Trigeminal Neuralgia

Penyakit

Title: Trigeminal Neuralgia
Date: 
29 Mar 2017

Apa itu “Trigeminal Neuralgia” ?

Trigeminal Neuralgia (TGN) adalah satu keadaan amat menyakitkan yang melibatkan saraf trigeminal, salah satu saraf utama kawasan muka dan mulut. Saraf ini mempunyai tiga cabang yang meliputi hampir seluruh kawasan muka (Gambarajah 1). TGN menyebabkan serangan kesakitan yang berlaku secara tiba-tiba dan boleh berlanjutan dari beberapa saat hingga beberapa minit dan boleh berlaku beberapa kali sehari. Kesakitan ini biasanya digambarkan oleh pesakit sebagai suatu kesakitan yang tajam atau seperti tikaman atau kejutan elektrik seperti dan biasanya di salah satu belah muka sahaja. Ia adalah suatu keadaan yang jarang berlaku dan selalunya melibatkan pesakit yang berumur 50 tahun ke atas dan lebih kerap di kalangan wanita.

Gambarajah 1. Kawasan liputan saraf trigeminal (zon hijau, merah dan kuning)
(Sumber : Buku “20th U.S. edition of Gray’s Anatomy of the Human Body”)

 

Apakah gejala keadaan TGN?

Kesakitan TGN biasanya terjadi secara tiba-tiba dan biasanya digambarkan oleh pesakit sebagai suatu kesakitan yang tajam / mencucuk-cucuk / seumpama kejutan elektrik d kawasan muka atau mulut. Serangan ini biasanya berlangsung selama beberapa saat hingga beberapa minit dan boleh berlaku secara spontan atau dicetuskan oleh aktiviti-aktiviti tertentu. Serangan ini boleh berlaku beberapa kali sehari. Aktiviti yang biasanya boleh mencetuskan serangan TGN adalah seperti berikut:

  • bercakap
  • mengunyah, makan, minum
  • senyum
  • sentuhan lembut
  • memberus gigi
  • mencuci muka
  • bercukur
  • terkena angin pada bahagian muka

TGN biasanya melibatkan hanya sebelah muka sahaja tetapi ada kalanya ia boleh melibatkan kedua-dua belah muka. Kesakitan yang dialami boleh melibatkan kawasan dahi, mata, rahang bawah atau rahang atas bergantung kepada cabang saraf trigeminal yang terlibat. Kadang-kala serangan juga diiringi dengan kejangan otot muka. Pada kebiasaanya, terdapat tempoh bebas kesakitan di antara serangan, bagaimanapun terdapat kes-kes di mana pesakit akan mengalami kesakitan  berdenyut sepanjang hari. Pesakit juga mungkin mendapati bahawa terdapat kawasan-kawasan tertentu pada muka / mulut yang boleh mencetuskan serangan berlaku apabila disentuh. Kawasan-kawasan ini dikenali sebagai “zon pencetus”.

Untuk bacaan lanjut, sila klik di sini