Masalah jerawat sering dikaitkan dengan usia remaja walaupun golongan dewasa juga tidak terkecuali daripada masalah kulit ini. Terdapat dua jenis jerawat iaitu jerawat tanpa keradangan seperti bintik hitam dan bintik putih serta jerawat dengan keradangan yang kadangkala mengandungi nanah.
Jerawat merupakan sejenis penyakit kulit yang terjadi akibat keradangan dan penghasilan minyak berlebihan oleh kelenjar sebum yang menyebabkan liang pori tersumbat. Kehadiran bakteria propionibacterium acnes boleh menyebabkan keradangan dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan jerawat.
Jerawat kronik terutamanya pada kawasan muka boleh meninggalkan parut kekal jika tidak dirawat dengan betul. Oleh sebab itu, rawatan lebih awal adalah penting kerana lebih mudah untuk merawat jerawat berbanding menghilangkan parutnya.
Sesetengah keadaan jerawat boleh dirawat tanpa sebarang ubat-ubatan. Contoh rawatan tanpa ubat termasuklah terapi fizikal seperti laser, fototerapi serta rawatan pengelupasan kulit. Walau bagaimanapun, kaedah-kaedah ini bukanlah pilihan utama bagi rawatan jerawat.
Ubat-ubatan untuk Merawat Jerawat
Kebiasaannya, keadaan jerawat perlu dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan. Doktor akan menilai keadaan jerawat yang dialami dan menentukan jenis ubat yang diperlukan untuk merawat jerawat. Ubat yang digunakan akan ditentukan berdasarkan jenis dan tahap keterukan jerawat.
Ubat-ubatan untuk merawat jerawat boleh dikategorikan kepada ubat untuk fasa induksi dan seterusnya ubat-ubatan untuk fasa penjagaan. Fasa induksi bertujuan untuk menghentikan pertumbuhan jerawat manakala fasa penjagaan penting untuk mengelakkan pembentukan semula jerawat.
Antara ubat-ubatan bagi fasa induksi:
1. Benzoyl peroxide
Ubat ini merencat pertumbuhan bakteria dan mengurangkan keradangan.
2. Retinoid seperti tretinoin, adapalene dan isotretinoin
Komponen vitamin A sintetik yang mempunyai fungsi antiradang dan antikomedogenik. Penggunaannya perlu dielakkan ketika kehamilan.
3. Asid salisilik dan asid azelaik
Sediaan topikal berkesan untuk merawat kedua-dua jenis jerawat. Selain jerawat, asid azelaik juga boleh digunakan untuk masalah jeragat yang serius.
4. Antibiotik seperti clindamycin, erythromycin, doxycyline dan dapsone
Sediaan topikal mengandungi antibiotik digunakan untuk menghalang pembentukan koloni bakteria dan seterusnya mengelakkan pertumbuhan jerawat. Antibiotik topikal tidak seharusnya digunakan sebagai rawatan tunggal kerana berisiko menyebabkan kerintangan antibiotik.
Selain topikal, antibiotik oral seperti tetracycline, doxycycline, erythromycin dan azithromycin juga digunakan untuk merawat jerawat yang lebih teruk. Namun begitu, penggunaan antibiotik oral selain erythromycin perlu dielakkan bagi wanita hamil dan sedang menyusukan bayi.
Lazimnya, rawatan dengan antibiotik oral tidak melebihi 6 bulan berturut-turut bagi mengelakkan kerintangan antibiotik.
Ubat-ubatan bagi fasa penjagaan:
1. Sediaan topikal retinoid sebagai terapi tunggal berkesan untuk mengelakkan pertumbuhan semula jerawat jika digunakan dalam tempoh yang ditetapkan.
2. Sediaan topikal yang mengandungi kombinasi adapalene dan benzoyl peroxide pula lebih efektif bagi pesakit dengan jerawat yang lebih teruk.
Panduan untuk Pengguna
Semua jenis ubat topikal hendaklah disapu secara nipis pada kawasan yang terlibat sahaja. Kebanyakan sediaan topikal yang mengandungi benzoyl peroxide, asid salisilik dan adapalene boleh diperoleh daripada premis farmasi komuniti.
Sebaliknya, pemeriksaan dan penilaian doktor diperlukan bagi jerawat yang lebih kronik. Sesetengah ubat yang digunakan, contohnya seperti ubat antibiotik jenis oral memerlukan preskripsi daripada doktor.
Pengguna disarankan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan sebarang ubat-ubatan untuk rawatan jerawat. Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya sedang hamil atau merancang untuk hamil dalam masa terdekat.
Sejarah pengubatan yang lain seperti alahan ubat-ubatan, penyakit lain yang dihidapi dan ubat-ubatan lain yang sedang diambil juga perlu dimaklumkan kepada ahli profesional kesihatan.
Walau bagaimanapun, mencegah tetap lebih baik daripada merawat. Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah jerawat ialah menjaga kebersihan muka, menggunakan bahan kosmetik yang bersesuaian dengan jenis kulit serta penjagaan diet seperti pengambilan makanan yang rendah indeks glisemik dan tinggi serat.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh : Anis Nasyitah binti Md Nor Pegawai Farmasi Hospital Hulu Terengganu