Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

7 Mei 2023

Jerawat terjadi disebabkan liang roma pada kulit tersumbat dengan sel-sel kulit mati dan minyak atau sebum yang dihasilkan secara berlebihan oleh kelenjar minyak. Pembiakan bakteria jenis P.acnes pada liang roma yang tersumbat boleh mengakibatkan keradangan dan pembentukan jerawat. Terdapat beberapa jenis jerawat termasuklah komedo tertutup (whitehead), komedo terbuka (blackhead), benjolan merah (papule), jerawat bernanah (pustule), jerawat sista (cyst) dan jerawat batu (nodule). Antara faktor-faktor yang menyebabkan jerawat termasuklah perubahan hormon badan, tekanan perasaan, serta penggunaan produk kulit atau kosmetik yang tidak sesuai. 

 

Jerawat yang tidak dirawat dengan baik berisiko untuk meninggalkan kesan parut yang sukar untuk dihilangkan. Masalah jerawat ini bukan sekadar mempengaruhi penampilan luaran seseorang, malah boleh menjejaskan emosi, menimbulkan rasa kurang keyakinan diri dan kemurungan. Doktor akan menilai keadaan jerawat yang dialami pesakit dan memberi pilihan rawatan yang bersesuaian.

 

Antara ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat jerawat termasuklah:

  • Benzoil peroxide – merencat pertumbuhan bakteria dan mengurangkan keradangan.
  • Ubat topikal asid salisilik – membantu mengurangkan sumbatan liang roma.
  • Ubat topikal dan oral antibiotik – menghalang pembentukan koloni bakteria.
  • Ubat oral isotretinoin.

 

Ubat isotretinoin 

 

Isotretinoin merupakan derivatif vitamin A yang digunakan untuk merawat jerawat kronik seperti jerawat batu dan sista. Ubat ini berkesan untuk merawat jerawat dengan mengurangkan penghasilan sebum atau minyak di permukaan kulit yang menjadi punca liang roma tersumbat. Selain itu, isotretinoin juga mengurangkan penghasilan keratin yang menyebabkan permukaan kulit menjadi kasar.

 

Dos isotretinoin ditentukan oleh berat badan pesakit. Dos permulaan yang diberikan ialah sekitar 0.5 mg/kg sehari dan dos boleh dinaikkan secara berkala sehingga 1 mg/kg sehari. Sebagai contoh, jika berat pesakit ialah 60 kg, lazimnya dos rawatan yang diberikan adalah antara 30 mg ke 60 mg sehari. Pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat isotretinoin dengan makanan yang berlemak bagi membantu penyerapan ubat. Pesakit juga perlu melengkapkan tempoh rawatan ubat ini selama 16 hingga 24 minggu untuk kesan yang optimum. Kesan ubat ini dapat dilihat seawal lapan minggu selepas rawatan bermula.

 

Namun, penggunaan isotretinoin boleh memberikan kesan sampingan yang tidak diingini seperti kekeringan kulit termasuk mata dan bibir, penyakit mata konjunktivitis, kulit sensitif terhadap cahaya matahari, perubahan mood, sakit otot badan dan sendi serta berisiko mengakibatkan kecacatan janin dan keguguran bagi wanita yang hamil.

 

Ubat kategori teratogenik 

 

Isotretinoin dikategorikan sebagai ubat teratogenik. Penggunaan ubat ini dalam kalangan wanita yang hamil boleh menyebabkan kecacatan janin dan keguguran. Oleh itu, pesakit wanita yang berpotensi mengandung perlu diberikan kaunseling supaya jelas tentang risiko kesan sampingan ubat ini. Pesakit disarankan untuk menggunakan kontraseptif bagi mengurangkan risiko kehamilan, sebulan sebelum memulakan rawatan isotretinoin, sepanjang tempoh pengambilan ubat tersebut dan sekurang-kurangnya sebulan selepas rawatan tamat. Ubat ini juga merupakan ubat terkawal yang hanya boleh dipreskrib kepada pesakit oleh pakar kulit. Pesakit juga perlu menjalani ujian darah dan dipantau secara berkala bagi memastikan rawatan dengan ubat isotretinoin adalah sesuai dan selamat untuk diteruskan.

 

Pembelian ubat jerawat secara dalam talian

 

Terdapat produk-produk tidak berdaftar yang mengandungi ubat isotretinoin, dijual secara berleluasa di platform media sosial oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Testimoni atau iklan yang dipaparkan oleh penjual produk kulit tidak memperoleh kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat. Orang ramai disarankan supaya berwaspada dan elakkan daripada membeli ubat jerawat secara dalam talian kerana keselamatan pengguna dan keberkesanan ubat tidak dapat dijamin. Bagi menyelesaikan masalah jerawat, orang ramai disarankan supaya mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi untuk rawatan yang berkesan dan selamat. 

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum)

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman