Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

14 April 2019

Kanser kolorektal atau kanser usus adalah penyakit yang kedua kerap (13.2%) berlaku di Malaysia selepas kanser payudara (17.7%). Merujuk kepada Laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2007-2011, kanser kolorektal merupakan kanser utama yang menyerang kaum lelaki (16.3%) dan kedua bagi kaum wanita (10.7%). 

Perkataan kolorektal merujuk kepada lokasi penyakit ini terjadi iaitu di bahagian usus besar (kolon) atau rektum (bahagian akhir usus besar). Kanser kolorektal biasanya bermula daripada ketumbuhan atau benjolan kecil yang dikenali sebagai polip pada permukaan usus dan berubah menjadi sel kanser selepas satu tempoh tertentu. Walau bagaimanapun, bukan semua polip akan berubah menjadi kanser. 

Gejala 

Penyakit kanser kolorektal mungkin tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal. Kebiasaannya pesakit akan mengalami gejala-gejala seperti perubahan rutin membuang air besar (sembelit atau cirit-birit), kembung, najis berdarah, susut berat badan dan rasa keletihan. 

Faktor Risiko 

Penyebab kanser kolorektal yang sebenar masih belum diketahui. Namun, faktor yang mendorong kepada peningkatan risiko kanser kolorektal boleh dikaitkan dengan gaya hidup seperti cara pemakanan (makanan tinggi lemak dan kurang serat), obesiti, merokok dan pengambilan alkohol. Selain itu, sejarah keluarga (faktor genetik) juga boleh meningkatkan lagi risiko untuk mendapat penyakit ini. 
Kejadian kanser kolorektal meningkat dengan penambahan usia. Pengesanan dan rawatan awal peyakit kanser kolorektal adalah penting bagi meningkatkan peluang untuk sembuh.  

Jenis-jenis Rawatan 

Jenis rawatan penyakit kanser kolorektal adalah bergantung kepada tahap kanser, lokasi kanser dan keadaan pesakit. Antara rawatan yang biasa diberikan adalah pembedahan, radioterapi dan kemoterapi.  

  • Pembedahan dijalankan bergantung kepada saiz kanser, lokasi sel kanser dan tahap kanser itu dalam tubuh.  
  • Radioterapi atau terapi sinaran bertenaga tinggi diberikan untuk membunuh sel kanser atau mengecutkan tumor. 
     
  • Kemoterapi adalah pemberian ubat-ubatan untuk membunuh sel kanser supaya tidak merebak ke bahagian badan yang lain. Ubat-ubatan yang biasanya diberikan kepada pesakit kolorektal kanser adalah seperti 5-Fluorouracil (5FU), Capecitabine dan Oxaliplatin. Pesakit akan mendapat rawatan kemoterapi untuk beberapa kitaran (cycles) supaya sel kanser dapat dimusnahkan dengan lebih berkesan. 

 
Jenis atau kombinasi ubat kemoterapi (regimen) yang diberikan kepada pesakit adalah bergantung kepada tahap kanser. Bentuk dosej ubat yang diberikan sama ada secara oral atau suntikan juga mungkin berlainan antara pesakit. 
 
Ubat kemoterapi boleh menyebabkan pesakit mengalami kesan sampingan. Kesan sampingan yang dialami oleh pesakit adalah berbeza bergantung kepada lokasi kanser sama ada di kolon atau rektum dan jenis ubat antikanser yang digunakan. Antara contoh kesan sampingan adalah seperti cirit-birit, ulser mulut, mual, muntah, pendarahan, pengurangan sel darah putih yang seterusnya boleh meningkatkan risiko pesakit terdedah kepada jangkitan dan demam. Namun, kesan sampingan ini hanya untuk sementara ketika rawatan kitaran kemoterapi dilakukan.  

Kesimpulannya, amalan gaya hidup sihat seperti mengamalkan diet yang seimbang, meningkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, bersukan, berhenti merokok dan mengehadkan pengambilan alkohol boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser kolorektal.  

Komitmen daripada pesakit adalah sangat penting semasa menjalani rawatan. Pesakit perlu mengambil tahu status penyakit yang dihidapi, rawatan yang diberikan dan cara untuk menangani kesan sampingan ubat. Dapatkan nasihat daripada doktor dan ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan penyakit dan rawatan kemoterapi ini. 

Selain itu, sokongan dan motivasi daripada ahli keluarga dan rakan-rakan amat diperlukan kerana secara tidak langsung ia dapat memberi sokongan kepada pesakit kanser untuk menjalani rawatan kemoterapi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. 

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call CentreNPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap