Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

13 March 2023

Umum mengetahui bahawa wanita berhadapan dengan pelbagai komplikasi selepas bersalin, antaranya ialah tumpah darah dan masalah pembekuan darah. Pembekuan darah yang berlaku boleh mengakibatkan kematian jika rawatan tidak diberikan. Menurut Portal Rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, Obstetric Embolism iaitu masalah pembekuan darah semasa hamil dan selepas bersalin dicatatkan sebagai penyebab utama kematian ibu bersalin pada tahun 2020 dengan 18.8% kes, peningkatan sebanyak 6.2% berbanding tahun sebelumnya.

 

Venous Thromboembolism (VTE) berlaku apabila darah beku terbentuk dalam salur darah vena lalu menghalang aliran darah di dalam badan. Terdapat dua jenis VTE iaitu Deep Vein Thrombosis (DVT) dan Pulmonary Embolism (PE). DVT berlaku apabila darah beku pada bahagian betis dan pelvis manakala PE terjadi apabila darah beku tersebut pecah dan dibawa ke paru-paru seterusnya menjejaskan fungsi paru-paru untuk menyerap oksigen dengan berkesan.

 

Risiko untuk mendapat komplikasi darah beku adalah lebih tinggi bagi wanita yang bersalin secara pembedahan. Selain itu, antara faktor risiko lain ialah wanita yang menghidap penyakit yang menyebabkan darah menjadi pekat seperti thrombophilia atau protein S deficiency, ibu yang melalui pembedahan semasa hamil atau selepas bersalin seperti pembedahan appendicitis, ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi semasa hamil dan berterusan selepas bersalin, muntah yang teruk semasa hamil, mengandung anak kembar, proses bersalin yang panjang (melebihi 24 jam), obesiti dan merokok.

Justeru, wanita perlu peka dengan tanda-tanda darah beku dalam tempoh awal selepas bersalin seperti bengkak kaki atau sakit pada betis, sukar bernafas, sakit dada, batuk berdarah dan denyutan nadi sangat laju. Jangan berlengah untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berdekatan sekiranya tanda-tanda ini berlaku.

 

Rawatan Ubat Suntikan Cair Darah

Beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan darah beku termasuklah minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi, aktif bergerak dan berjalan atau memakai stoking khas seperti compression socks. Namun, jika langkah pencegahan ini tidak berkesan, doktor akan mencadangkan pengambilan ubat cair darah bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

 

Wanita yang berpotensi mengalami darah beku selepas bersalin akan diberi suntikan ubat cair darah seperti enoxaparin, heparin atau fondaparinux. Pilihan ubat suntikan ini akan diberikan oleh doktor mengikut indikasi dan kesesuaian pesakit.

 

Ubat suntikan hendaklah diambil dengan cara dan teknik yang betul. Berikut merupakan beberapa langkah yang perlu dipatuhi:

  1. Basuh tangan dengan sabun dan keringkan.

  2. Duduk atau baring dengan selesa dalam keadaan dapat melihat bahagian badan yang akan disuntik. Pesakit boleh menyuntik ubat sendiri di bahagian perut dan paha atau pun bahagian lengan dengan bantuan orang lain.

  3. Sapu kawasan suntikan dengan kapas beralkohol.

  4. Ambil picagari dan buka penutupnya. 

  5. Cubit kulit di tempat yang akan disuntik dengan lembut bagi memastikan kawasan berlemak timbul untuk suntikan. Pastikan sudut jarum dengan kawasan suntikan adalah bersudut tegak, tekan picagari sehingga habis dan biarkan jarum di bawah kulit selama 10 saat. Tarik keluar jarum selepas habis suntikan.

  6. Simpan ubat suntikan seperti yang diarahkan 

  7. Ubat suntikan perlu diambil pada masa yang sama setiap hari mengikut tempoh rawatan.

  8. Jika pesakit terlupa untuk mengambil suntikan, jangan gandakan dos.

  9. Jika berlaku kesan sampingan ubat, sila beritahu ahli farmasi atau doktor dan dapatkan rawatan segera.

 

Perlu diingat bahawa teknik suntikan yang betul adalah penting bagi menjamin keberkesanan ubat ini. Picagari perlu dilupuskan dengan cara yang betul bagi mengelakkan kecederaan. Kumpul picagari yang telah digunakan dalam bekas yang tidak ditembusi seperti tin atau bekas plastik yang keras dan tebal seperti botol detergen dan sentiasa ditutup rapat. Buangkan ke dalam tong sampah atau serahkan bekas tesebut kepada farmasi di fasiliti kesihatan kerajaan untuk pelupusan.

 

Isu Kandungan Porcine dalam Ubat Suntikan Enoxaparin

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 hingga 25 Jun 2009 telah memutuskan bahawa penggunaan ubat yang mengandungi enoxaparin adalah ditegah kerana ia dihasilkan daripada sumber yang diharamkan Islam iaitu porcine atau khinzir dan pada masa ini telah terdapat alternatif iaitu ubat fondaparinux yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi yang sama dengan enoxaparin. Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh tentang keberkesanan ubat fondaparinux dalam kalangan ibu hamil dan ibu yang baru melahirkan.

 

Di samping itu, enoxaparin didapati lebih selamat digunakan untuk ibu mengandung dan menyusukan anak termasuklah pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang berbanding fondaparinux. Enoxaparin juga didapati lebih berkesan berbanding heparin. Pemberian enoxaparin kepada pesakit Muslim akan dilakukan setelah mendapat kebenaran secara bertulis daripada mereka sebelum memulakan rawatan. Ini adalah selaras dengan Panduan Penggunaan Ubat-ubatan yang Mengandungi Unsur Tidak Halal kepada Pesakit Muslim di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

 

Berbincanglah dengan doktor jika pesakit perlu mengambil ubat suntikan enoxaparin yang mana manfaatnya melebihi kesan mudarat mengikut keadaan klinikal pesakit, lebih-lebih lagi ketika keadaan darurat bagi tujuan menyelamatkan nyawa. Kefahaman pesakit tentang perkara ini juga sangat penting untuk mengelakkan sebarang keraguan serta menjamin kepatuhan pesakit dalam meneruskan rawatan.

 

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre; NPCC) ditalian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman