Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

19 Mei 2019

Bulan Ramadan menjelma lagi dan umat Islam di seluruh dunia mula berpuasa. Ibadah puasa menuntut penganut beragama Islam untuk menahan diri daripada makan dan minum kira-kira 14 jam setiap hari. Perkara ini menyebabkan perubahan pola pemakanan, termasuklah waktu dan kaedah pengambilan ubat-ubatan. 
 
Pengambilan ubat-ubat kronik sepanjang bulan Ramadan perlu diubah suai mengikut keperluan supaya pesakit tetap dapat mengambil ubat-ubat tersebut walaupun perlu berpuasa. Perkara ini penting untuk memastikan penyakit kronik yang dihidapi sentiasa terkawal. Oleh sebab itu, pesakit kronik seperti pesakit diabetes dan asma perlu mendapatkan nasihat daripada doktor yang merawat tentang cara pengambilan ubat-ubat yang berkenaan pada bulan Ramadan. 
 
Bolehkah Menggunakan Ubat Sewaktu Berpuasa?  
 
Isu pengambilan ubat ketika berpuasa telah banyak dibincangkan oleh para pakar agama dan terdapat pandangan yang berbeza dalam kalangan mereka (berdasarkan fakta-fakta tertentu). Pada 2013, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan Panduan Berpuasa bagi Pesakit (terbitan kedua) yang mengkategorikan jenis-jenis ubat kepada ubat yang dapat membatalkan puasa dan sebaliknya. 
 
Ubat yang dapat membatalkan puasa:

i. Ubat biji dan minum
ii. Ubat yang dimasukkan ke dalam vagina termasuk pesari dan prosedur cucian
iii. Ubat yang dimasukkan ke dalam dubur, seperti supositori dan enema
iv. Ubat bius menyeluruh (yang melibatkan gas)
v. Ubat inhaler untuk rawatan penyakit asma dan penyakit paru-paru kronik 
 
Ubat yang tidak membatalkan puasa:
i. Ubat titis mata, hidung dan telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga)
ii. Tablet sublingual (bawah lidah) dengan syarat diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan
iii. Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah
iv. Ubat jenis sapu (krim atau salap) dan plaster
v. Ubat kumur
vi. Ubat sembur hidung (dengan syarat tidak disedut)
vii. Ubat bius setempat dan bius separuh. 
 
Inhaler: Batal Atau Tidak Batal Puasa? 
 
Terdapat dua pendapat berkaitan hukum batal atau tidak batal puasa dalam penggunaan inhaler. Pendapat pertama menyatakan batal kerana bahan-bahan dalam inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut.  
 
Pendapat kedua menyatakan tidak batal puasa kerana satu semburan inhaler hanya mempunyai isipadu beberapa titisan air dan diibaratkan seperti keadaan berkumurkumur yang tidak membatalkan puasa. Ia juga dilihat untuk keperluan rawatan yang mendesak. 

Maka terpulang kepada pesakit untuk membuat pilihan berdasarkan keyakinan mereka. Jika percaya ia membatalkan puasa, maka wajib bagi pesakit tersebut menggantikan semula puasa yang tertinggal itu pada bulan-bulan yang berikutnya. 
 
Patuh Menggunakan Inhaler Jenis Pencegah 
 
Secara umumnya, inhaler terbahagi kepada dua jenis iaitu pencegah dan pelega. Pesakit yang menggunakan inhaler jenis pencegah dinasihatkan supaya menggunakan inhaler tersebut seperti yang diarahkan. Waktu pengambilan boleh ditukarkan kepada ketika waktu bersahur dan waktu berbuka puasa. Kawalan penyakit yang baik dengan penggunaan ubat inhaler jenis pencegah yang konsisten dapat mengelakkan serangan asma ketika berpuasa. Perkara ini sekali gus dapat mengurangkan keperluan pesakit menggunakan inhaler jenis pelega, yang digunakan hanya apabila pesakit terkena serangan asma secara tiba-tiba. 
 
Pesakit yang berisiko tinggi mendapat serangan asma dinasihatkan supaya kurang mendedahkan diri kepada faktor-faktor yang boleh mencetuskan serangan asma. Sebagai contoh, aktiviti-aktiviti fizikal yang melibatkan pergerakan yang agresif dan tinggi intensiti perlu dihadkan mengikut kemampuan pesakit asma sepanjang bulan puasa. Malahan aktiviti-aktiviti harian di rumah, seperti membersihkan rumah daripada habuk, yang turut diketahui dapat menyebabkan serangan asma perlu dilakukan secara berhati-hati. 
 
Dapatkan Nasihat Doktor Atau Ahli Farmasi Tentang Pengambilan Ubat 
 
Menjelang Ramadan, pesakit kronik dinasihatkan untuk bersedia dengan pelan pengambilan ubat-ubatan yang telah diubah suai dan dibincangkan bersama-sama doktor atau ahli farmasi. Pesakit tidak seharusnya berhenti mengambil ubat dengan alasan ingin berpuasa tanpa memaklumkan kepada doktor yang merawat. Pesakit yang masih keliru tentang cara pengambilan ubat ketika berpuasa, digalakkan bertanya kepada ahli farmasi di hospital, klinik kesihatan mahupun premis farmasi komuniti yang berdekatan. 
 
Puasa merupakan amalan yang baik untuk kesihatan. Walau bagaimanapun, pengambilan ubat-ubatan terutama untuk penyakit kronik hendaklah diteruskan, dengan sedikit pengubahsuaian dan pemantauan yang berterusan daripada ahli profesional kesihatan. Komunikasi yang berkesan antara pesakit dengan perawat sangat penting untuk memastikan pengambilan ubat-ubatan yang berkualiti sepanjang pesakit berpuasa. 
 
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan dengan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre- NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali cuti umum). 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

HUBUNGI KAMI

PROGRAM PERKHIDMATAN FARMASI
LOT 36, JALAN UNIVERSITI, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

PUSAT PANGGILAN FARMASI KEBANGSAAN (NPCC)

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2019 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman