Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

1 Januari 2023

Paracetamol ialah ubat yang digunakan untuk melegakan demam atau rasa sakit seperti sakit kepala, sakit gigi, sakit sendi tulang, sakit otot, serta senggugut. Bahan aktif paracetamol ini mempunyai ciri analgesik (melegakan kesakitan) dan antipiretik (menurunkan suhu badan).

Terdapat pelbagai bentuk dos ubat paracetamol yang ada dalam pasaran termasuklah tablet, sirap, tablet larut air dan supositori. Produk paracetamol juga dikeluarkan dengan kekuatan yang berbeza. Terdapat tablet paracetamol dalam pasaran dengan kekuatan 500mg dan 650mg. Manakala ubat paracetamol jenis sirap pula dihasilkan dengan kepekatan 120mg/5mL atau 250mg/5mL. Oleh yang demikian, pengguna hendaklah meneliti kandungan ubat paracetamol terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

 

Dos Selamat

Dos yang selamat bagi pesakit dewasa lazimnya adalah 500mg atau 1g, diambil setiap 4 hingga 6 jam atau apabila perlu sahaja. Bagi setiap tablet yang mengandungi 500mg paracetamol, 1 hingga 2 biji boleh diambil setiap 4 hingga 6 jam dengan dos maksimum 8 tablet setiap hari. Tablet yang mengandungi 650mg paracetamol pula boleh ambil 1 hingga 1 ½ biji dengan kekerapan tiga atau empat kali sehari sehingga maksimum 6 tablet sehari. Jumlah dos paracetamol yang boleh diambil sehari tidak boleh melebihi 4g.

Dos bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun bergantung pada berat badan atau umur mereka. Penting untuk ibu bapa tahu berat badan anak bagi memastikan dos ubat paracetamol yang selamat diberikan. Pengiraan dos mengikut berat badan bagi sediaan sirap paracetamol lazimnya adalah 15mg/kg dan kemudiannya akan diselaraskan mengikut kekuatan produk sirap yang digunakan.

 

Kombinasi Bahan Lain

Selain daripada sediaan tunggal, terdapat juga beberapa jenis sediaan paracetamol yang dicampur dengan bahan aktif yang lain. Tambahan bahan aktif ini akan memberikan kesan tahan sakit yang lebih khusus kepada keadaan tertentu.

Antara bahan aktif yang diformulasikan bersama-sama sediaan paracetamol adalah kafein. Kandungan kafein akan meningkatkan lagi kesan analgesik paracetamol. Kombinasi ini sesuai untuk pesakit yang mempunyai masalah migrain, sakit kepala yang teruk atau sakit belakang. Namun begitu, sediaan paracetamol yang mengandungi kafein ini tidak sesuai untuk wanita yang sedang hamil atau menyusukan anak.

Selain itu, terdapat juga produk kombinasi paracetamol dan pamabrom. Pamabrom mempunyai kesan diuretik yang boleh menyingkirkan lebihan air yang terkumpul disebabkan perubahan hormon semasa haid. Oleh itu, sediaan paracetamol ini dapat membantu melegakan rasa sakit senggugut dan ketidakselesaan sebelum atau semasa kedatangan haid dalam kalangan wanita. 

Produk kombinasi paracetamol dan kafein serta paracetamol dan pamabrom merupakan produk over-the-counter (OTC) yang boleh dibeli di premis farmasi atau pasar raya tanpa mendapatkan preskripsi daripada doktor. Namun begitu, terdapat juga produk kombinasi paracetamol yang memerlukan preskripsi contohnya produk kombinasi paracetamol dan kodein serta paracetamol dan orphenadrine.

Kodein ialah bahan aktif yang tergolong dalam kumpulan analgesik opioid. Bahan ini boleh digunakan sendiri atau dalam kombinasi dengan paracetamol untuk melegakan kesakitan kategori sederhana.

Orphenadrine pula berfungsi untuk mengurangkan kekejangan otot. Produk kombinasi paracetamol dan orphenadrine ini sesuai untuk mereka yang mengalami sakit disebabkan masalah pada bahagian otot. 

Selain itu, terdapat juga produk dengan kombinasi tiga jenis bahan aktif dalam pasaran iaitu paracetamol, pseudoephedrine dan chlorpheniramine yang merupakan ubat terkawal. Pseudoephedrine ialah sejenis dekongestan yang berfungsi untuk mengurangkan kesesakan pada saluran pernafasan manakala chlorpheniramine pula adalah ubat jenis antihistamin yang boleh merawat simptom selesema dan alergi termasuklah gatal-gatal dan hidung berair. Sediaan ini sesuai untuk mereka yang mengalami demam, selesema dan hidung tersumbat.

 

Kesan Sampingan

Kebanyakan pesakit yang mengambil paracetamol tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang teruk. Walau bagaimanapun, maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan yang serius seperti pendarahan dan lebam untuk rawatan selanjutnya. Sesetengah pesakit juga boleh mengalami reaksi kulit yang teruk disebabkan alahan kepada paracetamol. Sekiranya terdapat kemerahan pada kulit, lepuh atau ruam selepas pengambilan paracetamol, pesakit disyorkan untuk menghentikan penggunaan ubat ini dan mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.

 

Ambil Secara Selamat

Walaupun paracetamol diklasifikasikan sebagai ubat am yang mudah didapati di farmasi komuniti dan pasar raya, pengguna dinasihatkan untuk tidak sewenang-wenangnya mengambil ubat ini tanpa kawalan dan pengetahuan. Orang awam juga perlu mengambil tahu tentang sediaan kombinasi ubat paracetamol dengan bahan aktif lain yang terdapat dalam pasaran dan juga fungsi utamanya. Pengambilan ubat dengan bahan aktif yang sama daripada produk dengan jenama yang berbeza dalam masa yang sama berisiko menyebabkan pengambilan paracetamol melebihi dos yang selamat (overdose) seterusnya mendatangkan kemudaratan. Bertanyalah kepada ahli farmasi untuk mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan ubat-ubatan.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman