Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

14 March 2021

KEPENTINGAN KEPATUHAN KEPADA RAWATAN BAGI PESAKIT KEGAGALAN BUAH PINGGANG

 

Menurut data National Health and Morbidity Survey, peratus pesakit kegagalan buah pinggang di Malaysia meningkat daripada 9.11% pada 2011 kepada 15.5% pada 2018. Angka ini dijangka meningkat sekiranya faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan buah pinggang tidak ditangani dengan berkesan.

 

Kegagalan buah pinggang terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. kegagalan buah pinggang akut (acute): buah pinggang tidak berfungsi sepenuhnya secara tiba-tiba untuk tempoh sementara, dan

  2. kegagalan buah pinggang kronik: fungsi buah pinggang merosot secara perlahan-lahan dalam tempoh yang panjang

 

Kegagalan buah pinggang boleh berlaku dengan peningkatan usia atau disebabkan oleh penyakit yang mengganggu fungsi buah pinggang seperti lupus, polycystic kidney disease dan nephritis. Selain itu, kegagalan buah pinggang juga merupakan komplikasi bagi penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi yang tidak terkawal.

 

Kepentingan Patuh kepada Rawatan Penyakit Kronik

 

Patuh kepada ubat-ubatan ialah faktor utama yang menentukan keberkesanan rawatan penyakit kronik. Selain itu, kepatuhan kepada rawatan juga dapat memperlahankan kemerosotan fungsi buah pinggang dan seterusnya mengelakkan komplikasi kegagalan buah pinggang.

 

Sekiranya penyakit tidak terkawal secara berterusan, kegagalan buah pinggang boleh menjadi kekal sehingga pesakit perlu menjalani dialisis. Bukan itu sahaja, pesakit kegagalan buah pinggang akan mengalami anemia, kerapuhan tulang, pengerasan salur darah dan pengumpulan air dalam badan. 

 

Pesakit kemudiannya akan diberikan ubat-ubatan untuk merawat masalah kesihatan tersebut. Antaranya termasuklah tablet kalsium sebagai pengikat fosfat, tablet zat besi, asid folik dan vitamin C untuk meningkatkan penghasilan sel darah merah serta vitamin D untuk membantu penyerapan kalsium dalam badan. Hal ini menyebabkan bilangan ubat yang perlu diambil semakin bertambah dan mungkin membebankan pesakit untuk kekal patuh kepada rawatan.

 

Komunikasi antara Ahli Profesional Kesihatan dengan Pesakit

 

Oleh sebab itu, pesakit digalakkan berbincang dengan doktor atau ahli farmasi dalam merancang jadual pengambilan ubat seharian. Jadual ini boleh disusun berpandukan beberapa faktor, seperti bilangan dos, aktiviti harian pesakit serta kesan sampingan ubat.

 

Selain itu, sebarang masalah tentang pengambilan ubat yang dihadapi boleh dimaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi. Sebagai contoh, kesan sampingan ubat yang menyebabkan pesakit enggan meneruskan rawatan boleh dibincangkan agar langkah terbaik dapat dikenal pasti untuk mengurangkan kesan sampingan tersebut.

 

Di sesetengah fasiliti kesihatan kerajaan, terdapat perkhidmatan Klinik Kepatuhan Terapi Ubat-ubatan (Medication Therapy Adherence Clinic, MTAC) yang dapat membantu pesakit menangani masalah pengambilan ubat-ubatan. Ahli farmasi akan menilai tahap kepatuhan pesakit dan mengenal pasti isu-isu yang dialami oleh pesakit dalam beberapa siri janji temu. MTAC turut membantu memberi motivasi dan mengubah perspektif pesakit terhadap penyakit yang dihadapi.

 

Bukan itu sahaja, pesakit juga dicadangkan menggunakan bantuan diari, kalendar atau jam penggera untuk membantu mengingatkan waktu pengambilan ubat. Ahli keluarga dan pasangan boleh memainkan peranan dengan memberi sokongan kepada pesakit agar berdisiplin dalam pengambilan ubat-ubatan.

 

Hati-hati Menggunakan Produk Kesihatan Tambahan

 

Kini terdapat banyak produk kesihatan tambahan dalam pasaran yang dikatakan mampu merawat penyakit kronik dan kegagalan buah pinggang. Pesakit harus berwaspada dan tidak terpedaya dengan dakwaan tersebut. Pesakit hendaklah berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang produk kesihatan tambahan. Paling penting sekali, pesakit perlu terus mengambil ubat-ubatan seperti yang diarahkan oleh doktor.

 

Elak Kegagalan Buah Pinggang adalah Usaha Semua Pihak

 

Menurut National Renal Registry Malaysia, setakat 2016, seramai 39,711 orang pesakit kegagalan buah pinggang di Malaysia menjalani rawatan dialisis. Bilangan ini dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Peningkatan ini dapat diperlahankan sekiranya pesakit patuh pada rawatan dan seterusnya mengurangkan risiko komplikasi kegagalan pinggang berlaku.

 

Semua pihak, sama ada pesakit, ahli keluarga, doktor, ahli farmasi atau petugas kesihatan lain perlu memainkan peranan masing-masing bagi membantu pesakit supaya lebih berdisiplin terhadap rawatan.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh :                                                                                                                                                      Nur Syuhada Ismail                                                                                                                                             Pegawai Farmasi                                                                                                                                               Hospital Melaka

 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman