Pada 2014, akhbar Harian Metro melaporkan seorang lelaki meninggal dunia selepas minum kopi yang didapati mengandungi analog sildenafil. Portal berita Astro Awani pula melaporkan pada Januari 2018, seramai 5 orang pengawal keselamatan dikejarkan ke hospital kerana mengalami simptom lemah badan dan letih yang teruk. Kejadian berlaku selepas mereka minum sejenis kopi pracampuran yang turut disyaki mengandungi bahan terlarang.
Kopi Pracampuran yang Mengandungi Bahan Terlarang
Pada 2017, melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan senarai produk makanan yang disyaki mengandungi bahan terlarang. Sebanyak 163 produk telah disenaraikan dan daripada senarai tersebut, sebanyak 12 kopi pracampuran telah disyaki mengandungi sildenafil ataupun tadalafil.
Ketua Pengarah Kesihatan juga telah mengeluarkan kenyatan media yang menyenaraikan produk makanan yang disahkan mengandungi bahan terlarang dan pelabelan palsu. Daripada pemantauan yang dijalankan, sebanyak 8 jenama kopi disyaki telah dicampur dengan sildenafil dan tadalafil.
Sildenafil dan tadalafil merupakan bahan terlarang yang biasa dicampurkan ke dalam bahan minuman seperti kopi pracampur. Kopi yang mengandungi bahan-bahan terlarang ini sering diiklankan sebagai minuman penambah tenaga dan dengan tujuan perangsangan seks.
Sildenafil dan tadalafil ini merupakan bahan aktif dalam ubat yang membantu lelaki mengekalkan ereksi dan merawat penyakit mati pucuk (erectile dysfunction). Bahan ini hanya boleh diberikan kepada pesakit dengan pengawasan dan pemantauan doktor sahaja.
Tindakan mencampurkan bahan terlarang atau Ubat Terkawal ini ke dalam produk minuman amat berbahaya kerana dos sebenar yang dimasukkan tidak diketahui. Individu yang meminumnya berisiko mendapat kesan sampingan seperti pening kepala dan penglihatan menjadi kabur, tekanan darah meningkat, jantung berdegup laju dan mungkin mendapat serangan strok.
Hati-hati Memilih Kopi Pracampuran
Pengguna perlu lebih berhati-hati dalam memilih produk minuman, terutamanya bagi golongan lelaki yang menggemari kopi pracampur untuk tujuan menambah tenaga. Berikutan lambakan kopi pracampuran yang berada dalam pasaran, panduan-panduan berikut boleh diikuti bagi mengenal pasti kopi yang berkemungkinan telah dicampur dengan bahan terlarang atau Ubat Terkawal.
Pertama sekali, pengguna boleh melayari laman web NPRA bagi menyemak senarai kopi yang telah disahkan dicampur dengan bahan terlarang atau Ubat Terkawal. Maklumat ini boleh disemak dengan menekan pada pilihan ‘Produk Campurpalsu (Tidak Berdaftar)’. Pengguna hanya perlu memasukkan kata kunci, contohnya ‘sildenafil’ dalam ruangan carian untuk melihat senarai produk yang didapati bercampur dengan sildenafil, tadalafil atau analognya.
Selain itu, iklan ataupun bungkusan kopi pracampur yang disyaki dicampur dengan bahan terlarang ini sering memaparkan gambar atau perkataan berunsur seksual. Imej dan perkataan ini bertujuan memberi gambaran bahawa stamina seksual seseorang lelaki akan meningkat selepas pengambilan kopi tersebut.
Dari segi pengiklanan secara dalam talian, kopi campuran yang mengandungi bahan terlarang akan lebih mudah dikesan. Penjual akan lebih terbuka mengiklankan produk jualan mereka dengan pelbagai tuntutan atau kelebihan kopi yang dijual.
Panduan untuk Orang Awam
Pengguna disarankan agar lebih berhati-hati dan sentiasa peka terhadap kopi campuran yang terdapat dalam pasaran. Penggunaan kopi pracampur dicemari bahan terlarang atau Ubat Terkawal seperti sildenafil, tadalafil atau analognya boleh membahayakan kesihatan. Jika pengguna mengalami masalah seksual (sexual dysfunction), segera dapatkan nasihat doktor.
KKM sering melaksanakan program kesedaran dan pendidikan pengguna untuk memberi pendedahan berkaitan produk-produk yang berisiko dicampurkan dengan bahan terlarang. Selain itu, banyak usaha lain telah dijalankan untuk membendung penjualan produk-produk ini. Namun begitu, disebabkan permintaan yang masih tinggi, produk ini masih dijual. Oleh sebab itu, masyarakat perlu sama-sama membantu untuk menghentikan penjualan produk yang membahayakan ini.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh :
Rosdi bin Md Zin
Ketua Penolong Pengarah Kanan
Cawangan Penguatkuasa Farmasi
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka