Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

19 Disember 2022

Sehingga tahun 2020 sebanyak 46,931 individu sedang menerima rawatan bagi jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) di seluruh Malaysia dan sebanyak 3,146 kes baharu dilaporkan pada tahun yang sama. HIV merupakan virus yang menyerang dan memusnahkan sistem pertahanan tubuh manusia. Virus ini boleh tersebar melalui bendalir di dalam badan seperti darah, air mani, cecair pada faraj dan susu ibu yang menghidap HIV. Individu tidak akan mendapat jangkitan HIV melalui sentuhan biasa seperti berkongsi minuman dan bersalaman.

 

Tingkah laku berisiko tinggi meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat jangkitan HIV termasuklah mengamalkan hubungan seksual bebas tanpa perlindungan, berkongsi jarum atau alat suntikan dengan penghidap HIV, pemindahan organ atau darah yang dicemari virus ini dan jangkitan daripada ibu yang menghidap HIV kepada bayi dalam kandungan atau melalui penyusuan susu badan. HIV boleh dikenali atau dikesan melalui beberapa kaedah ujian yang biasanya dilakukan dengan mengambil sampel darah pesakit.

 

Jangkitan HIV boleh memberi impak kepada kualiti hidup individu dan boleh membawa kepada kematian jika tidak dirawat dengan baik. Virus ini akan kekal di dalam badan pesakit seumur hidup namun dengan rawatan antiretroviral yang berterusan dan saringan secara berkala, terapi ini dapat memanjangkan hayat, mengelakkan penyebaran HIV dan melambatkan komplikasi akhir jangkitan HIV iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit atau dikenali sebagai Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS). Pesakit AIDS mempunyai daya ketahanan badan yang rendah dan terdedah kepada risiko jangkitan oportunistik yang pada kebiasaannya tidak berlaku pada individu yang sihat.

 

Rawatan HAART 

 

Rawatan penyakit HIV menggunakan gabungan ubat yang dikenali sebagai Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART) bertujuan untuk menghalang asid deoksiribonukleik (DNA) virus ini daripada terus berganda, mengurangkan bilangan virus sehingga ke paras yang tidak dapat dikesan dan memberikan kualiti hidup yang lebih baik. Rawatan HAART menggunakan 3 atau lebih ubat HIV dengan sekurang-kurangnya dua kategori yang berbeza bagi memastikan keberkesanan rawatan dan mengelakkan munculnya kerintangan terhadap ubat HIV.

 

Sebelum memulakan rawatan HAART, doktor perlu melakukan penilaian terhadap pesakit bagi memastikan kesesuaian ubat dan kesediaan pesakit untuk menjalani rawatan ini. Kaunseling daripada doktor dan ahli farmasi yang terlatih dalam bidang rawatan HIV diperlukan bagi memastikan pesakit faham tentang kepentingan kepatuhan terhadap rawatan HAART. Rawatan HAART menuntut pengambilan ubat secara konsisten setiap hari pada masa yang sama dan menghadiri janji temu rawatan susulan. Ketidakpatuhan pada pengambilan ubat boleh menyebabkan kegagalan rawatan.

 

Berikut ialah 4 kategori dan contoh ubat HAART yang digunakan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

  1. Non-nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitor (NNRTI) - Nevirapine, efavirenz

  2. Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitor (NRTI) - Abacavir, lamivudine, tenofovir, emtricitabine, zidovudine, stavudine, didanosine

  3. Integrase Inhibitor (INI) - Raltegravir, dolutegravir

  4. Protease Inhibitor (PI) - Atazanavir, ritonavir, lopinavir

 

Ubat HAART dikategorikan mengikut mekanisme tindakan ubat tersebut. Kepelbagaian ubat HAART membolehkan doktor memilih ubat mengikut keperluan dan kesesuaian pesakit. Penggunaan ubat yang merencatkan penghasilan virus HIV melalui mekanisme tindakan yang berbeza boleh meningkatkan kejayaan rawatan HAART dan mengurangkan risiko kerintangan. Namun, kerintangan terhadap rawatan ini masih boleh berlaku. Salah satu strategi yang penting bagi mengatasi masalah kerintangan ialah kepatuhan pesakit dalam pengambilan ubat. Terdapat juga produk kombinasi (fixed-dose combination, FDC) yang mengandungi gabungan bahan aktif di dalam satu tablet bagi memudahkan pengambilan ubat oleh pesakit. HAART tidak menyembuhkan HIV, tetapi ia mengawal virus, menghentikannya daripada berganda dalam tubuh, dan mengurangkan bilangan virus yang kekal di dalam badan hingga ke paras tidak dikesan atau “undetectable”.

 

Cara Pengambilan

 

Ubat HAART hendaklah diambil setiap hari pada waktu yang sama. Interaksi antara ubat dan makanan bagi setiap ubat HIV adalah berbeza. Sebagai contoh, ubat tenofovir perlu diambil semasa perut kosong kerana kehadiran makanan boleh melambatkan penyerapan ubat manakala ubat ritonavir perlu diambil selepas makan bagi mengurangkan kesan sampingan ubat. Pastikan pesakit mengambil ubat mengikut arahan yang diberikan oleh doktor dan ahli farmasi bagi memastikan keberkesanan optimum rawatan HAART.

 

Kesan Sampingan Rawatan

 

Kesan sampingan rawatan HAART adalah berbeza mengikut jenis ubat dan reaksi individu. Kesan sampingan yang sering dilaporkan ialah pening, loya, muntah, kemurungan, gusar, mimpi buruk dan insomnia. Lazimnya, pesakit akan mengalami kesan sampingan beberapa minggu di permulaan rawatan. Kesan sampingan akan beransur kurang setelah paras ubat di dalam badan mulai stabil. Terdapat juga kesan sampingan yang hanya boleh diketahui dengan melakukan ujian darah sahaja seperti perubahan fungsi hati dan buah pinggang. Pastikan pesakit menghadiri janji temu susulan supaya doktor dapat menilai keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini. Maklumkan kepada doktor dan ahli farmasi jika pesakit mempunyai masalah atau kebimbangan yang boleh menjejaskan kepatuhan terhadap pengambilan ubat HAART. Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika mengalami kesan sampingan rawatan.
 

Penutup

 

Kepatuhan kepada pengambilan ubat adalah kunci kejayaan dalam rawatan penyakit HIV. Maka kesedaran, komitmen dan motivasi dalam meneruskan rawatan adalah penting bagi memastikan pesakit HIV mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-67-22, setiap Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman