Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

11 August 2019

FAHAM ARAHAN UBAT MENINGKATKAN KEPATUHAN UBAT  
 
Kepatuhan terhadap pengambilan ubat bermaksud mematuhi arahan dan nasihat berkaitan pengambilan ubat-ubatan yang diberikan oleh kumpulan profesional kesihatan seperti ahli farmasi dan doktor. Kepatuhan terhadap pengambilan ubat adalah penting bagi memastikan keberkesanan rawatan tercapai dan mengurangkan komplikasi penyakit. 
 
Faktor Ketidakpatuhan Terhadap Pengambilan Ubat-ubatan 
 
Pelbagai faktor telah dikenal pasti sebagai penyebab ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan dalam kalangan pesakit. Ini termasuk persepsi negatif dan sikap tidak ambil peduli pesakit terhadap ubat-ubatan yang diberikan atas arahan doktor. Terdapat juga sesetengah pesakit yang tidak mengambil ubat dengan sengaja atas pelbagai alasan seperti terlupa mendapatkan bekalan ubat dari fasiliti kesihatan.   
 
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sesetengah pesakit yang mengalami kesan sampingan selepas mengambil ubat-ubatan tertentu. Namun, pesakit sering membuat keputusan untuk terus memberhentikan rawatan tanpa merujuk kepada doktor atau ahli farmasi. Sebenarnya, keadaan ini boleh diatasi dengan perkongsian pengalaman pengambilan ubat dengan doktor atau ahli farmasi semasa sesi rawatan atau sesi kaunseling susulan. Ini adalah penting supaya pilihan rawatan yang sesuai dapat diberikan oleh doktor kepada pesakit.   
 
Bagi pesakit-pesakit kronik dengan pelbagai penyakit, terdapat segelintir daripada mereka perlu mengambil ubat dalam kuantiti yang banyak setiap hari mengikut selang masa yang telah ditetapkan. Ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat boleh berlaku disebabkan oleh bilangan ubat yang banyak, kurangnya pengetahuan pesakit tentang penyakit, pesakit tidak faham kepentingan pengambilan ubat tersebut atau terlupa untuk mengambil ubat. 
 
Komplikasi Ketidakpatuhan Terhadap Pengambilan Ubat-ubatan 
 
Ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan dalam kalangan pesakit boleh menyebabkan kegagalan rawatan, keadaan penyakit tidak terkawal, peningkatan kos perubatan atau kos rawatan, pemanjangan tempoh rawatan dan peningkatan kadar kemasukan pesakit ke hospital. 
 
Ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat juga boleh meningkatkan risiko pesakit mengalami komplikasi penyakit. Sebagai contoh, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal boleh meningkatkan risiko komplikasi penyakit seperti masalah buah pinggang, serangan jantung dan strok. Sebagai contoh lain, bagi pesakit tibi yang tidak menghabiskan rawatan ubat antibiotik seperti yang diarahkan oleh doktor boleh menyebabkan kegagalan rawatan atau kes kerintangan antibiotik berlaku.  
 
 
Tip Meningkatkan Tahap Kepatuhan Terhadap Pengambilan Ubat-ubatan 
 
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan oleh pesakit untuk meningkatkan tahap kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat-ubatan. Pesakit dinasihati untuk mengambil ubat pada masa yang sama setiap hari. Pesakit juga boleh kaitkan pengambilan ubat dengan aktiviti harian seperti sarapan, makan tengah hari, makan malam dan lain-lain agar ia menjadi rutin dan mudah untuk diingati.  
 
Untuk mengatasi masalah terlupa mengambil ubat, pelbagai jenis alat bantuan boleh digunakan untuk membantu pesakit mengingati jadual pengambilan ubat. Antaranya termasuk menggunakan penggera yang boleh dimuat turun melalui telefon bimbit. Penggera tersebut biasanya berfungsi dengan memberi peringatan kepada pesakit supaya mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Selain itu, ahli keluarga pesakit juga turut memainkan peranan yang penting untuk membantu mengingatkan pesakit untuk mengambil ubat mereka. 
 
Bagi pesakit yang masih keliru dengan cara pengambilan ubat, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada ahli farmasi dalam penyediaan jadual pengambilan ubat. Ahli farmasi boleh membantu pesakit menyediakan jadual pengambilan ubat dalam bentuk arahan bertulis yang ringkas. Jadual pengambilan ubat dalam bentuk seperti kad atau carta juga boleh menjadi rujukan kepada pesakit semasa mengambil ubat agar ubat yang betul diambil pada dos dan masa yang telah dicadangkan.  
 
Kesedaran masyarakat dan pesakit tentang kepentingan patuh terhadap pengambilan ubat-ubatan perlu dipertingkatkan. Pesakit dinasihati untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang masalah atau kekeliruan dalam pengambilan ubat-ubatan.  
 
Pesakit tidak seharusnya berasa malu untuk berkomunikasi dengan ahli profesional kesihatan kerana komunikasi dua hala dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mereka dan ini seterusnya dapat meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat.   
 
Selain itu, pesakit perlu memahami bahawa usaha memberi galakan dan meningkatkan kepatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan dalam kalangan pesakit kronik perlu digalas bersama-sama oleh ahli keluarga, pengamal perubatan dan pesakit itu sendiri.  
 
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap