Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

23 Julai 2019

Pernahkah anda mengalami sakit kepala? Adakah ini menandakan anda mengalami migrain? Selalunya migrain boleh dibezakan dengan sakit kepala yang biasa apabila sakit kepala yang dialami disertai dengan sakit berdenyut-denyut yang biasanya berlaku di sebelah bahagian kepala sahaja. Walau bagaimanapun, kadangkala sakit juga boleh dirasai pada kedua-dua belah kepala.  

Migrain juga boleh menyebabkan gejala lain seperti muntah, loya dan sensitif terhadap cahaya atau bunyi. Pesakit migrain mungkin mengalami sakit kepala yang bertambah secara perlahan-lahan, dan ia biasanya beransur pulih atau hilang selepas tempoh tertentu.

Terdapat beberapa perkara yang boleh mencetus migrain, antaranya termasuk stres, terlalu letih dan pengambilan sesetengah jenis makanan atau minuman. Kekerapan kejadian dan tahap kesakitan migrain adalah berlainan antara individu bergantung kepada keadaan pesakit. Keadaan migrain boleh mempengaruhi kualiti hidup seseorang pesakit seperti tidak dapat bekerja atau menjalankan aktiviti-aktiviti harian apabila mengalami serangan migrain.  

Terdapat pesakit yang mengalami migrain tanpa amaran terlebih dahulu. Namun, ada juga pesakit migrain yang akan mengalami aura (tanda-tanda amaran) sebelum migrain. Aura tersebut termasuk gejala yang melibatkan ciri-ciri seperti berikut:

  • Visual:  Dikaitkan dengan cahaya yang berkelip, tompokan atau lintasan objek yang bercahaya.  
  • Sensori : Dikaitkan dengan perasaan yang mencucuk atau kebas.  
  • Gangguan pertuturan  


Punca sebenar berlakunya migrain masih tidak diketahui. Namun, ia sering dikaitkan dengan faktor genetik yang mana risiko untuk mendapat migrain adalah lebih tinggi jika terdapat ahli keluarga yang pernah meghidapi migrain.  

Rawatan Farmakologikal

Rawatan Akut  

Tujuan rawatan ini adalah untuk memberi kelegaan sakit migrain kepada pesakit. Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh digunakan dalam rawatan migrain akut. Pilihan jenis ubat tahan sakit adalah bergantung pada kekerapan, tahap kesakitan, jangka masa sakit dan sebagainya. Bagi kesakitan migrain yang sederhana, pesakit boleh mengambil ubat tahan sakit seperti ubat paracetamol.

Sekiranya ubat paracetamol tidak membantu dalam mengurangkan kesakitan, pesakit boleh menggunakan ubat tahan sakit jenis ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) seperti mefenamic acid, diclofenac atau ibuprofen. Namun, ubat jenis NSAIDs ini perlu diambil atas nasihat dan pemantauan doktor atau ahli farmasi.

Penggunaan ubat tahan sakit jenis NSAIDs mungkin mendatangkan kesan sampingan seperti iritasi perut atau gastrik dalam sesetengah golongan pesakit. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk patuh terhadap arahan yang diberikan oleh doktor atau ahli farmasi dalam pengambilan ubat tahan sakit ini.

Selain daripada ubat tahan sakit, terdapat juga ubat antimigrain daripada kelas triptan (contoh: sumatriptan) yang digunakan untuk melegakan atau menghilangkan sakit 
kepala migrain. Keberkesanan ubat ini adalah lebih baik sekiranya pesakit mengambil dos ubat pada peringkat sakit baru bermula atau pada tahap kesakitan rendah. Namun, ubat ini adalah ubat terkawal yang memerlukan preskripsi daripada doktor, pesakit tidak dibenarkan untuk menggunakan ubat ini sebagai rawatan kendiri tanpa pemantauan doktor yang merawat.

Dalam keadaan tertentu, ubat penahan muntah seperti metoclopramide juga mungkin diberikan kepada pesakit oleh doktor bagi mengurangkan gejala loya dan muntah. Pesakit sekali lagi dinasihati untuk mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum menggunakan apa-apa ubat untuk rawatan migrain agar rawatan yang sesuai dapat diberikan.

Rawatan Pencegahan  

Rawatan pencegahan mampu mencegah serangan migrain, seterusnya dapat mengurangkan kekerapan serangan migrain pada pesakit. Antara contoh rawatan pencegahan migrain adalah seperti flunarizine yang diberikan kepada pesakit dengan preskripsi selepas penilaian doktor.  Rawatan pencegahan kebiasaanya diberikan kepada pesakit yang kerap mengalami serangan migrain sehingga boleh mengganggu aktiviti harian mereka. Pesakit perlu mengambil rawatan pencegahan setiap hari walaupun tiada serangan migrain pada ketika itu. Jangka tempoh pengambilan ubat ini adalah bergantung kepada keadaan pesakit selepas penilaian doktor.

Rawatan Bukan Farmakologikal

Tidur di bilik yang gelap merupakan salah satu kaedah rawatan bagi pesakit migrain kerana ia dapat membantu merehatkan minda pesakit dan melegakan migrain.  

Antara kaedah lain yang dapat membantu mengatasi masalah migrain adalah dengan melakukan senaman secara berkala, relaxation training atau menangani stres. Selain itu, mengenal pasti dan mengelakkan faktor penyebab migrain turut membantu mengurangkan serangan migrain.  

Serangan migrain yang kerap atau teruk boleh mengganggu kehidupan harian pesakit. Pesakit tidak digalakkan untuk merawat kendiri dengan ubat-ubatan tanpa pemantauan doktor. Pesakit dinasihati untuk mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi untuk rawatan penyakit migrain ini.  

Jika orang awam mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre- NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman