Pengenalan
Rabies adalah jangkitan virus akut. Rabies terdapat dalam haiwan di kebanyakan negara di seluruh dunia. Kebanyakan kes jangkitan manusia berlaku di negara-negara membangun.
Agen penyebab: Virus rabies, sejenis rabdovirus dari genus Lyssavirus
Cara jangkitan: Virus rabies terdapat dalam air liur haiwan dan boleh di jangkiti melalui gigitan atau sebarang kejadian yang menembusi kulit seperti jilatan haiwan di tempat luka.
Tempoh pengeraman: 3 hingga 8 minggu, seawal-awalnya 9 hari atau selewat-lewatnya 7 tahun.
Di kawasan yang biasa terdapat jangkitan rabies (kawasan endemik), pelawat berisiko mendapat jangkitan jika berhubung kait dengan haiwan liar atau haiwan peliharaan termasuk anjing dan kucing.
Tanda dan Gejala
Rabies adalah sejenis penyakit akut yang menyebabkan radang (inflamasi) pada otak dan korda spina (ensefalomielitis)
Tanda-tanda awal termasuk rasa bimbang, sakit kepala, demam, lesu dan perubahan deria di sekitar tempat gigitan.
Mudah terangsang, berhalusinasi dan berasa takut pada tiupan angin (aerophobia). Sesetengahnya berasa gerun atau bencikan air (hidrofobia) disebabkan kekejangan otot kerongkong yang sakit ketika menelan. Pada peringkat seterusnya, pesakit menjadi celaru, mengalami sawan sehingga boleh membawa maut.
Jenis rabies yang dinamakan paralytic rabies (sawan lumpuh) mempunyai tanda dan gejala seperti kehilangan deria, lemah badan, badan berasa sakit, dan lumpuh.
Untuk bacaan lanjut, sila klik di sini.