LARANGAN PENGGUNAAN PRODUK YANG DINOTIFIKASI SEBAGAI PRODUK KOSMETIK

Wed, 23/12/2009

 

Orang Awam dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli dan menggunakan produk yang dinotifikasikan sebagai kosmetik (toner mata / eye toner) tetapi disyorkandigunakan dengan cara menitis ke dalam mata. Produk-produk tersebut yang pada asalnya dinotifikasikan sebagai produk kosmetik untuk digunakan pada bahagian luaran mata bagi tujuan untuk menghilangkan kesan lebam sekitar mata, melembapkan dan mengurangkan kesan kedut pada kelopak mata. Walau bagaimanapun, ia telah disalahgunakan untuk tujuan merawat mata dengan cara menitis ke dalam mata. Ini termasuk juga produk-produk yang digunakan untuk dititis ke dalam hidung untuk tujuan rawatan seperti hidung berair, bersin dan nafas berbau.
 
Tuntutan yang lazimnya dinyatakan pada produk-produk tersebut seperti untuk mencerahkan penglihatan, untuk mengurangkan rabun jauh atau dekat, menyegarkan saraf mata adalah dikategorikan sebagai tuntutan perubatan dan tidak boleh digunakan pada produk kosmetik. Selain itu, tuntutan perubatan lain seperti untuk mengurangkan gatal dan pedih mata, mengeluarkan habuk mata, sakit mata dan sebagainya juga tidak dibenarkan bagi produk-produk yang dikatogerikan sebagai produk kosmetik.
 
Pengguna dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan perihatin semasa membuat pilihan apabila membeli produk kosmetik di pasaran. Memandangkan terdapat pelbagai produk kosmetik dengan pelbagai jenama di pasaran, pengguna perlu lebih bijak dan berpengetahuan apabila memilih produk kosmetik yang sesuai untuk mereka dan mereka harus peka dan tidak terpengaruh dengan testimoni yang diiklankan oleh pihak pengeluar.
 
Produk kosmetik adalah persediaan untuk digunakan ke atas bahan luaran tubuh manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir, dan juga untuk gigi and dalam rongga mulut untuk tujuan membersih, mewangi, mencantikkan/memperbaiki, melindungi /menjaga dalam keadaan baik dan menghilangkan bau badan.
 
Produk-produk yang digunakan dengan cara menitis ke dalam mata dan produk untuk dititis ke dalam hidung adalah diluar takrifan kosmetik dan sepatutnya dikawal sebagai produk farmaseutikal. Produk-produk tersebut juga perlu dikilangkan di premis-premis pengilangan yang bertaraf Amalan Perkilangan Baik bagi produk farmaseutikal, dan untuk tujuan mengilang ubat titis mata, premis tersebut perlu mempunyai kelengkapan yang spesifik untuk mengeluarkan produk ‘steril’. Produk yang dinotifikasi sebagai kosmetik tidak memenuhi keperluan ini.
 

Produk seperti tersenarai di bawah tidak lagi dibenarkan diimport/dikilang/diedar/ dijual dan Pihak Berkuasa telah pun mengarahkan semua stok produk berkenaan di keluarkan dari pasaran.

Untuk senarai produk

http://www.knowyourmedicine.gov.my/newsmaster.cfm?&menuid=6&action=view&retrieveid=55