Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

27 Jun 2021

PERBETULKAN SALAH FAHAM TENTANG VAKSIN COVID-19

 

Promosi berterusan berkaitan vaksin COVID-19 sangat penting dalam usaha mencapai sasaran 80% rakyat Malaysia menerima vaksinasi. Perkara ini penting bagi mewujudkan imuniti kelompok dalam masyarakat. Namun begitu, terdapat segelintir pihak yang menyebarkan fakta tidak sahih dan berita palsu hingga menyebabkan salah faham dalam masyarakat. Mesej yang salah ini menimbulkan keraguan orang ramai tentang vaksin COVID-19.

 

Salah faham ini harus diperbetul agar masyarakat sedar dan faham akan fakta yang tepat tentang vaksin COVID-19. Perkara ini juga untuk mengelakkan sesetengah masyarakat daripada terpedaya dan enggan mendapatkan vaksinasi.

 

Penjelasan bagi Salah Faham tentang Vaksin COVID-19

 

1. Vaksin COVID-19 dihasilkan dalam masa singkat dan tahap keselamatannya diragui.

 

Kebanyakan vaksin COVID-19 dapat dihasilkan dalam tempoh yang singkat kerana kajian untuk penghasilannya telah dimulakan sejak bertahun-tahun lagi. Dengan pengetahuan dan teknologi yang telah tersedia ini dan disokong oleh dana daripada pelbagai pihak, penghasilan vaksin COVID-19 dapat dilakukan dengan lebih cepat.

 

Vaksin COVID-19 adalah selamat serta telah menjalani proses kajian dan kawalan yang ketat seperti ditetapkan oleh pihak berkuasa. Di Malaysia, hanya vaksin yang telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA) akan digunakan dalam program imunisasi. Kelulusan diberikan selepas penilaian menyeluruh terhadap vaksin tersebut dibuat berdasarkan data-data daripada kajian saintifik dan klinikal.

 

2. Vaksin COVID-19 boleh mengubah suai genetik manusia kerana menggunakan teknologi messenger ribonucleic acid (mRNA).

 

mRNA yang terdapat dalam vaksin COVID-19 berfungsi memberi arahan kepada sel-sel dalam badan untuk menghasilkan protein yang menyerupai sebahagian komponen virus COVID-19. Komponen ini tidak menyebabkan jangkitan tetapi mampu merangsang sistem imun tubuh untuk menghasilan antibodi terhadap virus COVID-19 yang sebenar.

 

Menurut Centre for Disease Control (CDC), mRNA ini hanya aktif dalam sitoplasma dan tidak akan masuk ke dalam nukleus sel. Hal ini bermaksud mRNA tidak dapat berinteraksi dengan deoxyribonucleic acid (DNA) yang terdapat dalam nukleus atau menyebabkan perubahan genetik seseorang.

 

3. Kesan sampingan COVID-19 berbahaya dan mengancam nyawa.

 

Tidak semua kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunisation, AEFI) disebabkan oleh vaksin atau proses suntikan vaksin. Terdapat juga AEFI yang berlaku secara kebetulan.

 

Kebanyakan AEFI yang berlaku adalah ringan boleh sembuh dengan sendiri. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil penerima vaksin berisiko mendapat AEFI seperti ruam di seluruh badan, reaksi alahan yang serius dan kesukaran bernafas.

 

Oleh sebab itu, tahap kesihatan dan sejarah pengubatan penerima vaksin akan dinilai terlebih dahulu untuk menentukan kesesuaian menerima suntikan vaksin COVID-19. Penerima vaksin juga akan dipantau untuk tempoh 15-30 minit selepas disuntik di pusat pemberian vaksin bagi memastikan mereka tidak mengalami sebarang kesan advers.

 

4. Vaksin COVID-19 mengandungi bahan yang tidak halal.

 

Terdapat dakwaan bahawa salah satu vaksin COVID-19 mengandungi bahan yang tidak halal sehingga menimbulkan kegusaran penerima vaksin beragama Islam. Namun sebenarnya, semua vaksin COVID-19 yang berdaftar di Malaysia telah dinilai secara menyeluruh termasuklah dari segi kandungan dan proses penghasilannya. Vaksin ini didapati tidak mengandungi sebarang bahan yang berasal daripada haiwan atau sumber terlarang.

 

Selain itu, pada Disember 2020, Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia turut memutuskan bahawa hukum mengambil vaksin COVID-19 adalah harus. Suntikan ini wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Sehubungan dengan itu, penerima vaksin beragama Islam tidak seharusnya bimbang untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

Usah Terpedaya Mesej yang Tidak Sahih

 

Vaksin COVID-19 yang digunakan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah dinilai dari segi keberkesanan, kualiti dan keselamatannya. Orang ramai dinasihati agar tidak mudah mempercayai mesej yang tular atau meragukan berkaitan vaksin.

 

Maklumat tentang vaksin COVID-19 dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan boleh didapatkan daripada laman web www.vaksincovid.gov.my atau covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19. Orang ramai turut digesa untuk tidak berkongsi berita atau fakta yang belum dipastikan kesahihannya.

 

Disediakan oleh:

Mohd Shahiri bin Abd Ghapar

Ketua Penolong Pengarah

Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti

Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman