Pengenalan
Air kencing terbentuk di dalam buah pingggang mengalir melalui struktur tiub yang dipanggil ureter ke pundi kencing sebelum dikeluarkan. Batu karang atau kalkuli boleh ditemui di mana saja pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing. Di Malaysia batu karang biasa ditemui di bahagian atas saluran kencing ( buah pinggang dan ureter). Kekerapan batu karang ini adalah 10%-20% di Asia berbanding dengan 15%-18% di negara barat.
Batu karang terbentuk apabila terdapat kepekatan yang tinggi bahan-bahan tertentu di dalam air kencing yang menyebabkan terbentuknya kristal. Biasanya air kencing mempunyai bahan yang dipanggil ‘penghalang’ yang menghalang pembentukan batu karang, tetapi ada setengah kes ia tidak berfungsi. Kepekatan air kencing yang tinggi ini biasa terjadi pada mereka yang sering kali kekeringan (dehydrasi) kerana kurang pengambilan cecair. Sebahagian daripada mereka mungkin mempunyai paras bahan ini yang lebih tinggi dari paras normal di dalam darah dan meningkatkan jumlah bahan ini di dalam air kencing. Jangkitan salur kencing yang berulang kali juga menggalakkan pembentukan batu karang. Apabila terdapat halangan pada saluran air kencing seperti pembesaran kelenjar prostat, takungan air kencing akan menyebabkan berlakunya jangkitan dan pembentukan batu karang yang berulang-ulang. Sebahagian pesakit mungkin dilahirkan dengan saluran air kencing yang tidak normal yang menyebabkan halangan pada saluran air kencing.
Ada beberapa jenis batu karang, antaranya ialah kalsium oxalate, asid urik dan cystine. Batu jenis struvite pula terdiri daripada magnesium, ammonia dan fosfat bercampur dengan karbonat. Ini dikenali juga sebagai batu jangkitan. Di Malaysia, batu jenis kalsium oxalate, asid uric dan batu jangkitan biasa di temui.
Gejala dan Tanda
Batu karang di buah pinggang biasanya tidak menyebabkan kesakitan dan mungkin ditemui secara tidak sengaja semasa pemeriksaan ultrasound atau x-ray abdomen untuk sebab-sebab yang lain. Batu yang kecil mungkin boleh keluar tanpa rasa sakit atau mungkin menyebabkan rasa sakit yang teramat sangat daripada belakang hingga ke kemaluan dengan rasa mual dan muntah yang biasanya disebut sebagai ‘Renal Colic’. Ini berlaku apabila batu itu bergerak melalui saluran ureter yang sempit yang mengecut untuk mengeluarkannya. Setengah pesakit akan merasa sakit yang tajam pada testikel mereka atau sepanjang zakar mereka semasa kencing. Mereka biasanya dapat mengesan adanya darah di dalam air kencing.
Batu yang lebih besar yang tidak boleh keluar dengan sendiri mungkin tersekat di dalam ureter dan menyebabkan halangan. Ini akan menyebabkan sakit yang berterusan dan mungkin demam jika terdapat jangkitan kuman. Biasanya pesakit batu karang di buah pinggang akan merasa sakit dan sengal-sengal di belakang. Sakit ini tidak dipengaruhi oleh pergerakan atau perubahan postur yang biasanya disebabkan oleh sakit yang berpunca dari tulang ataupun otot.