Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

18 Julai 2021

PENGGUNAAN IVERMECTIN UNTUK RAWATAN COVID-19 PERLU BERDASARKAN KAJIAN SAINTIFIK

 

Sehingga kini, rawatan yang spesifik dan efektif bagi jangkitan COVID-19 masih belum dikenal pasti. Pada April 2020, hasil satu kajian di dalam makmal yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Australia telah menunjukkan sejenis ubat, iaitu ivermectin mampu merencat replikasi virus corona yang menyebabkan jangkitan COVID-19.

 

Hasil kajian ini dan beberapa laporan kes lain dijadikan justifikasi bagi penggunaan ivermectin secara off-label use untuk merawat COVID-19 di beberapa negara. Perkara ini menimbulkan perdebatan dan sesetengah pihak menuntut supaya pendekatan yang sama dilakukan oleh Malaysia.

 

Keberkesanan dan Keselamatan Ivermectin

 

Ivermectin ialah sejenis ubat antiparasit spektrum luas yang digunakan untuk merawat jangkitan parasit tropikal seperti onchocerciasis, strongyloidiasis and helminthiases. Di Malaysia, ivermectin didaftarkan sebagai antiparasit dan hanya digunakan kepada haiwan. Sehingga kini tiada produk ivermectin yang diluluskan pendaftarannya untuk kegunaan manusia.

 

Penemuan positif daripada beberapa kes kajian dan kajian klinikal terdahulu berkaitan penggunaan ivermectin dalam pengurusan COVID-19 menyebabkan penggunaan ubat ini secara off-label terus menjadi perhatian. Walau bagaimanapun, penggunaannya sebagai ubat yang khusus bagi merawat COVID-19 masih perlu disokong dengan pembuktian yang lebih kukuh.

 

Antara sebabnya termasuklah beberapa kajian tersebut sebenarnya merupakan kajian yang melibatkan saiz sampel yang kecil, dijalankan tanpa kumpulan kawalan ataupun melibatkan ivermectin sebagai rawatan tambahan. Faktor-faktor ini secara tidak langsung dapat mempengaruhi hasil kajian.

 

Terdapat juga kajian lain yang tidak menunjukkan kesan positif yang signifikan. Penyelidik kajian-kajian ini kemudiannya membuat kesimpulan bahawa satu kajian yang melibatkan sampel lebih besar diperlukan untuk menilai keberkesanan ivermectin secara menyeluruh.

 

Selain itu, badan regulatori antarabangsa seperti Federal Drug Authority (FDA) dan European Medicines Agency (EMA) tidak meluluskan ivermectin bagi COVID-19  rawatan atau pencegahan COVID-19 dalam kalangan manusia. World Health Organisation (WHO) pula hanya menyarankan penggunaan ivermectin bagi tujuan kajian klinikal dengan melibatkan pesakit yang dipantau berterusan oleh doktor berkelayakan.

 

Kajian yang Dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengambil langkah proaktif dengan memulakan kajian Ivermectin Treatment Efficacy in Covid-19 High Risk Patients (I-TECH Study) bagi menentukan keberkesanan dan keselamatan ivermectin. Kajian ini telah mendapat kelulusan Medical Research and Ethics Commitee (MREC) pada 25 Mei 2021. Kajian I-TECH akan menilai keberkesanan ivermectin dalam mencegah jangkitan COVID-19 kategori 1, 2 dan 3 daripada menjadi lebih teruk ke kategori 4 dan 5. Selain itu, kajian ini bertujuan melihat kebarangkalian pengurangan risiko kematian pesakit COVID-19.

 

Kajian I-TECH melibatkan 500 orang subjek daripada kumpulan berisiko tinggi. Mereka ini terdiri daripada pesakit berusia 50 tahun ke atas yang dimasukkan ke hospital dengan gejala COVID-19 kategori 2 dan 3. Kajian I-TECH dijangka selesai pada September 2021.

 

Peringatan kepada Orang Awam

 

Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihati agar tidak terpedaya dengan individu yang menjual ivermectin sebagai rawatan atau pencegahan COVID-19 secara dalam talian. Produk yang dijual ini berkemungkinan besar ialah produk palsu atau produk yang didaftarkan untuk kegunaan haiwan dan bukannya manusia.

 

Penggunaan ivermectin tanpa pemantauan daripada anggota profesional kesihatan berisiko menyebabkan masalah kesihatan seperti pening, alahan dan sawan, koma dan boleh membawa maut.

 

Orang awam juga disarankan agar melaporkan sebarang penjualan ivermectin di laman e-dagang atau media sosial kepada pihak berkuasa. Aduan boleh dikemukakan ke laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my/.

 

Orang awam turut dinasihati agar tidak menyebarkan mesej yang tidak sahih tentang penggunaan ivermectin untuk merawat pesakit COVID-19. Maklumat yang tepat berkaitan COVID-19 boleh diperoleh daripada laman web www.vaksincovid.gov.my atau laman web covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19.

 

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh:

Mohd Shahiri bin Abd Ghapar

Ketua Penolong Pengarah

Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti

Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman