Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

7 September 2023

Hati merupakan organ dalaman terbesar dan terlibat dalam pelbagai proses fisiologi utama tubuh. Dari aspek perubatan, hati berperanan penting dalam proses metabolisme (proses kimia yang berlaku dalam sel hidup) ubat-ubatan. Fungsi ini dapat memastikan bahan aktif yang terkandung dalam kebanyakan ubat dapat dimetabolisme agar menjadi kurang aktif sebelum dikumuhkan daripada tubuh.

 

Namun, terdapat beberapa kumpulan ubat yang diketahui dapat menyebabkan kecederaan kepada tisu hati. Kebiasaannya, keadaan ini terjadi apabila sesuatu ubat itu diambil pada dos yang tinggi atau secara berterusan tanpa sebarang pemantauan. Kecederaan pada tisu hati inilah yang dikenali sebagai kesan hepatotoksisiti yang berisiko menyebabkan kerosakan yang kronik pada hati dan seterusnya mengakibatkan kegagalan fungsi hati. 

 

Antara ubat yang berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti

 

Kesan hepatotoksisiti berkemungkinan berpunca daripada tindak balas yang dihasilkan oleh bahan aktif atau metabolit ubat terhadap sel dan tisu pada hati. Metabolit merupakan hasil proses metabolisme ubat. Mekanisme tindak balas yang mengakibatkan kesan hepatotoksisiti adalah berlainan dan lazimnya bergantung kepada laluan metabolisme (metabolism pathway) sesuatu ubat. Antara contoh ubat yang dilaporkan berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti termasuklah:

 

(a) Paracetamol

Paracetamol merupakan antara ubat yang paling biasa digunakan sebagai ubat demam atau analgesik. Kesan hepatotoksisiti yang dikaitkan dengan paracetamol berpunca daripada metabolit yang terhasil daripada proses metabolisme ubat ini. Tindak balas metabolit ini dengan komponen di dalam sel hati akan menghasilkan radikal bebas yang seterusnya menyebabkan kecederaan tisu hati. 

 

Pengguna harus lebih berhati-hati apabila hendak mengambil ubat ini memandangkan paracetamol terdapat dalam beberapa bentuk sediaan. Hal ini dapat meningkatkan risiko dos berlebihan tanpa disengajakan yang berkemungkinan menyebabkan kerosakan hati.

 

(b) ubat-ubat antiepileptik

 

Ubat-ubat antiepileptik digunakan untuk mengawal epilepsy atau lebih dikenali sebagai sawan. Antara contoh ubat antiepileptik yang dilaporkan boleh menyebabkan kesan hepatotoksisiti ialah phenytoin, asid valproik, lamotrigine dan carbamazepine. 

 

Kesan hepatotoksisiti yang berpunca daripada pengambilan ubat-ubat ini disebabkan oleh dua mekanisme utama iaitu melalui penghasilan metabolit yang toksik serta reaksi tindak balas alergi terhadap tisu hati.

 

(c)  ubat antibiotik

 

Ubat ini digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Beberapa jenis ubat antibiotik yang dilaporkan berisiko mengakibatkan kesan hepatotoksisiti ialah erythromycin, ciprofloxacin, nitrofurantoin, kombinasi amoxicillin dan clavulanate serta kombinasi sulfamethoxazole dan trimethoprim. Ubat antibiotik juga merangkumi ubat untuk rawatan tuberkulosis seperti isoniazid, rifampicin dan pyrazinamide.

 

Mekanisme yang menyebabkan kesan hepatotoksisiti selepas penggunaan antibiotik sukar diterangkan dengan terperinci dan bergantung kepada ubat yang berkenaan secara individu. Sebagai contoh, komponen clavulanate didapati menjadi penyebab kesan hepatoksisiti selepas pengambilan ubat kombinasi amoxicillin dan clavulanate. Ubat nitrofurantoin dan isoniazid pula mengakibatkan kesan hepatoksisiti melalui penghasilan metabolit dan radikal bebas yang berbahaya kepada tisu hati. Bagi ubat pyrazinamide, risiko untuk kesan hepatotoksisiti berlaku berkadar langsung dengan dos yang diambil tetapi sebaliknya, bagi ubat erythromycin, kesan hepatotoksisiti ini tidak dipengaruhi langsung oleh dos dan tempoh pengambilannya.

 

Selain tiga kumpulan ubat ini, terdapat beberapa lagi kumpulan ubat yang dilaporkan berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti. Antaranya seperti ubat antikulat, ubat untuk rawatan arrythmia (rentak jantung tidak normal), ubat antipsikiatri dan ubat untuk rawatan gout. 

 

Panduan penggunaan ubat untuk mengelakkan kesan hepatotoksisiti

 

Memandangkan kesan hepatotoksisiti yang berlarutan berisiko mengakibatkan kegagalan fungsi hati, ubat-ubat yang telah dikenal pasti dapat menyebabkan kesan hepatotoksisiti hendaklah diambil dan digunakan dengan lebih berhati-hati. Secara lazimnya, doktor yang merawat akan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap pesakit yang perlu mengambil ubat-ubat yang berisiko ini. Penilaian ini termasuklah ujian fungsi hati yang dilakukan sebagai salah satu cara mengetahui status fungsi hati. 

 

Keputusan ujian fungsi hati ini dapat membantu doktor memilih ubat yang bersesuaian atau dos yang selamat untuk diambil oleh pesakit. Sekiranya ujian fungsi hati menunjukkan hati pesakit tidak berfungsi dengan optimum, ubat-ubat yang berisiko perlu dimulakan dengan lebih berhati-hati. Misalnya, dos ubat tersebut perlu diubah suai mengikut kaedah yang bersesuaian. Di samping itu, penggunaannya harus dipantau secara berterusan. Dalam hal ini, keputusan ujian fungsi hati berperanan penting sebagai panduan kepada doktor untuk menentukan sama ada ubat tersebut boleh terus diambil oleh pesakit atau perlu dihentikan selepas beberapa tempoh diambil.

 

Pesakit pula hendaklah mengambil ubat-ubat ini mengikut dos dan kekerapan yang telah dipreskripsi oleh doktor. Pesakit tidak seharusnya mengambil ubat pada dos yang lebih tinggi atau secara lebih kerap sehingga melebihi dos maksimum yang dibenarkan. Tindakan ini dikhuatiri akan meningkatkan risiko kesan hepatotoksisiti. Bahkan, perkara ini perlu lebih dititikberatkan dalam pengambilan ubat yang tergolong dalam kategori ubat am seperti paracetamol.

 

Selain itu, pesakit dinasihatkan agar sentiasa membaca label setiap kali sebelum mengambil ubat untuk memastikan kesilapan pengubatan tidak berlaku. Membaca dan memahami label, terutamanya maklumat berkaitan nama dan kekuatan ubat, dapat mengelakkan pesakit terambil ubat yang mengandungi bahan aktif yang sama lalu menyebabkan kejadian terlebih dos tanpa disengajakan.

 

Pesakit juga disaran agar sentiasa memaklumkan doktor atau ahli farmasi sebarang ubat-ubatan lain atau produk suplemen kesihatan yang sedang diambil, sekiranya ada. Selain ubat-ubatan, produk suplemen kesihatan juga dikhuatiri mengandungi bahan aktif yang berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti. Antara contoh kandungan produk suplemen kesihatan yang berkemungkinan menyebabkan kesan ini termasuklah black cohosh, mistletoe dan senna. 

 

Sejarah perubatan terutamanya yang berkaitan dengan hati juga merupakan antara informasi penting yang harus dikongsikan oleh pesakit kepada doktor atau ahli farmasi. Begitu juga bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan bagi penyakit berkaitan hati, maklumat tentang rawatan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada ahli profesional kesihatan. Maklumat-maklumat ini penting untuk doktor merancang pelan rawatan yang bersesuaian dan selamat dengan tahap kesihatan serta fungsi hati pesakit. 

 

Kesimpulan

 

Sesetengah ubat diketahui berisiko menyebabkan kesan hepatotoksisiti kepada hati. Namun, disebabkan kegunaannya tetap diperlukan untuk mengawal dan merawat penyakit-penyakit lain, ubat-ubatan ini masih perlu diambil mengikut dos dan aturan yang telah ditetapkan. Pemantauan yang berterusan juga dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya kesan hepatotoksisiti. Bukan itu sahaja, komunikasi antara pesakit dengan ahli profesional kesihatan juga dapat membantu dalam perancangan rawatan yang lebih selamat.

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman