Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

10 Januari 2023

Organofosfat adalah bahan kimia yang digunakan secara meluas sebagai racun serangga perosak dalam bidang pertanian dan juga di rumah. Antara jenis racun organofosfat yang sering digunakan ialah malathion, diazinon dan chlorpyrifos. Penggunaan racun serangga merupakan salah satu usaha bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan kerugian hasil akibat serangan serangga perosak. Namun, World Health Organisation (WHO) telah menganggarkan kira-kira 200,000 kematian dilaporkan setahun akibat keracunan organofosfat yang disengajakan di seluruh dunia. 

 

Keracunan organofosfat boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada racun melalui 3 cara iaitu melalui pernafasan apabila terhidu semburan racun perosak, melalui mulut apabila makanan atau minuman yang diambil telah dicemari racun tersebut dan juga melalui kulit. Gejala keracunan organofosfat dapat dilihat dalam tempoh 6 hingga 12 jam selepas terdedah kepada racun ini. Gejala awal keracunan termasuklah batuk, masalah pernafasan yang teruk, kadar degupan jantung yang perlahan, tekanan darah rendah, hidung berair, loya, muntah, sawan, penglihatan menjadi kabur dan penghasilan peluh serta air liur yang berlebihan. Keracunan organofosfat yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kerosakan kekal fungsi ginjal, hati, paru-paru, saraf serta boleh mengakibatkan kematian.


 

Rawatan Keracunan Organofosfat

 

Apabila kulit terkena racun serangga organofosfat, cuci bahagian badan yang terlibat dengan sabun dan air yang banyak seterusnya mandi dan tukar kepada pakaian yang bersih. Sekiranya racun terkena pada mata, pastikan mata dicuci dengan air yang mengalir. Bagi kes tertelan racun organofosfat, orang awam dinasihatkan untuk mendapat rawatan di jabatan kecemasan secepat mungkin.

 

Matlamat pertama rawatan kecemasan adalah memastikan pesakit dalam keadaan stabil. Petugas kesihatan akan memberikan perhatian kepada pernafasan pesakit bagi mendapatkan kembali pola pernafasan yang normal. Bekalan oksigen tambahan akan diberikan bagi menjamin paras oksigen berada pada tahap optimum. 

 

Bagi kes keracunan yang serius, antidot diperlukan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Terdapat tiga jenis antidot yang lazimnya digunakan untuk keracunan organofosfat iaitu atropine, pralidoxime dan diazepam. 

 

Atropine digunakan untuk mengurangkan pengeluaran air liur berlebihan dan mengeringkan cecair dalam saluran pernafasan. Ubat ini juga melegakan gejala saluran penafasan sempit. Dos awal sebanyak 1 - 2 mg akan diberikan secara intravena. Sekiranya tiada kesan sampingan ubat diperhatikan, dos atropine boleh digandakan setiap lima minit sehingga gejala keracunan reda. 

 

Antara kesan sampingan atropine termasuklah sakit dada dan demam dengan suhu tinggi. Namun, manfaat penggunaannya dalam rawatan bagi pesakit yang mempunyai gejala melebihi risiko kesan sampingan tersebut.

 

Selain itu, pralidoxime juga digunakan untuk merawat keracunan organofosfat. Ubat ini bertindak dengan melegakan gejala seperti lemah otot dan lumpuh. Bagi menjamin keberkesanan ubat ini, pralidoxime perlu digunakan dalam tempoh masa 24 hingga 48 jam selepas keracunan berlaku. Kesan sampingan pralidoxime termasuklah pening kepala, kabur penglihatan, penglihatan berganda, sakit kepala dan loya. 

 

Diazepam pula digunakan untuk mengawal sawan akibat keracunan organofosfat. Ubat ini dapat mengurangkan kerosakan pada sistem saraf pusat pesakit. Dos diazepam diberikan secara intravena sebanyak 2-10mg dan boleh dinaikkan setiap tiga hingga sepuluh minit sekiranya perlu. Kesan sampingan diazepam termasuk rasa mengantuk, ruam, sakit kepala, loya dan cirit-birit. 

 

Kesimpulannya, bagi golongan yang berisiko untuk mendapat keracunan organofosfat seperti pekerja dalam bidang pertanian dan individu yang tinggal berhampiran ladang, langkah pencegahan perlu diambil. Pekerja di ladang perlu lengkap dengan alat perlindungan diri seperti sarung tangan, gogal dan topeng semasa mengendalikan sebarang racun atau bahan kimia. Tindakan dan rawatan awal adalah penting seandainya terdapat pendedahan kepada organofosfat sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius dan boleh membawa maut.

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum). 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman