Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

16 June 2021

Pengambilan ubat yang betul adalah penting bagi memastikan rawatan yang optimum. Walau bagaimanapun, kejadian kesilapan pengubatan boleh berlaku terutama ketika berada di rumah. Kesilapan pengubatan tidak boleh dipandang remeh kerana kesilapan yang berlaku berisiko menyebabkan kesan mudarat yang berbahaya.

 

Kesilapan Pengubatan yang Kerap Berlaku

 

Antara kesilapan yang sering berlaku ialah pengambilan dos ubat yang salah dan cara pengambilan yang tidak betul. Perkara ini mungkin disebabkan pesakit tidak mematuhi arahan pada label. Contohnya, dos ubat tiga kali sehari tidak boleh diubah menjadi tiga biji sekali sehari walaupun bilangan ubat yang perlu dimakan dalam sehari masih sama.

 

Ubat-ubatan seperti inhaler, suntikan insulin, ubat titis mata dan telinga serta tablet sublingual perlu digunakan dengan cara yang khusus. Sekiranya diambil dengan cara yang salah, ubat-ubat ini tidak akan memberikan kesan yang sepatutnya.

 

Kesan Kesilapan Pengubatan

 

Perkara yang dibimbangkan sekiranya kesilapan pengubatan berlaku ialah kesan yang tidak diingini kepada kesihatan badan. Kesan mudarat boleh berlaku secara serta-merta mahupun dalam jangka masa panjang. Contohnya, pesakit diabetes yang tersilap menyuntik insulin pada dos terlalu tinggi boleh mengalami hipoglisemia (paras gula terlalu rendah dalam darah) dan perlu dirawat segera.

 

Keadaan penyakit kronik yang tidak terkawal pula ialah kesan jangka masa panjang yang mungkin berlaku dan menyebabkan komplikasi. Komplikasi ini seterusnya akan meningkatkan kos rawatan.

 

Cara Mengelakkan Kesilapan Pengubatan

 

Individu yang hendak mengambil ubat perlu membaca label pada sampul ubat. Semua maklumat penting berkaitan ubat dinyatakan pada label. Oleh sebab itu, pesakit dinasihatkan untuk menyimpan ubat dalam sampul asal supaya label yang mengandungi maklumat tersebut boleh dirujuk semula sekiranya perlu.

 

Seterusnya, pesakit perlu tahu nama generik ubat yang diambil. Nama generik ubat dinyatakan pada label atau kotak pembungkusannya. Elakkan mengenal pasti ubat berdasarkan ciri fizikal seperti saiz, bentuk atau warna. Beberapa jenis ubat yang berbeza mungkin mempunyai saiz, bentuk atau warna yang sama.

 

Selain itu, pesakit perlu memastikan hanya mengambil ubat yang dipreskripsikan untuk dirinya sahaja. Pesakit tidak seharusnya berkongsi ubat dengan ahli keluarga lain di rumah walaupun mengambil ubat untuk penyakit yang sama. 

 

Dos ubat terutamanya bagi ubat jenis cecair perlu disukat dengan tepat. Pesakit dinasihatkan agar menggunakan alat penyukat yang bersesuaian untuk menyukat dos ubat cecair. Antara alat yang boleh digunakan ialah picagari, sudu bersukat dan cawan bersenggat. Dos yang disukat dengan tepat dapat mengelakkan kejadian terlebih dos.

 

Kaedah penyimpanan ubat juga perlu dititikberatkan bagi mengelakkan kesilapan pengubatan. Ubat perlu disimpan dalam bekas asal, pada suhu yang disarankan dan jauh daripada capaian kanak-kanak. Bukan itu sahaja, ubat untuk kegunaan luaran perlu disimpan berasingan daripada ubat yang dimakan.

 

Amalkan Konsep 5 Betul (5B)

 

Kesilapan pengubatan di rumah boleh dielakkan dengan amalan pengurusan dan pengambilan ubat secara berkualiti. Konsep 5 Betul (5B) iaitu pengguna ubat yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara pengambilan yang betul dan masa yang betul boleh dijadikan formula utama dalam memastikan ubat diambil dengan cara yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi.

 

Selain itu, pesakit digalakkan bertanya kepada doktor atau ahli farmasi yang merawat sekiranya keliru akan cara pengambilan ubat yang telah diberikan semasa mendapat rawatan.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre  NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh: 

Farah Izyan binti Mohammed Hasrori

Pegawai Farmasi

Klinik Kesihatan Chenderong Balai

 

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap