Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

31 March 2019

Konjunktivitis merupakan keadaan yang boleh berlaku apabila terdapat keradangan pada selaput konjunktiva mata. Selaput konjunktiva ini adalah selaput lutsinar yang melitupi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata. Fungsi utama selaput konjunktiva ini adalah sebagai lapisan yang memberi perlindungan dan kelembapan semula jadi kepada mata.  

Konjunktivitis adalah penyakit yang kerap terjadi dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak. Konjunktivitis boleh berjangkit melalui sentuhan secara fizikal. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan kuman (bakteria atau virus) atau alahan. Selain daripada itu, alergen (bahan yang boleh menyebabkan alahan) seperti debu hama (dust mite), debunga, bulu dan kulit mati haiwan juga boleh menyebabkan konjunktivitis.  

Konjunktivitis juga boleh disebabkan oleh alahan kepada bahan kimia seperti produk kosmetik, minyak wangi dan penggunaan kanta lekap. Antara tanda-tanda yang biasa dialami oleh pesakit adalah seperti mata merah, berair, pedih, discaj berlebihan dan gatal pada mata.  

Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital bagi mengenal pasti punca konjunktivitis agar rawatan yang sesuai dapat diberikan oleh doktor untuk merawat penyakit konjunktivitis ini. Bagi jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, ubat topikal antibiotik dalam bentuk titis dan salap mata biasanya akan diberikan oleh doktor sebagai rawatan.  

Bagi konjunktivitis yang disebabkan oleh alahan pula, ubat antihistamin boleh diberikan kepada pesakit bagi mengurangkan gejala gatal dan kesan alahan pada mata. 

Cara Penggunaan Ubat Titis Mata 

Bagi memastikan kesan yang optimum daripada penggunaan ubat titis mata, teknik yang betul perlu diamalkan oleh pesakit iaitu: 
1. Cuci tangan dengan menggunakan air dan sabun sehingga bersih.
2. Lap kawasan mata dengan menggunakan kain yang bersih atau tisu bagi membuang kotoran yang melekat di kawasan mata.
3. Baca label pada ubat titis mata untuk arahan penggunaan atau tarikh luput.
4. Buka penutup botol ubat titis mata.  
5. Dongakkan sedikit kepala ke belakang.
6. Tarik bahagian bawah kelopak mata sehingga mempunyai ruang yang mencukupi untuk meletakkan ubat.
7. Dekatkan penitis ke bahagian bawah kelopak mata yang ditarik. Pastikan hujung penitis tidak menyentuh mana-mana bahagian mata.  
8. Picit botol ubat titis mata dan titiskan dos seperti yang disarankan.
9. Tutup mata selama lebih kurang 1 minit supaya ubat dapat diserap dalam mata.
10. Lap lebihan ubat titis mata dengan menggunakan kain bersih atau tisu.
11. Ulangi langkah-langkah di atas selepas 5 minit jika perlu menggunakan lebih daripada satu jenis ubat titis mata. Bagi pesakit yang perlu menggunakan ubat titis mata dan juga ubat salap mata, gunakan ubat titis mata terlebih dahulu. 

Sekiranya pesakit terlupa menggunakan ubat titis mata, pesakit dinasihatkan untuk menggunakan ubat titis mata sebaik sahaja teringat. Namun, jika telah menghampiri waktu dos berikutnya, abaikan dos yang tertinggal dan patuhi arahan asal yang diberikan. Elakkan daripada menggandakan dos. 

Antara kesan sampingan yang mungkin dialami oleh pesakit selepas menggunakan ubat-ubatan ini adalah seperti rasa sakit pada mata, penglihatan menjadi kabur, keadaan mata menjadi merah atau iritasi pada mata. Dalam situasi seperti ini, pesakit dinasihatkan berjumpa dengan doktor segera untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Cara Penyimpanan 

Ubat titis mata perlu disimpan di tempat yang selamat dan jauh daripada capaian kanak-kanak. Terdapat sesetengah jenis ubat titis mata yang perlu disimpan di tempat yang dingin dan kering. Manakala terdapat juga ubat titis mata yang perlu disimpan di dalam peti sejuk.
 
Pesakit boleh mendapatkan informasi berkaitan tempat penyimpanan ubat titis mata dengan membaca label pada ubat atau mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi. Buangkan baki ubat selepas tamat tempoh rawatan atau seperti yang diarahkan oleh ahli farmasi dan elakkan penggunaan ubat yang telah tamat tarikh luput. 

Pesakit juga perlu elakkan daripada berkongsi ubat titis mata dengan individu lain bagi mengurangkan risiko jangkitan walaupun mereka menunjukkan gejala yang sama. Selain itu, pesakit dinasihatkan untuk meneruskan penggunaan ubat mata sehingga tamat tempoh rawatan seperti disarankan oleh doktor atau ahli farmasi walaupun keadaan pesakit telah bertambah baik bagi mengelakkan penyakit ini berulang.  

Nasihat Kawalan Jangkitan
 
Konjunktivitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus boleh berjangkit dengan mudah. Oleh itu, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan penyebaran jangkitan penyakit ini. Antaranya adalah dengan mengelakkan sentuhan fizikal dengan pesakit konjunktivitis, membasuh tangan dengan sabun dan air sebelum dan selepas menyentuh mata dan elakkan berkongsi tuala dan barang peribadi dengan orang lain. 

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman