Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

4 Ogos 2023

Kepatuhan kepada ubat-ubatan penting bagi pesakit mendapat kesan rawatan yang optimum, contohnya membantu dalam mengawal penyakit dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya komplikasi. Selain itu, kepatuhan kepada ubat-ubatan juga membantu mempercepat penyembuhan gejala yang dialami. 

 

Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan ketidakpatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan. Antaranya termasuklah masalah kognitif pesakit seperti mudah lupa dan sukar memahami arahan pengambilan ubat. Situasi ini kerap berlaku dalam kalangan pesakit warga emas. 

 

Kebaikan menggunakan pill box

 

Secara umumnya, pengurusan ubat secara berkualiti menekankan bahawa ubat-ubatan hendaklah disimpan di dalam bekas asal. Perkara ini adalah kerana semua maklumat penting terdapat pada label ubat seperti nama pesakit, nama dan kekuatan ubat, dos dan kekerapan ubat yang perlu diambil serta cara dan masa pengambilan ubat. Semua maklumat ini dapat membantu pengambilan ubat yang betul.

 

Walau bagaimanapun, dalam situasi-situasi tertentu, penggunaan bekas penyimpanan ubat atau pill box disyorkan. Terdapat pelbagai jenis pill box komersial yang terdapat dalam pasaran. Pemilihan pill box ini bergantung kepada beberapa faktor seperti kos, kesesuaian dan keselesaan pesakit untuk menggunakannya. Pill box yang berpatutan, ringan dan mudah dibawa sering menjadi pilihan pesakit. 

 

Penggunaan pill box sangat bermanfaat untuk pesakit warga emas yang tinggal sendirian atau pesakit yang sering terlupa untuk mengambil ubat. Ubat-ubat yang perlu diambil boleh dimasukkan ke dalam slot-slot yang terdapat pada pill box mengikut masa dan hari pengambilannya. Slot-slot yang khusus bagi setiap waktu pengambilan ubat dapat mengelakkan pesakit tertinggal dos kerana baki ubat yang terdapat di dalam setiap slot menunjukkan ubat tersebut belum diambil oleh pesakit pada masa yang sepatutnya.

 

Bukan itu sahaja, penggunaan pill box juga sangat membantu pesakit yang kerap mempunyai tugasan luar atau sedang bercuti. Apabila menggunakan pill box, pesakit tidak perlu lagi membawa bekalan ubat yang banyak. Cara penyimpanan ubat pula menjadi lebih tersusun dan seterusnya memudahkan pengambilan ubat-ubatan.

 

Panduan penggunaan pill box yang betul

 

Beberapa perkara perlu dititikberatkan apabila menggunakan pill box untuk memastikan kualiti dan keberkesanan ubat-ubat yang dimasukkan ke dalamnya tidak terjejas. Penggunaan pill box yang betul juga penting untuk mengelakkan risiko kesilapan pengubatan. 

 

(a) Tempoh penggunaan yang bersesuaian

 

Tempoh penggunaan pill box merupakan antara perkara yang harus diberi keutamaan. Walaupun pill box membantu pengambilan ubat-ubatan, namun penggunaannya hanya disarankan bagi jangka masa yang singkat, contohnya untuk seminggu. Selepas semua ubat habis diambil mengikut aturan, ubat untuk dos minggu yang berikutnya dimasukkan pula ke dalam pill box.

 

Penggunaan bagi suatu tempoh yang panjang secara berterusan tidak digalakkan. Antara sebabnya adalah untuk mengelakkan ubat menjadi rosak dalam kuantiti yang banyak sekiranya ubat yang telah dimasukkan ke dalam pill box bagi tempoh yang panjang disimpan dengan cara yang tidak sepatutnya. Selain itu, kekerapan memasukkan ubat ke dalam pill box pada setiap minggu dapat membantu pemantauan kepatuhan pesakit dengan lebih baik.

 

(b) Ubat dikekalkan dalam pek pembungkusan asal (blister pack)

 

Ubat tablet yang dimasukkan ke dalam pill box tidak seharusnya dikeluarkan daripada blister pack. Maklumat berkaitan nama ubat, kekuatan dan tarikh luput ubat yang dicetak pada blister pack adalah penting untuk rujukan pesakit, penjaga atau ahli profesional kesihatan apabila diperlukan. Selain itu, mengekalkan ubat di dalam blister pack dapat mengelakkan interaksi fizikal yang mungkin berlaku antara tablet yang berlainan jenis. Interaksi fizikal ini dapat mempengaruhi kestabilan dan keberkesanan ubat tersebut. Blister pack juga berfungsi melindungi ubat daripada haba, kelembapan atau udara yang mungkin dapat menjejaskan keadaan fizikal dan kualitinya.

 

(c) Dapatkan bantuan ahli farmasi atau individu lain

 

Pesakit warga emas atau yang sukar mengurus ubat-ubatnya sendiri disaran untuk mendapatkan bantuan individu lain yang lebih arif apabila hendak menyusun dan memasukkan ubat ke dalam pill box. Sebagai pilihan, pesakit boleh mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi, sekiranya diperlukan. Selain ahli farmasi, ahli keluarga atau penjaga juga boleh membantu menyusun dan memasukkan ubat-ubat pesakit ke dalam pill box dengan cara yang betul.

 

Senarai atau jadual pengambilan ubat bolehlah disediakan terlebih dahulu mengikut aturan pengambilan ubat yang telah dipreskripsi oleh doktor. Seterusnya, ubat-ubat disusun dan dimasukkan ke dalam pill box mengikut senarai atau jadual berkenaan. Namun begitu, pesakit atau penjaga hendaklah sentiasa menyemak pill box yang telah siap dimasukkan ubat-ubatan, terutamanya jika terdapat ubat yang kelihatan serupa (look-alike medicines) untuk mengelakkan kesilapan pengubatan yang tidak diingini.

 

(d) Amalkan konsep “Luput Dulu, Keluar Dulu”

 

Sekiranya terdapat dua kumpulan ubat yang sama tetapi mempunyai tarikh luput yang berbeza untuk dimasukkan ke dalam pill box, pesakit hendaklah mengamalkan konsep “Luput Dulu, Keluar Dulu”. Konsep ini membolehkan ubat dengan tarikh luput yang lebih awal digunakan dahulu dan mengelakkan kejadian pesakit termakan ubat yang telah luput. Selain itu, cara ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kerugian akibat pembaziran ubat kerana telah luput di dalam simpanan.

 

(e) Ambil tahu setiap perubahan rawatan

 

Pesakit atau penjaga turut dinasihatkan agar sentiasa mengambil tahu sebarang perubahan yang dilakukan oleh doktor yang merawat. Jadual pengambilan ubat yang disediakan untuk membantu penyusunan ubat ke dalam pill box boleh juga digunakan untuk memantau perubahan tersebut. Pesakit atau penjaga boleh menulis maklumat-maklumat penting berkaitan rawatan semasa dalam jadual tersebut, seperti nama, kekuatan, dos serta kekerapan pengambilan ubat dan tarikh ubat dimulakan oleh doktor. Maklumat ini perlu dikemas kini setiap kali terdapat perubahan kepada ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor dan ubat-ubat yang telah dimasukkan ke dalam pill box harus disusun semula bersesuaian dengan perubahan yang dilakukan.

 

(f) Simpan pill box yang berisi ubat dengan cara yang betul

 

Setelah memasukkan ubat ke dalam pill box, pesakit hendaklah menyimpan pill box tersebut pada suhu yang bersesuaian serta jauh daripada cahaya matahari, sumber haba, tempat yang berkelembapan tinggi dan capaian kanak-kanak. Cara penyimpanan yang betul memastikan ubat tidak rosak serta kekal stabil dan berkesan. Bukan itu sahaja, kesilapan pengubatan yang tidak disengajakan juga dapat dielakkan.

 

Kesimpulan

 

Penggunaan pill box diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap kepatuhan pesakit kepada rawatannya. Pesakit daripada golongan tertentu disaran agar menggunakan pill box untuk mengatur dos pengambilan ubat-ubatan mengikut dos dan kekerapan yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, pill box ini hendaklah digunakan dengan cara yang betul untuk memastikan ubat yang dimasukkan ke dalamnya kekal dalam keadaan yang baik dan tidak mengakibatkan kesilapan pengubatan. Pill box hendaklah disimpan dan digunakan bersama-sama senarai ubat yang lengkap dengan maklumat dos dan kekerapan supaya dapat dijadikan rujukan segera, terutamanya ketika berlaku kecemasan. 

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).


 

 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman