Produk Maajun/jamu Yang Merbahaya

Pengenalan

Semua produk farmaseutikal di Malaysia termasuk ubat tradisional dan suplemen kesihatan wajib berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ianya boleh dipasarkan kepada pengguna termasuklah produk dari luar negara. Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran khusus bermula dengan ‘MAL’ diikuti dengan 8 digit nombor dan huruf A, X, T atau N (contoh: MAL14084576T)  dan label keselamatan hologram Meditag. Kategori produk yang didaftarkan adalah seperti berikut iaitu:

A - untuk ubat terkawal yang memerlukan preskripsi (contoh: ubat antibiotik, ubat kencing manis)

X - untuk ubat tanpa preskripsi (contoh: ubat demam)

T - untuk ubat tradisional ( contoh: jamu, pil herba)

N - untuk suplemen kesihatan (contoh: vitamin)

Produk yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan label hologram Meditag adalah produk yang tidak berdaftar ataupun produk tiruan.  Produk jamu ataupun maajun adalah diklasifikasikan sebagai produk tradisional dan perlu berdaftar dengan pihak KKM. Ia  hanya dibenarkan mengandungi bahan-bahan semulajadi dan tidak boleh dicampurkan dengan sebarang ubat terkawal.

 

Faktor  Keselamatan.

Secara umumnya, penggunaan produk tradisional memerlukan tempoh masa yang lebih lama untuk memberikan kesan kepada pengguna berbanding ubat terkawal. Ujian yang dibuat ke atas produk tradisional semasa proses pendaftaran produk  menjurus ke arah  kualiti dan  keselamatannya kepada pengguna sahaja berbanding produk berdaftar kategori lain yang diuji keselamatan, kualiti dan keberkesanannya. Oleh itu pengguna tidak boleh mengharapkan kesan yang segera dengan penggunaan produk tradisional.

Kecenderungan pengguna mengambil suplemen kesihatan atau produk tradisional untuk meningkatkan taraf kesihatan telah mendorong segelintir pengeluar produk yang tidak bertanggungjawab untuk mencampurkan bahan terlarang ke dalam produk mereka. Aktiviti ini dilakukan bagi meyakinkan pengguna kononnya produk tersebut berkesan sebagaimana tuntutan yang dibuat. Hal ini berlaku akibat kerakusan sesetengah pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan terhadap golongan yang mempunyai keinginan untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka. Sikap penguna yang inginkan kesan yang cepat tanpa memperdulikan akibatnya turut menyumbang kepada kewujudan gejala ini.

Pemantauan pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM telah mengesan kewujudan produk tradisional seperti jamu dan maajun yang menggunakan nombor pendaftaran milik produk lain dan melekatkan hologram palsu untuk menunjukkan seolah-olah produk tersebut adalah berdaftar dan diluluskan oleh KKM. Pengguna yang tidak berhati-hati mungkin terpedaya dengan muslihat ini dan membeli produk yang tidak diketahui statusnya. Terdapat juga produk yang didapati menggunakan alamat palsu dan tidak dapat dikesan sumber sebenarnya.

Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari laman rasmi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di www.pharmacy.gov.my. Nombor pendaftaran atau nama produk yang tidak wujud dalam sistem tersebut adalah dikhuatiri palsu dan harus dielakkan.

 

Bahan larangan yang dikesan.

Secara umumnya bahan larangan yang biasa dikesan dalam produk tradisional seperti maajun atau jamu tidak berdaftar adalah bahan aktif bagi ubat-ubat terkawal yang hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau oleh ahli farmasi. Antara bahan larangan yang telah dikesan dalam produk tradisional adalah :

  • Ubat tahan sakit seperti phenylbutazone, ibuprofen dan diclofenac
  • Steroid seperti dexamethasone dan prednisolone
  • Ubat rawatan kencing manis seperti metformin dan glibenclamide.

Bahan-bahan larangan ini adalah bergantung kepada tuntutan perubatan yang diisytiharkan pada produk tersebut. Antara tuntutan yang lazim bagi produk tradisional adalah untuk rawatan sakit tulang, sendi, menambahkan tenaga, meningkatkan selera makan dan lain-lain lagi.

Kesan Sampingan

Pengguna yang mengambil produk tradisional yang dicampur racun terdedah kepada risiko kesan sampingan kerana kuantiti  yang dimasukkan ke dalamnya adalah tidak konsisten dan boleh menjadi terlalu tinggi ataupun rendah. Ini kerana produk tersebut tidak dikilangkan di premis mengikut piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP). Pada awalnya pengguna akan merasakan produk tersebut berkesan dan memberikan kesan yang diingini, namun akhirnya pengguna akan mengalami kesan buruk pengambilan produk tersebut. Kesan sampingan yang dialami mungkin berbeza antara seorang pengguna dengan seorang pengguna yang lain bergantung kepada faktor-faktor seperti taraf kesihatan, gaya hidup, pemakanan dan sebagainya. Tempoh masa untuk pengguna tersebut menunjukkan kesan sampingan dan tahap keseriusannya juga berbeza.

Antara bahan larangan pada produk tradisional dan kesan sampingan yang diakibatkan olehnya adalah seperti berikut :

  • Steroid – penambahan selera makan yang luar biasa, sembab, melambatkan penyembuhan luka, meningkatkan tekanan darah, dan kerosakan buah pinggang
  • Phenylbutazone – pendarahan dalam perut, kesn melecur pada kulit, penglihatan kabur dan kerosakan buah pinggang
  • Ubat Anti- Inflamatori Bukan Steroid (NSAIDS) – gastrik, pendarahan dalam perut dan kerosakan buah pinggang

 

Cara Melaporkan Aduan

Pengguna yang mengalami kesan sampingan seperti di atas ataupun mengalami kesan segera apabila menggunakan produk maajun atau jamu tradisional dinasihatkan supaya berhenti daripada menggunakan produk tersebut dan mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pengamal perubatan berdaftar. Sila bawa bersama produk yang diambil untuk memudahkan pengesanan.

Pengguna juga boleh melaporkan sebarang salahlaku berhubung penjualan produk tidak berdaftar kepada pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi di negeri masing samada dengan datang sendiri, melalui surat, atau melalui  telefon ke  Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM. Semua maklumat yang diterima adalah rahsia dan tidak akan disebarkan kepada pihak lain.