Jangan terpedaya dengan iklan produk kosmetik

Wed, 09/06/2010

 

KENYATAAN AKHBAR

 

Jangan Terpedaya Dengan Iklan Produk Kosmetik

Yang Mendakwa Dapat Merawat Penyakit Mata

 

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa cuma terdapat dua jenis produk penjagaan mata yang dikeluarkan oleh Syarikat Permata Hijrah, yang dibenarkan berada dalam pasaran iaitu Ainon Toner Mata Permata Hijrah dan Permata Hijrah Ainon Toner Mata yang dikilangkan oleh SERI MH UMMI SDN. BHD. Kedua-dua produk tersebut dinotifikasikan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai produk KOSMETIK. Produk kosmetik tidak dimaksudkan untuk kegunaan ke dalam biji mata dan tuntutan bagi merawat penyakit atau masalah berkaitan mata tidak dibenarkan.

 

Produk kosmetik dalam konteks ini, adalah semata-mata untuk digunakan di bahagian muka di sekitar bahagian luar mata untuk tujuan estetika. Ianya tidak sama sekali boleh digunakan ke dalam biji mata sebagai ubat titis mahupun sebagai ubat semburan.

 

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan melalui media elekronik, media cetak dan juga risalah yang diedarkan dalam kempen-kempen promosi oleh beberapa syarikat yang mendakwa produk-produk keluarannya dapat merawat penyakit mata seperti rabun, kerosakan saraf kerana diabetik, mata berselaput, glaukoma dan sebagainya, kerana dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak mempunyai asas dan bukti dari segi sains perubatan.

 

Cawangan Penguatkuasa Farmasi banyak menerima aduan dari orang ramai berkaitan produk-produk dari syarikat-syarikat pengeluar kosmetik tentang kesahihan tuntutan yang dibuat sewaktu promosi dan pemasaran. Sehubungan itu, semua  pengeluar dan agen-agen syarikat-syarikat ini diingatkan bahawa produk yang dinotifikasi sebagai kosmetik hendaklah dipasarkan sebagai kosmetik dan tidak boleh membuat tuntutan yang jelas melampaui definasi kegunaan produk kosmetik. Perkara ini sentiasa dipantau dan jika terdapat bukti berlaku perlanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang, siasatan lanjut akan dibuat terhadap syarikat yang terlibat dan seterusnya akan didakwa.

 

Pihak kementerian memandang serius kewujudan beberapa syarikat lagi yang mengeluarkan produk kosmetik untuk mata yang juga menggunakan tektik promosi yang mengelirukan pengguna. Pengguna dan orang ramai yang mempunyai masalah kesihatan mata disaran supaya tidak membazirkan wang mereka membeli produk-produk tersebut untuk tujuan rawatan kerana perbuatan tersebut bukan sahaja sia-sia dan merugikan, malahan mengundang bahaya yang lebih besar dari segi keselamatan dan kesihatan.

 

Mereka yang mengalami masalah kesihatan mata dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan sewajarnya daripada doktor atau pakar perubatan yang bertauliah. Bagi mereka yang mengalami kesan advers akibat penggunaan produk-produk berkenaan, sila laporkan terus kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-78838549/5551 untuk siasatan lanjut.

 

Orang awam juga boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi talian telefon 03-7841 3200/3215 atau emel pharmacy1@moh.gov.my sekiranya memerlukan keterangan lanjut atau pengesahan mengenai produk berkaitan.

 

 

 

EISAH BINTI A RAHMAN

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi

Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

12 Mei 2010