Jangkitan Telinga

Penyakit

Title: Jangkitan Telinga
Date: 
21 Mar 2017

Pengenalan

Jangkitan telinga adalah masalah kesihatan yang kerap dihidapi oleh kanak-kanak.

Ianya menyebabkan gangguan tidur dan pemakanan kanak-kanak. Mereka mungkin akan sentiasa menangis tanpa diketahui sebabnya. Kebanyakan kanak-kanak mendapat sekurang-kurangnya 1 jangkitan telinga sebelum berusia 2 tahun.

Apakah perbezaan jenis jangkitan telinga?

Ada 2 jenis jangkitan telinga:

  • Otitis media adalah jangkitan telinga yang berlaku apabila virus, bakteria atau kulat menyerang tiub eustachian (saluran yang menghubung sinus dibelakang hidung ke telinga tengah)
  • Otitis externa ialah jangkitan telinga yang berlaku di saluran telinga luar.


Otitis externa

Apakah faktor seseorang itu cenderung mendapat jangkitan telinga?

  • Jangkitan di saluran pernafasan yang berulang-ulang.
  • Adik-beradik yang dijaga di pusat harian.
  • Bayi yang diberi susu botol.
  • Terdedah kepada asap rokok.
  • Pembesaran adenoids.
  • Sumbing bibir.
  • Alahan menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan telinga.

Bagaimanakah kita mengetahui kanak-kanak mendapat jangkitan telinga?

Kebiasaan kanak-kanak akan mendapat jangkitan telinga selepas mendapat selesema atau jangkitan di salur pernafasan.

Tanda-tanda biasa ialah:

  • Kesakitan dalam telinga.
  • Resah dan mudah meradang.
  • Tidur yang selalu terganggu.
  • Selalu merentap dan menarik cuping telinga.
  • Nanah keluar daripada telinga.
  • Kurang selera makan.
  • Lelehan hidung.
  • Selalu menangis sebelah malam semasa tidur.
  • Kurang terangsang dengan bunyi yang perlahan.

Untuk bacaan lanjut, sila klik di sini.