BUDESONIDE

Ubat-ubatan

Title: BUDESONIDE
Date: 
27 Feb 2012

Panduan Pengubatan Kendiri

Sila baca risalah ini sebelum mula menggunakan ubat anda. Rujuk kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan ubat anda.

 

1.  Nama Generik atau Bahan Aktif:

     Budesonide (Semburan hidung)

     

2.  Kegunaan:

Terdapat dalam bentuk ubat semburan hidung untuk merawat alahan hidung dan resdung.

 
3.   Bagaimana Ubat Ini Bertindak:

Ia adalah ubat jenis kortikosteroid yang membantu mengurangkan keradangan dalam hidung.

 

4.    Jangan Guna Ubat Ini Jika:

  • Anda mempunyai alahan terhadap budesonide, ubat steroid lain, atau kandungan lain ubat ini.

 

5.    Sebelum Menggunakan Ubat Ini:

  • Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda mempunyai alahan terhadap sebarang ubat lain.
  • Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda mempunyai penyakit tibi, jangkitan herpes, atau masalah kesihatan yang lain.
  • Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda  mengandung, merancang untuk mengandung, atau menyusukan anak.
  • Sila dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan ubat ini untuk kanak-kanak.

 

6.    Penggunaan Bersama Ubat Lain:

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika anda sedang mengambil sebarang ubat, vitamin, produk herba atau makanan kesihatan tambahan kerana ia mungkin bertindakbalas dengan ubat ini.

 

7.    Bagaimana Menggunakan Ubat Ini:

Ikut arahan yang tertera pada label ubat anda. Rujuk ahli farmasi jika anda tidak faham atau memerlukan penerangan lanjut. [Video]

 

a)    Cara penggunaan

                  i.    Goncang botol dan buka penutup luarnya.

                ii.    Hembus hidung dengan perlahan untuk membersihkan saluran hidung anda.

               iii.    Tutup sebelah lubang hidung dengan jari anda. Tunduk kepala sedikit ke depan dan masukkan muncung botol ke dalam lubang hidung yang buka. Pastikan botol sentiasa dalam keadaan tegak.

               iv.    Tarik nafas melalui hidung dan tekan botol ubat untuk mengeluarkan satu semburan, kemudian hembus nafas keluar mengikut mulut. Ulangi proses ini sekiranya perlu mengambil semburan kedua.

                v.    Ulang langkah (iii) dan (iv) untuk lubang hidung sebelah.

               vi.    Bersihkan muncung dengan kertas tisu yang bersih dan pasangkan penutup.

              vii.    Jangan hembuskan hidung untuk 15 minit setelah menggunakan ubat ini.

 

b)   Masa penggunaan

  • Gunakan 1-2 kali sehari pada jarak masa yang sama.
  • Ikut arahan ahli farmasi atau doktor anda.
 

c)    Tempoh penggunaan

  • Jangan gunakan melebihi tempoh 3 bulan berterusan, kecuali diarahkan oleh doktor anda.
 

d)   Jika anda terlupa untuk menggunakan ubat ini:

Ambil dos tertinggal sebaik sahaja anda teringat. Abaikan dos tertinggal sekiranya  masa  pengambilan untuk dos seterusnya sudah hampir. Jangan gandakan dos anda.

8.    Semasa Menggunakan Ubat Ini:

 

a)    Perkara yang perlu dilakukan:

  • Gunakan ubat semburan anda mengikut arahan ahli farmasi atau doktor anda.
 

b)   Perkara yang TIDAK boleh dilakukan:

  • Jangan berkongsi ubat anda dengan orang lain.
  • Jangan berhenti mengunakan ubat ini tanpa nasihat ahli farmasi atau doktor anda.
 

Jika terlebih dos, sila dapatkan rawatan perubatan dengan serta merta.

 

9.    Kesan Sampingan:

Anda mungkin mengalami kesan sampingan ketika menggunakan ubat ini. Kesan sampingan ini biasanya tidak serius tetapi kadangkala boleh menjadi lebih teruk. Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor jika anda mengalami kesan sampingan yang serius atau berlanjutan.

 

Kesan sampingan yang mungkin dialami:

  • Ketidakselesaan atau kekeringan hidung
  • Hidung berdarah
  • Pening
  • Sakit perut
  • Batuk
  • Sakit tekak
  • Mulut kering

10. Penyimpanan dan Pelupusan:

  • Simpan pada suhu bilik dan di tempat yang kering.
  • Lindungi dari cahaya.
  • Jauhkan dari kanak-kanak.
  • Jangan gunakan ubat yang telah melebihi tarikh luput.
  • Kembalikan ubat yang tidak digunakan atau sudah luput kepada farmasi yang berdekatan.
 

Sumber rujukan:

1.    Laman web: www.patient.co.uk/medicine/Budesonide-nasal-spray.htm

2.    Micromedex Healthcare Series 2.0

3.    Lexicomp’s Drug Information Handbook 19th edition

4.    Malaysian Index of Medical Specialities 2011

5.    British National Formulary Vol. 60