Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

16 Mei 2021

Trombosis ialah proses pembentukan darah beku (trombus) di dalam saluran darah. Pembekuan darah ini berlaku disebabkan tindak balas kimia antara platelet dengan beberapa jenis protein yang dikenali sebagai faktor pembekuan darah (blood clotting factors). Pembentukan trombus menyebabkan pengaliran darah menjadi terganggu.

 

Trombus lebih mudah terbentuk pada individu yang mempunyai faktor risiko seperti pesakit diabetes, hiperkolesterolemia dan hipertensi, individu obes atau perokok tegar. Trombosis berisiko menyebabkan komplikasi yang lebih serius seperti strok, serangan jantung dan masalah pernafasan yang teruk.

 

Kebanyakan individu yang mempunyai faktor risiko akan diberikan ubat antitrombotik oleh doktor yang merawat untuk mengelakkan komplikasi. Terdapat dua kelas ubat antitrombotik yang biasa digunakan iaitu ubat antikoagulan dan antiplatelet.

 

Kegunaan Antikoagulan

 

Antikoagulan melambatkan pembekuan darah dengan mengurangkan pembentukan fibrin serta menghalang darah beku daripada terbentuk dan membesar. Antikoagulan disyorkan bagi individu yang menghidap strok, transient ischaemic attack, serangan jantung, deep vein thrombosis atau gumpalan darah dalam paru-paru (pulmonary embolism).

 

Pesakit yang mengalami rentak jantung yang tidak teratur (atriall fibrallation) juga diberi rawatan antikoagulan kerana keadaan ini boleh menyebabkan darah beku terbentuk.

 

Selain itu, antikoagulan juga diberikan selepas seseorang individu menjalani pembedahan. Tempoh rehat yang panjang dan fasa tidak aktif semasa proses pemulihan meningkatkan risiko mereka mendapat darah beku.

 

Antikoagulan yang biasa digunakan ialah tablet warfarin dan suntikan heparin. Terdapat juga antikoagulan yang lebih baharu dikenali sebagai direct oral anticoagulants (DOACs) seperti rivaroxaban, dabigatran, apixaban, dan edoxaban.

 

Kegunaan Antiplatelet

 

Antiplatelet pula bertindak dengan menghalang penggumpalan platelet dan seterusnya mengelakkan darah membeku. Contoh antiplatelet ialah asprin, ticlopidine dan clopidogrel. Antiplatelet juga lebih dikenali dalam kalangan pesakit sebagai ubat pencair darah.

 

Aspirin sering digunakan sebagai rawatan awal masalah kardiovaskular seperti serangan jantung (myocardiac infarction) dan sakit dada disebabkan saluran darah ke jantung tersumbat (angina attack).

 

Bukan itu sahaja, antiplatelet berperanan penting untuk mengelakkan strok berulang. Pesakit yang telah menjalani prosedur stenting di dalam salur darah juga kebiasaannya perlu mengambil antiplatelet dalam satu tempoh yang tertentu.

 

Cara Pengambilan Antikoagulan yang Betul

 

Warfarin disarankan diambil pada waktu lewat petang dan pada waktu yang sama setiap hari. Jika pesakit terlepas dos, dos tersebut perlu ditinggalkan sahaja. Ambil semula dos pada hari berikutnya. Pesakit tidak boleh menggandakan dos warfarin.

 

Pesakit yang mengambil warfarin perlu mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan vitamin K untuk mengelakkan interaksi antara warfarin dengan vitamin tersebut. Antara contoh makanan tersebut ialah brokoli, bayam, hati lembu dan kacang soya.

 

DOACs pula boleh diambil seperti ubat-ubat yang lain mengikut dos yang telah diarahkan oleh doktor. Kebiasaannya, dos bagi dabigatran dan apixaban ialah dua kali sehari manakala rivaroxaban diambil sekali sehari. Berbeza dengan warfarin, risiko interaksi antara DOACs dengan makanan adalah lebih rendah.

 

Cara Pengambilan Antiplatelet yang Betul

 

Aspirin dan ticlopidine perlu diambil sekali sehari sejurus selepas makan untuk mengelakkan kesan sampingan pada salur penghadaman, seperti gastrik dan ulser perut. Clopidogrel pula boleh diambil sama ada sebelum atau selepas makan pada waktu yang sama setiap hari. 

 

Panduan untuk Pesakit yang Mengambil Antikoagulan dan Antiplatelet

Untuk mengelakkan interaksi dan memastikan antikoagulan atau antiplatelet yang diambil memberikan kesan yang optimum, pesakit perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi jika:

1. ingin menggunakan sebarang ubat-ubatan, sediaan tradisional atau suplemen kesihatan,

2. terdapat perubahan diet seharian yang ketara,

3. bercadang untuk menjalani pembedahan atau melakukan prosedur pergigian,

4. hamil atau merancang untuk hamil.

 

Pesakit perlu sentiasa berhati-hati apabila menggunakan alatan yang tajam seperti pisau, gunting dan pisau cukur. Pesakit juga dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan.

 

Pesakit perlu peka akan tanda-tanda pendarahan seperti lebam pada tubuh, perubahan warna air kencing, haid berlebihan, pendarahan gusi, sakit perut berterusan dan luka berdarah yang sukar berhenti. Sekiranya gejala semakin teruk atau berpanjangan, pesakit hendaklah segera berjumpa doktor.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh :                                                                                                                                                Zanariah binti Abu Bakar                                                                                                                                    Pegawai Farmasi                                                                                                                                                    Hospital Sultanah Aminah

 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman