Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

14 Februari 2021

Kehamilan Dan Ubat-Ubatan

 

Penjagaan kesihatan amat penting sepanjang tempoh kehamilan kerana perubahan hormon dan fisiologi tubuh memberi kesan kepada perkembangan bayi. Menurut artikel di portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), gaya hidup sihat hendaklah diamalkan dalam 3 bulan pertama kehamilan. Pemakanan, aktiviti fizikal dan pengambilan ubat-ubatan perlu diberi perhatian kerana organ penting bayi terbentuk sepanjang fasa ini.

 

Pengambilan ubat-ubatan semasa kehamilan merupakan antara perkara yang tidak dapat dielakkan bagi mencegah, mengawal atau merawat penyakit. Contohnya pengambilan ubat-ubatan untuk penyakit biasa seperti demam, selesema, batuk, jangkitan atau penyakit ringan yang lain. Bagi ibu hamil yang menghidap penyakit kronik (seperti diabetes, darah tinggi dan sawan), sebelum kehamilan lagi, mereka nasihat doktor atau ahli farmasi diperlukan sebelum menyambung rawatan. Terdapat kebarangkalian rawatan akan diberhentikan atau ditukarkan kepada rawatan lain semasa hamil kerana doktor akan menilai sama ada terdapat manfaat meneruskan rawatan melebihi risiko kepada ibu dan bayi.

 

Kesan Ubat-ubatan kepada Bayi

 

Plasenta atau uri ialah penghubung antara ibu dan bayi dalam membekalkan nutrisi selain berfungi mengeluarkan sisa buangan bayi. Terdapat ubat-ubatan yang dapat melalui plasenta dan memberi kesan langsung kepada bayi dalam kandungan. 

 

Menurut laporan pihak berkuasa perubatan di Jerman pada 1961, terdapat lebih 10,000 bayi dilahirkan cacat anggota disebabkan oleh pengambilan ubat thalidomide dalam kalangan ibu hamil sehingga diharamkan penggunaannya. Ubat ini dianggap ajaib pada masa tersebut kerana digunakan sebagai ubat tidur, penenang, mengurangkan rasa mual dan muntah tanpa memberi kesan mudarat kepada ibu hamil. Tragedi ini telah membuka mata banyak pihak tentang kepentingan keselamatan ubat-ubatan kepada ibu hamil agar kejadian yang sama tidak berulang.

 

Vitamin & Ubat Sapu

 

Kebiasaannya ibu hamil dibekalkan vitamin untuk melengkapkan tumbesaran bayi, mengurangkan risiko kecacatan, kelahiran pramatang dan kekurangan berat bayi kerana sumber vitamin daripada makanan seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang tidak mencukupi. Antara vitamin yang diberikan kepada ibu hamil:

 

  • Folic acid: Diperlukan untuk pembentukan tengkorak dan tulang belakang bayi bagi melindungi otak dan saraf tunjang, mencegah kecacatan tulang belakang dan risiko sumbing.

  • Ferrous fumarate: Juga dikenali sebagai zat besi, berfungsi meningkatkan pembentukan sel darah merah bagi menyokong perkembangan bayi, mengelakkan kelahiran pramatang dan kejadian kekurangan darah terutama semasa kelahiran.

  • Vitamin B Complex: Amat bermanfaat untuk pertumbuhan bayi termasuk kuku, kulit, rambut dan mata bayi serta mengurangkan masalah alahan, tekanan dan kekejangan otot ibu hamil.

  • Vitamin C: Meningkatkan daya ketahanan badan ibu dan bayi serta membantu penyerapan zat besi.

 

Ubat-ubatan jenis sapuan pada kulit seperti minyak angin pada asasnya adalah selamat. Namun, penting untuk ibu hamil mengetahui kandungannya sebelum menggunakannya agar tidak mengganggu tumbesaran bayi. 

 

Pembelian Ubat Secara Dalam Talian

 

Pengguna kini cenderung kepada pembelian secara dalam talian kerana mudah dan menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, ibu hamil perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan testimoni penjual tanpa menyemak lebih lanjut aspek keselamatan ubat tersebut. Pastikan semua ubat yang diambil berdaftar dengan KKM agar terjamin aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya serta tidak dicemari dengan bahan terlarang yang boleh memudaratkan nyawa ibu termasuk bayi dalam kandungan.

 

Kesimpulan

 

Ubat-ubatan, suplemen dan makanan tambahan boleh memberi manfaat atau membawa kemudaratan kepada ibu serta bayi dalam kandungan. Ambil tahu setiap ubat yang diambil dan bertanya kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang kemusykilan. Semak kesahihan ubat yang hendak digunakan melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status yang boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store atau Apple Apps Store. 

 

Pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum), sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan.

 

 Disediakan oleh :                                                                                                                                               Rohaizan binti Mohd. Hanafiah                                                                                                                             Ketua Penolong Pengarah Kanan                                                                                                                       Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman