata secara bergilir-gilir. Juling jenis ini juga boleh hadir secara tetap atau hanya kelihatan sekali-sekala.
Individu yang juling biasanya tidak mempunyai penglihatan tiga dimensi, menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk menganggarkan jarak dan kedudukan sesuatu objek.
Juling yang tetap dan hanya melibatkan sebelah mata sahaja dikalangan kanak-kanak dan bayi boleh mengakibatkan mata malas.
Pseudoesotropia adalah keadaan di mana mata bayi atau kanak-kanak kelihatan seperti juling ke dalam disebabkan oleh bentuk wajah. Pemeriksaan mata akan dapat membezakan keadaan ini dengan juling yang sebenar.
Faktor Risiko Yang Boleh Menjadi Penyumbang Terjadinya Esotropia Adalah:
- Bayi yang lahir pramatang
- Sejarah keluarga yang mempunyai masalah juling
- Penglihatan kabur yang teruk
- Penyakit sistemik seperti penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi
Tanda Dan Gejala
Biasanya ibu bapa akan mengadu kedudukan mata bayi mereka kelihatan tidak normal. Bayi yang juling sejak lahir biasanya mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai masalah juling yang sama.
Juling yang berlaku selepas zaman kanak-kanak akan menyebabkan seseorang itu mengadu penglihatan berganda. Biasanya mereka akan mengubah kedudukan kepala untuk mengurangkan masalah ini dengan memandang melalui pandangan sisi.
Bagi juling yang hadir sekali sekala-sekala, individu kelihatan menggosok-gosok atau mengelipkan mata dengan berlebihan untuk mengawal juling daripada berlaku.