Penjualan Semburan Hidung '357'

Tue, 08/06/2010

 

KENYATAAN AKHBAR

PENJUALAN PRODUK TIDAK BERDAFTAR: ‘357 NASAL SPRAY’

 

Orang awam dinasihatkan untuk mengelak dari membeli dan mengguna sejenis produk tradisional ubat semburan hidung  ‘357 Nasal Spray’ dengan nombor pendaftaran MAL06061468T untuk diguna bagi melegakan hidung tersumbat. Pemegang pendaftaran bagi produk ‘357 Nasal Spray’ ialah Three Five Seven Sdn. Bhd dan pengilang adalah QiandongnanLikaqing Tec Co. Ltd., China.

 

Pendaftaran produk ‘357 Nasal Spray’ telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke 227 bertarikh 29 April 2010 berikutan pengesanan racun berjadual iaitu dexamethasone di dalam produk tersebut.  Dexamethasone adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional. 

 

Ubat-ubatan yang mengandungi dexamethasone hanya boleh dibekal oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor. Penggunaan dexamethasone tanpa pengawasan doktor  boleh menyebabkan kesan advers serius seperti tekanan darah tinggi, edema dan sindrom Cushingoid (moon face). Dengan itu, adalah sangat bahaya sekiranya produk  ini diguna oleh orang yang mempunyai risiko tinggi terhadap kesan advers seperti ini. 

 

Produk ini telah disahkan dicampur palsu dengan dexamethasone, oleh itu orang awam dinasihat untuk menghentikan penggunaan produk ini dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika perlu maklumat lanjut.

 

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk ini dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

 

17hb. Mei, 2010