CIMETIDINE

Ubat-ubatan

Title: CIMETIDINE
Date: 
23 Feb 2012
Panduan Pengubatan Kendiri

Sila baca risalah ini sebelum mula menggunakan ubat anda. Rujuk kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan ubat anda. 

1. Nama Generik atau Bahan Aktif:

Cimetidine
 
2. Kegunaan:

Ubat ini boleh didapati di dalam bentuk tablet untuk merawat ulser usus, ulser perut, gastroesophageal reflux disease (GERD), merawat atau mencegah pedih ulu hati dan masalah perut yang lain.

3. Bagaimana Ubat Ini Bertindak:

Ubat ini bertindak dengan mengurangkan pengeluaran asid di dalam perut.

4. Jangan Ambil Ubat Ini Jika:

  • Anda mempunyai alahan terhadap cimetidine atau ubat lain yang sama kegunaannya seperti ranitidine atau famotidine.
  • Anda mengalami muntah yang berpanjangan.

5. Sebelum Mengambil Ubat Ini:

  • Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda mempunyai alahan terhadap sebarang ubat lain.
  • Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan jantung, buah pinggang atau hati.
  • Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda  mengandung, merancang untuk mengandung, atau menyusukan anak.
  • Sila dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan ubat ini untuk kanak-kanak. 

6. Pengambilan Bersama Ubat Lain:

Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor jika anda sedang mengambil sebarang ubat, vitamin, produk herba atau makanan kesihatan tambahan, kerana ia mungkin bertindakbalas dengan ubat ini.

7. Bagaimana Mengambil Ubat Ini :

    Ikut arahan yang tertera pada label ubat anda. Rujuk ahli farmasi jika anda

    tidak faham atau memerlukan penerangan lanjut (hyperlink). 

a)    Cara Pengambilan

  • Untuk merawat pedih ulu hati, ubat ini perlu diambil bersama dengan

segelas air yang penuh.

  • Untuk mencegah pedih ulu hati, ambil ubat tidak lebih dari 30 minit sebelum anda mengambil makanan atau minuman yang biasanya menyebabkan pedih ulu hati.  

b)   Masa Pengambilan

  • Sekiranya anda ambil 1 dos sehari untuk rawatan ulser atau GERD, ambil ubat sebelum tidur malam.
  • Sekiranya anda ambil 2 dos sehari, anda perlu mengambil ubat pada waktu pagi dan sebelum tidur malam.
  • Sekiranya anda mengambil beberapa kali sehari, anda boleh mengambil ubat setiap kali anda makan dan sebelum tidur. 

c)    Tempoh Pengambilan

  • Bagi rawatan pedih ulu hati, jangan ambil lebih dari 2 minggu berturut-turut. Sekiranya simptom anda tidak lega selepas tempoh ini, dapatkan nasihat doktor. 

d)   Jika Anda Terlupa Untuk Mengambil Ubat Ini:

Ambil  dos tertinggal sebaik sahaja anda teringat. Abaikan dos tertinggal sekiranya  masa  pengambilan untuk dos seterusnya sudah hampir. Jangan gandakan dos anda.

8. Semasa Mengambil Ubat Ini: 

a)    Perkara yang perlu dilakukan:

  • Elakkan pengambilan kopi atau ubat aspirin berlebihan apabila mengambil ubat ini.
  • Elakkan merokok semasa mengambil ubat ini.
  • Sekiranya kesakitan perut berterusan, maklumkan kepada doktor anda.
  • Sekiranya simptom berterusan lebih dari 5 hari atau simptom sakit tersebut muncul selepas 2 minggu dari tempoh tamat mengambil ubat, maklumkan kepada doktor anda.

b)   Perkara yang TIDAK boleh dilakukan:

  • Jangan ambil ubat antasid dalam tempoh 1 jam sebelum atau selepas mengambil ubat ini
  • Jangan ambil ubat ketoconazole dalam tempoh 2 jam sebelum atau selepas mengambil ubat ini.
  • Jangan berhenti mengambil ubat atau menukar dos ubat tanpa mendapatkan nasihat dari ahli farmasi atau doktor terlebih dahulu. 

Jika terlebih dos, sila dapatkan rawatan perubatan dengan serta merta.

9.  Kesan Sampingan :

Anda mungkin mengalami kesan sampingan ketika menggunakan ubat ini. Kesan sampingan ini biasanya tidak serius tetapi kadangkala boleh menjadi lebih teruk. Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor jika anda mengalami kesan sampingan yang serius atau berlanjutan.

     Kesan sampingan yang mungkin dialami:

  • Reaksi alahan: gatal atau kemerahan, bengkak pada muka, tangan atau bengkak dan rasa berdenyut pada mulut atau tekak, sakit dada dan kesukaran bernafas
  • Najis yang hitam atau berdarah
  • Rasa sakit apabila menelan makanan
  • Muntah darah atau benda asing seperti bentuk biji kopi yang dikisar
  • Kulit dan mata kekuningan
  • Demam yang tidak diketahui punca
  • Lebam 
10.  Penyimpanan dan Pelupusan:
  • Simpan pada suhu bilik dan di tempat yang kering.
  • Lindungi dari cahaya.
  • Jauhkan dari kanak-kanak
  • Jangan gunakan ubat yang telah melebihi tarikh luput.
  • Kembalikan ubat yang tidak digunakan atau sudah luput kepada farmasi yang berdekatan.
Sumber Rujukan:

1.    Micromedex Healthcare Series 2.0

2.    Lexicomp’s Drug Information Handbook 19th Edition

3.    Malaysian Index of Medical Specialities 2011

4.    British National Formulary Vol. 60