Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

28 July 2019

Susu ibu membekalkan sumber nutrisi yang terbaik kepada bayi. Kandungan nutrisi ini mampu menguatkan imuniti bayi. Oleh sebab kebaikan yang terbukti dalam susu ibu, Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan ibu untuk menyusukan bayi mereka sejak lahir sehingga usia enam bulan dan meneruskannya sehingga umur anak dua tahun.  
 
Ada ketikanya ibu yang menyusukan bayi perlu mengambil ubat-ubatan tertentu bagi merawat masalah kesihatan mereka. Pada masa yang sama, persoalan sering timbul berkaitan kesan sampingan ubat kepada bayi kerana terdapat ubat-ubatan yang diambil boleh meresap masuk ke dalam susu ibu. Secara amnya, keselamatan ubat yang diambil adalah bergantung kepada jenis ubat, penyakit ibu serta umur bayi yang disusukan. 
 
Kesan sampingan ubat dipengaruhi oleh kepekatan ubat dalam susu ibu. Kemasukan ubat ke dalam susu juga bergantung kepada saiz molekul ubat, kadar pelekatan ubat terhadap protein, sifat larut dalam lemak sesuatu ubat, bagaimana ubat disingkirkan daripada badan, cara pengambilan sesuatu ubat, dos ubat serta kekerapan pengambilannya.  
 
Justeru, ibu yang menyusukan anak dinasihati untuk memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi semasa mendapat rawatan agar ubat yang sesuai dapat diberikan. Walau bagaimanapun, pemantauan perlu dilakukan terhadap bayi yang menyusu sekiranya ibu terpaksa mengambil sesetengah jenis ubat-ubatan. Ini adalah penting bagi memastikan kesan sampingan atau kesan yang tidak diingini dapat dielakkan. Terdapat beberapa jenis ubat yang perlu diberi perhatian semasa menyusukan anak:  

 

  • Ubat yang selamat digunakan dalam penyusuan  Ubat dalam kategori ini selamat dalam penyusuan kerana kepekatan ubat yang diserap ke dalam susu ibu adalah rendah. Antara contohnya adalah ubat demam paracetamol.
     
  • Ubat yang boleh diambil ketika penyusuan dan perlu memantau kesan sampingan kepada bayi Ubat-ubatan dalam kategori ini biasanya jarang memberi kesan sampingan atau hanya memberi kesan sampingan yang ringan kepada bayi yang menyusu. Jika berlaku kesan sampingan kepada bayi, ibu dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor yang merawat. Ubat alternatif yang lain mungkin diberikan jika perlu.  
     
  • Ubat yang perlu dielak jika boleh  Ubat dalam kategori ini hanya disarankan untuk diambil oleh ibu menyusu sekiranya tiada alternatif ubat yang lain. Dalam keadaan tertentu, penyusuan perlu diberhentikan sementara waktu sehingga rawatan ubat berakhir.  
     
  • Ubat yang tidak selamat dalam penyusuan  Ubat-ubatan yang dikategorikan sebagai tidak selamat dalam penyusuan adalah ubat yang mempunyai kesan yang memudaratkan kepada kesihatan bayi. Sebagai contoh, ubat untuk rawatan jantung seperti ubat amiodarone, antikanser dan sebagainya. 
     

Tip Untuk Mengurangkan Kesan Sampingan Ubat 

Ibu yang menyusukan anak perlu mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat termasuk ubat am dan juga ubat tradisional. Berikut merupakan beberapa tip bagi mengurangkan pendedahan bayi terhadap ubat-ubatan semasa penyusuan.  

 

  • Ibu haruslah sentiasa berbincang dengan doktor ataupun ahli farmasi sekiranya perlu mengambil ubat semasa penyusuan supaya ubat yang selamat diambil oleh ibu menyusu dapat diberikan. Ambil ubat pada dos dan masa yang telah ditetapkan, elakkan meningkatkan dos ubat tanpa arahan daripada doktor.  
     
  • Jika dos hanya perlu diambil sekali sehari, ibu disarankan mengambil ubat sejurus sebelum bayi tidur atau pada waktu yang jarak penyusuan bayi adalah panjang, contohnya pada waktu malam. Kadar risiko bayi terdedah kepada kepekatan ubat yang tinggi dapat dikurangkan kerana bayi tidur dan tidak menyusu dalam tempoh tersebut.  
     
  • Ibu boleh amalkan “susukan bayi dahulu kemudian barulah ambil ubat” supaya kepekatan ubat tidak terlalu tinggi apabila menyusukan anak untuk sesi seterusnya. Ibu juga boleh perah susu dahulu sebelum mengambil ubat dan simpan susu tersebut untuk sesi penyusuan seterusnya.
     
  • Seandainya ibu perlu menjalani rawatan yang berisiko seperti terapi radioaktif, ibu dinasihatkan untuk memberhentikan penyusuan sepanjang tempoh rawatan. Dalam tempoh tersebut, bayi boleh diberi susu yang telah diperah sebelum rawatan bermula atau menggunakan alternatif lain untuk menggantikan susu ibu seperti susu formula. 
     
  • Ibu boleh menggunakan kaedah “perah dan buang” sekiranya ibu perlu menjalani rawatan yang berisiko tetapi masih ingin meneruskan penyusuan selepas tempoh rawatan selesai. Hal ini penting untuk memastikan penghasilan susu yang berterusan dan seterusnya boleh menyusu bayi selepas tamat sesi rawatan menggunakan ubat.  

Sebagai kesimpulannya, ibu yang menyusu dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan atau memberhentikan sebarang pengambilan ubat semasa penyusuan. Jika anak mengalami tanda-tanda yang luar biasa atau membimbangkan, ibu perlu membawa anak berjumpa dengan doktor segera. 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan dengan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum). 

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap