1. Fiesta Kenali Ubat Anda telah dirasmikan pada 19hb September 2015 oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
2. Pelbagai aktiviti telah diadakan, antaranya :
i. Menyampaikan ceramah bertajuk ‘Ciri-Ciri Ubat Berdaftar’ dan ‘Penggunaan Ubat Secara Berkualiti’ kepada pengunjung yang hadir.
ii. Bahagian Amalan & Perkembangan Farmasi turut membuat pameran berkaitan Kerintangan Antibiotik serta Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi.
·Anggaran pengunjung yang mengunjungi kaunter ini adalah seramai 400 orang berdasarkan borang maklumbalas yang diisi.
·Beberapa aktiviti menarik disediakan untuk menarik kehadiran pengunjung seperti roda ubat yang mewakili soalan berkisar tentang Antibiotik serta Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi, soal selidik berkaitan kempen kesedaran antibiotik, photo booth, pameran poster dan promosi Kerintangan Antibiotik serta Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi melalui edaran risalah.
iii. Kaunter khas untuk sesi kaunseling yang diwakili oleh 16 orang ahli farmasi (2 sesi) turut dibuka kepada pengunjung dengan kerjasama daripada pegawai farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia dan swasta. Antara tajuk yang diberikan keutamaan adalah:
·Cara penyimpanan ubat yang betul. Kuiz interaktif turut diadakan bagi menguji kefahaman berkaitan penyimpanan ubat yang betul.
·Cara penggunaan alat perubatan (medical devices) yang betul, antaranya penggunaan pen insulin dan inhaler.
·Informasi ubat-ubatan menggunakan album ubat dan carta flip.
iv. Pameran daripada wakil Duta Kenali Ubat Anda (wakil masyarakat yang berpengaruh) turut mendapat sambutan. Pameran ini menekankan isu-isu penting berkaitan penggunaan serta pengambilan ubat-ubatan dengan cara yang betul. Antara tajuk yang ditekankan adalah amalan 5B, masa pengambilan ubat yang betul, dan juga cara mengenalpasti ubat-ubatan yang berdaftar. Seramai 76 Duta Kenali Ubat Anda telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan Fiesta Kenali Ubat Anda.
v. Selain itu, pameran ini turut menampilkan koleksi gambar aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Duta Kenali Ubat Anda dari seluruh Malaysia. Melalui pameran ini, orang awam didedahkan dengan peranan Duta Kenali Ubat Anda bersama-sama pegawai farmasi yang melibatkan diri secara aktif dalam menyampaikan maklumat asas berkaitan ubat-ubatan dan seterusnya meningkatkan pengetahuan masyarakat.
vi. Pameran pada Fiesta Kenali Ubat Anda 2015 bukan sahaja melibatkan agensi dalam Kementerian Kesihatan Malaysia, tetapi turut dimeriahkan dengan penyertaan daripada kementerian lain serta syarikat farmaseutikal. Terdapat 12 agensi lain yang turut membuat pameran pada hari tersebut, antaranya termasuklah Kementerian Belia & Sukan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, serta Persatuan Farmasi Malaysia (MPS). Penglibatan daripada pelbagai agensi jelas menunjukkan kerjasama yang utuh dalam kalangan sektor kerajaan dan swasta dalam menjayakan Fiesta Kenali Ubat Anda 2015.