Pengenalan
Inguinal hernia, atau lebih dikenali sebagai ‘angin pasang’ dalam Bahasa Melayu, adalah sejenis keadaan di mana usus atau selaputnya (omentum) terjatuh masuk ke dalam sebuah kantung (pouch), dan kantung tersebut terjulur keluar melalui pembukaan otot dinding perut di bahagian ari-ari (groin).
Keadaan ini disebabkan oleh pembukaan pada otot dinding perut (abdomen) yang dalam kebanyakan masa bukaan ini akan tertutup secara semula jadi sewaktu bayi dilahirkan ataupun dalam tahun pertama kehidupan.
Ia berbeza dengan kejadian ‘angin pasang’ di kalangan orang dewasa di mana faktor utamanya disebabkan oleh kelemahan otot dinding perut yang berkaitan dengan peningkatan umur dan masalah-masalah kesihatan lain.
Inguinal hernia BUKAN disebabkan oleh gaya pemakanan seseorang ibu mengandung. Ia tidak dapat dikesan sewaktu bayi berada dalam kandungan.
Demografi dan Epidemiologi
Secara keseluruhannya, kadar masalah inguinal hernia di kalangan kanak-kanak adalah 3%.
Kebanyakannya melibatkan kanak-kanak lelaki (6-10 kali ganda berbanding dengan perempuan).
Inguinal hernia adalah sejenis keadaan yang berisiko tinggi, terutamanya di kalangan bayi-bayi di bawah umur 1 tahun. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi disebabkan oleh usus yang terperangkap di dalam kantung hernia (rujuk bahagian ‘Komplikasi’). Kadar ini dijangka dalam lingkungan 30%.
Untuk bacaan lanjut, sila klik di sini