Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

2 Mei 2021

Penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria mycobacterium tuberculosis. Bakteria ini merebak melalui titisan pernafasan di udara, iaitu apabila pesakit tibi batuk, bersin atau bercakap. Bakteria ini kebiasaannya menjangkiti paru-paru dan menyebabkan tuberkulosis pulmonari. Terdapat juga kes bakteria ini menjangkiti organ lain seperti otak, tulang dan sendi. 

 

Penyakit tibi aktif dirawat selama enam bulan. Rawatan tersebut terdiri daripada dua bulan rawatan intensif menggunakan ubat isoniazid, rifampicin, pyrazinamide, and ethambutol.

 

Kepatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan adalah penting untuk memastikan keberkesanan rawatan. Ubat jenis kombinasi yang mengandungi kesemua ubat dalam fasa aktif merupakan pilihan terbaik untuk meningkatkan kepatuhan pesakit kepada rawatan. Ubat kombinasi ini, contohnya seperti Akurit-4® dan Forecox® membolehkan pesakit mengambil sejenis ubat sahaja.

 

Rawatan diteruskan bagi empat bulan berikutnya dengan ubat isoniazid dan rifampicin. Sekiranya aturan pengambilan yang betul dipatuhi, kebanyakan penyakit tibi dapat dirawat dengan ubat-ubatan.

 

Implikasi Ketidakpatuhan kepada Rawatan Tibi

 

Isu kepatuhan pesakit kepada rawatan tibi tidak boleh dipandang ringan. Kegagalan rawatan akibat ketidakpatuhan pesakit meningkatkan risiko kerintangan terhadap pelbagai ubat tibi (multiple drug resistance-tuberculosis, MDR-TB).

 

MDR-TB terjadi apabila bakteria penyebab tibi kebal kepada kebanyakan ubat tibi pilihan pertama (first line), terutamanya isoniazid dan rifampicin. Kini, kerintangan terhadap ubat fluoroquinolone dan beberapa jenis ubat suntikan pilihan kedua (second line) iaitu extensively drug-resistant tuberculosis (XDR-TB) telah dikenal pasti.

 

MDR-TB dan XDR-TB menyukarkan proses penyembuhan dan meningkatkan komplikasi penyakit tibi. Bilangan ubat bagi pesakit yang menghidapi MDR-TB dan XDR-TB adalah lebih banyak berbanding rawatan tibi yang biasa. Rawatan ini perlu diambil dalam jangka masa yang lebih lama, iaitu sekurang-kurangnya 20 bulan. Pesakit juga berisiko mengalami lebih banyak kesan sampingan.

 

Salah satu faktor yang menyebabkan pesakit tidak patuh kepada rawatan ialah kesan sampingan ubat tibi. Sesetengah pesakit meninggalkan dos dengan sengaja atau berhenti meneruskan rawatan kerana mengalami kesan sampingan yang agak serius.

 

Menangani Kesan Sampingan Ubat Tibi

 

Kesan sampingan yang biasa bagi hampir kesemua ubat tibi ialah rasa loya dan muntah. Kesan ini mungkin lebih serius pada permulaan rawatan tetapi akan sembuh secara beransur-ansur.

 

Sekiranya rasa loya dan muntah keterlaluan, pesakit boleh menyusun semula masa pengambilan ubat supaya tidak semua ubat perlu diambil pada masa yang sama. Sebagai cadangan, isoniazid dan rifampicin boleh diambil pada waktu pagi manakala ethambutol dan pyrazinamide pula diambil pada waktu petang atau malam.

 

Pesakit boleh mengalas perut dengan makanan lembut seperti bubur sebelum mengambil ubat tibi. Selain mengurangkan kesan sampingan, cara ini juga meningkatkan pengambilan cecair bagi mengelakkan dehidrasi akibat muntah terlalu kerap.

 

Kesan sampingan lain isoniazid dan rifampicin ialah gatal-gatal atau ruam. Keadaan ini boleh dirawat dengan ubat antihistamin. Walau bagaimanapun, jika terdapat ruam di seluruh badan berserta demam melebihi tiga hari, pemeriksaan doktor diperlukan dengan kadar segera.

 

Ubat rifampicin juga boleh menyebabkan air kencing, air mata atau peluh menjadi warna jingga kemerahan. Pesakit disarankan agar tidak memakai kanta lekap sepanjang tempoh rawatan tibi.

 

Di samping itu, pesakit juga dinasihati untuk banyak minum air sepanjang tempoh rawatan tibi.

 

Nasihat untuk Pesakit Tibi

 

Cara pengambilan ubat tibi yang betul seperti diarahkan adalah penting untuk pesakit pulih sepenuhnya. Ikuti panduan pengambilan ubat yang berikut:

  1. Makan ubat mengikut dos, selang dan jangka masa yang ditetapkan,

  2. Guna kalendar, jadual atau jam penggera untuk membantu mengingat masa pengambilan ubat tibi,

  3. Makan semua ubat sejam sebelum makan pada masa yang sama setiap hari, 

  4. Tidak mengurangkan dos atau memberhentikan rawatan dengan sengaja,

  5. Hadir ke klinik dengan segera sekiranya ubat tidak mencukupi,

  6. Menepati tarikh janji temu doktor,

  7. Bincang tentang kesan sampingan yang dialami dengan doktor atau ahli farmasi. 

 

Ahli keluarga perlu membantu memastikan pesakit tibi mengambil ubat secara konsisten. Sokongan yang padu diberikan kepada pesakit supaya pesakit berdisiplin meneruskan rawatan walaupun mengalami kesan sampingan rawatan tibi. Pesakit perlu diingatkan bahawa rawatan tibi yang berkesan adalah penting untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh :                                                                                                                                                      Audrey Lim Huili                                                                                                                                                  Pegawai Farmasi                                                                                                                                                    Institut Penyelidikan Klinikal

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman