Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

21 March 2021

USAH TERPEDAYA HELAH PENIAGA DALAM TALIAN

 

Program Perkhidmatan Farmasi (PPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat menjalankan Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat dalam Talian untuk mendidik orang awam tentang risiko pembelian ubat secara dalam talian. Melalui tag line #biarbetuliklanni!, pengguna dinasihatkan supaya tidak mudah percaya akan iklan-iklan ubat dan pelbagai testimoni yang meragukan di internet.

 

Kini, terdapat segelintir individu yang menjual produk kesihatan dikatakan dapat merawat jangkitan COVID-19. Malah, produk yang didakwa sebagai vaksin COVID-19 juga didapati telah dijual melalui platform e-dagang dan media sosial.

 

Vaksin COVID-19 Perlu Berdaftar

 

Semua produk farmaseutikal termasuk vaksin di Malaysia perlu berdaftar dengan KKM sebelum dipasarkan kepada pengguna. Sehingga 2 Mac 2021, KKM telah meluluskan pendaftaran bersyarat kepada tiga produk vaksin COVID-19. Produk-produk ini ialah COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection, CoronaVac Suspension for Injection (Sinovac) dan COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection.

 

Kesemua vaksin ini akan digunakan bagi proses vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Sepanjang program ini, proses penerimaan, agihan, simpanan dan pemberian vaksin dijalankan di fasiliti yang ditetapkan oleh kerajaan. Antaranya termasuklah fasiliti kesihatan kerajaan dan beberapa fasiliti kesihatan swasta yang terpilih. Akses kepada vaksin dikawal oleh petugas kesihatan yang diberi kuasa dengan bantuan pasukan keselamatan.

 

Tiada vaksin COVID-19 lain yang diluluskan pendaftaran untuk dijual kepada orang awam. Produk yang dijual sebagai vaksin COVID-19 dalam internet berkemungkinan besar adalah palsu. Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan helah peniaga yang mengambil kesempatan.

 

Ubat Terkawal Tidak Boleh Dijual secara Dalam Talian

 

Vaksin COVID-19 tergolong dalam kategori Ubat Terkawal. Secara umumnya, Ubat Terkawal tidak dibenarkan untuk dijual secara dalam talian. Pembekalan Ubat Terkawal kepada pesakit memerlukan preskripsi yang sah daripada doktor yang merawat. Ubat Terkawal boleh dikenal pasti melalui nombor pendaftaran MAL yang berakhir dengan abjad A.

 

Hanya produk daripada kategori ubat am (over the counter), sediaan tradisional dan produk kesihatan tambahan sahaja yang boleh dijual secara dalam talian. Produk-produk ini pula boleh dikenal pasti melalui nombor pendaftaran MAL yang berakhir dengan abjad X bagi ubat am, T bagi sediaan tradisional dan N untuk produk kesihatan tambahan.

 

Nasihat untuk Orang Awam

 

Orang awam disarankan untuk menyemak status produk sebelum membeli produk-produk yang dijual dalam talian. Status pendaftaran produk boleh disemak melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA) di alamat www.npra.gov.my, dengan menggunakan fungsi Carian Produk (Product Search). Semakan juga boleh dilakukan menggunakan aplikasi telefon pintar NPRA Product Status. Aplikasi ini boleh dimuat turun daripada Google Playstore dan Apple App Store.

 

Selain itu, orang awam hendaklah mengenal pasti premis fizikal penjual dalam talian. Syarikat yang membuat jualan produk kesihatan perlu dipastikan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Elakkan membeli ubat daripada laman sosial atau penjual dari luar negara.

 

Usah terpedaya dengan iklan yang mengandungi janji-janji manis termasuklah yang melibatkan jangkitan COVID-19, penyakit kronik serta peningkatan fungsi seksual. Orang awam perlu berwaspada dengan iklan yang mengandungi kenyataan seperti ‘terbaik’, ‘berkesan’, ‘dijamin selamat’ dan ‘mujarab’.

 

Sekiranya mengetahui sebarang penjualan produk kesihatan secara dalam talian yang menyalahi undang-undang, orang awam digalakkan membuat aduan melalui Portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my/.

 

Segera Daftar sebagai Penerima Vaksin

 

Membeli atau menggunakan produk palsu yang dijual sebagai vaksin COVID-19 berisiko menyebabkan kesan serius kepada kesihatan. Orang awam hendaklah lebih berhati-hati dalam memilih produk kesihatan yang dijual dalam talian.

 

Oleh yang demikian, bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19  melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, orang awam yang menepati kriteria digalakkan mendaftar sebagai penerima vaksin. Dapatkan maklumat lanjut tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan daripada laman web www.vaksincovid.gov.my.

 

Disediakan oleh:

Nur Atikah binti Yaakub

Pegawai Farmasi UF54

Bahagian Perkhidmatan Farmasi Melaka

 

Mohd Shahiri bin Abd Ghapar

Pegawai Farmasi UF48

Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi

Kementerian Kesihatan Malaysia

 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman