Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

29 September 2019

 

Ahli farmasi komuniti adalah ahli farmasi berdaftar yang memberi perkhidmatan kaunseling dan membekal ubat-ubatan di premis farmasi komuniti. Bidang perkhidmatan farmasi komuniti merupakan bidang farmasi yang dikatakan paling dekat atau hampir dengan masyarakat dan komuniti setempat dalam aspek penyampaian maklumat berkaitan ubat-ubatan.   


Semasa mendapatkan bekalan ubat di farmasi komuniti, masyarakat perlu mengetahui bahawa secara amnya, ubat dibahagi kepada ubat terkawal dan ubat am (over the counter). Ubat terkawal pula dibahagi kepada dua kategori, iaitu ubat terkawal dengan preskripsi dan ubat terkawal tanpa preskripsi.   


Bagi ubat terkawal dengan preskripsi, orang awam hanya boleh membeli ubat dalam kategori ini sekiranya ada preskripsi atau slip ubat daripada doktor. Antara contoh ubat terkawal dengan preskripsi ini adalah seperti ubat untuk tujuan rawatan tekanan darah tinggi dan antibiotik.  


Bagi ubat-ubatan yang dikategorikan sebagai ubat terkawal tanpa preskripsi pula, ubat-ubatan tersebut boleh diperoleh daripada ahli farmasi tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor. Antara contoh ubat dalam kategori ini adalah ubat krim, ubat batuk dan sesetengah jenis ubat selesema.  


Ubat am pula merupakan ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor seperti ubat demam (contoh: paracetamol). Ubat am boleh diperoleh bukan sahaja di premis farmasi komuniti, malah juga di kedai-kedai biasa. Ahli farmasi komuniti memainkan peranan yang penting dalam penyampaian maklumat berkaitan ubat-ubatan. Ini bagi memastikan pesakit mendapat informasi yang tepat tentang ubat yang diambil.

 
Perkhidmatan utama yang yang disampaikan oleh ahli farmasi komuniti adalah sesi kaunseling ubat-ubatan. Sesi kaunseling bersama-sama ahli farmasi komuniti merupakan satu platform yang amat berkesan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap ubat-ubatan yang diambil di samping meningkatkan keyakinan pesakit untuk patuh terhadap pengambilan ubat-ubatan.  


Masa kini telah ada golongan pesakit yang membawa semua bekalan ubat-ubatan mereka yang diperoleh dari klinik kesihatan atau hospital ke farmasi komuniti apabila mereka kurang pasti tentang arahan pengambilan ubat-ubatan tersebut. Pesakit akan diberikan kaunseling dan penerangan lanjut oleh ahli farmasi komuniti. Pemahaman berkaitan dos ubat, cara pengambilan ubat dan masa pengambilan ubat adalah amat penting bagi memastikan pesakit menggunakan ubat secara berkualiti dan seterusnya mendapat manfaat ubat sepenuhnya.  


Selain kaunseling ubat, kaunseling penggunaan alat bantu perubatan juga disampaikan oleh ahli farmasi komuniti. Sebagai contoh, kaunseling berkaitan cara penggunaan inhaler (ubat sedut) dan cara penggunaan pen untuk suntikan ubat insulin sering disampaikan oleh ahli farmasi komuniti kepada pesakit. Perkhidmatan kaunseling ini dapat membantu pesakit menggunakan alat perubatan dengan cara yang betul supaya kesan rawatan yang diingini dicapai. Pada masa yang sama, kaunseling ini dapat mengurangkan kesan sampingan ubat dan secara tidak langsung, kualiti hidup pesakit juga dapat ditingkatkan. 


Ramai ahli farmasi komuniti turut menyediakan beberapa perkhidmatan tambahan lain seperti ujian paras gula dan paras kolesterol dalam darah serta pemeriksaan tekanan darah. Pemeriksaan ringkas yang dijalankan di farmasi komuniti ini bertujuan untuk memantau keadaan pesakit yang sedang mengambil ubat tertentu atau sebagai saringan awal penyakit.  


Terdapat juga sesetengah farmasi komuniti yang turut membekalkan perkhidmatan profesional lain seperti program berhenti merokok. Ahli farmasi komuniti turut bertanggungjawab dalam menyampaikan sesi kaunseling kepada individu yang berhasrat untuk berhenti merokok. Ahli Farmasi komuniti akan menilai keadaan perokok, menetapkan pelan rawatan berhenti merokok dan mencadangkan langkahlangkah yang sesuai untuk membantu perokok berhenti merokok secara berperingkat. 


Bersama-sama dengan perkembangan multimedia pada zaman kini, ahli farmasi komuniti juga memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan maklumat berkaitan ubat-ubatan dan kesihatan melalui media sosial seperti facebook dan instagram. Informasi berkaitan ubat-ubatan dan kesihatan dapat disampaikan kepada masyarakat pada skala yang lebih besar dan berkesan melalui media sosial dan keadaan ini berupaya memberi impak yang positif dalam meningkatkan ilmu berkaitan ubat-ubatan dalam kalangan pesakit.  


Secara keseluruhan, ahli farmasi komuniti mempunyai peranannya yang tersendiri. Maklumat berkaitan ubat-ubatan dan perkhidmatan yang disampaikan oleh ahli farmasi komuniti sudah tentu dapat memberi manfaat kepada masyarakat dalam aspek kesihatan.  


Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan dengan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum). 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman