Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

7 March 2021

VAKSIN COVID-19: LINDUNGI DIRI, LINDUNGI SEMUA

21 Februari 2021 merupakan tarikh bersejarah untuk Malaysia apabila kumpulan pertama vaksin COVID-19 telah diterima daripada syarikat pengeluar iaitu Pfizer-BioNTech. Vaksin COVID-19 merupakan langkah terbaik bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 dalam komuniti.

Kerajaan mensasarkan lebih kurang 80% penduduk dewasa Malaysia mendapat suntikan vaksin. Tahap liputan yang tinggi adalah penting untuk menghasilkan imuniti kelompok bagi melindungi individu yang tidak boleh menerima vaksin, seperti kanak-kanak dan pesakit yang mempunyai daya tahan tubuh yang rendah.

 

Vaksin COVID-19 di Malaysia

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin sebanyak 66.7 juta dos yang terdiri daripada 5 jenama vaksin. Setiap jenama vaksin ini berbeza dari segi jenis antigen, bilangan dos yang perlu disuntik, tahap keberkesanan dan kaedah penyimpanannya.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijalankan secara berfasa bermula 24 Februari 2021 dan dijangka mencapai jumlah liputan yang disasarkan menjelang Februari 2022.

 

Kumpulan Sasaran Penerima Vaksin

Fasa 1 imunisasi COVID-19 dimulai dengan suntikan kepada petugas barisan hadapan kerajaan dan swasta dalam perkhidmatan penting dan pertahanan. Seramai 500,000 individu dijangka akan terlibat dalam fasa ini

Fasa 2 akan melibatkan warga emas, individu berisiko tinggi dan menghidap penyakit kronik serta orang kelainan upaya.

Fasa 3 pula akan melibatkan individu dewasa berusia 18 tahun ke atas dengan keutamaan diberikan kepada penduduk di zon merah, diikuti oleh zon kuning dan seterusnya zon hijau. Tempoh pelaksanaan imunisasi ini bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin di dalam negara.

Individu dewasa disarankan untuk mendaftar secara sukarela sebagai penerima vaksin melalui salah satu platform berikut:

  1. aplikasi MySejahtera,

  2. laman web www.vaksincovid.gov.my,

  3. talian hotline yang akan dimaklumkan kelak,

  4. program outreach bagi penduduk kawasan luar bandar dan pedalaman, atau

  5. hadir sendiri ke fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta.

 

Pemantauan Keselamatan selepas Menerima Vaksin COVID-19

Kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunisation, AEFI) merupakan kesan sampingan yang dialami selepas suntikan vaksin. AEFI tidak semestinya mempunyai hubung kait dengan vaksin tersebut. Antara contoh AEFI ialah demam, sakit dan bengkak pada tapak suntikan. Kesan sampingan ini biasanya ringan dan sembuh dengan sendirinya.

Namun begitu, terdapat juga risiko berlakunya AEFI yang lebih serius seperti sukar bernafas, bengkak pada bibir, muka dan tekak, jantung berdegup laju atau ruam teruk di seluruh badan. Penerima vaksin COVID-19 yang mengalami kesan ini hendaklah segera mendapatkan rawatan.

Pelaporan AEFI sangat digalakkan bagi mengenal pasti kebarangkalian insiden AEFI yang serius dan yang jarang-jarang berlaku. AEFI yang berlaku boleh dilaporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA) oleh penerima vaksin ataupun petugas kesihatan melalui:

  1. Aplikasi MySejahtera

  2. borang Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF), secara bertulis atau dalam talian di laman web NPRA (https://www.npra.gov.my).

  3. borang Report on Suspected Adverse Drug Reactions, secara bertulis ataupun dalam talian di laman web yang sama.

 

Nasihat untuk Penerima Vaksin dan Orang Awam

Bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai, individu dewasa yang layak disarankan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin. Pastikan maklumat yang sahih tentang keberkesanan, kesan sampingan atau pelaksanaan imunisasi COVID-19 diperoleh daripada pihak berautoriti.

Individu yang telah menerima vaksin pula dinasihatkan untuk terus sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengamal penjarakan fizikal. Kad imunisasi yang diberikan oleh petugas kesihatan selepas suntikan pertama harus disimpan dengan cermat. Tarikh janji temu untuk suntikan dos kedua dicatatkan pada kad tersebut.

Maklumat lanjut tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan boleh diperoleh dengan melayari laman web www.vaksincovid.gov.my.

 

Disediakan oleh :                                                                                                                                          Mohd Shahiri bin Abd Ghapar                                                                                                                      Ketua Penolong Pengarah                                                                                                                    Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti                                                                                                Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi                                                                                Kementerian Kesihatan Malaysia

 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman