Tidak Boleh Kencing

Penyakit

Title: Tidak Boleh Kencing
Date: 
09 Mar 2016

Pengenalan

Secara umumnya, retensi air kencing membawa maksud bahawa seseorang itu tidak boleh kencing langsung. Dari segi perubatan, skop retensi air kencing adalah  lebih luas dan merangkumi:

  • Tidak boleh kencing langsung (retensi air kencing akut)

  • Kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing walaupun kebolehan untuk kencing masih terpelihara (retensi air kencing kronik)

Masalah retensi air kencing berlaku sekiranya saluran air kencing menjadi sempit atau sumbat, kerosakan otot-otot pundi kencing atau kerosakan terhadap saraf yang mengawal otot-otot pembukaan pundi kencing.

Saluran kencing sempit atau tersumbat :

  • Pembengkakan kelenjar prostat samada kanser atau bukan kanser,

  • Jangkitan kelenjar prostat,

  • Pundi kencing dan rahim yang kendur akibat kelemahan pada otot-otot penyokong lantai pelvik

  • Parut pada saluran kencing akibat kecederaan atau jangkitan, cth penyakit kelamin

  • Batu karang yang tersumbat di uretra

Kerosakan pada pundi kencing :

  • Kecederaan pundi kencing secara langsugn

Kerosakan saraf yang mengawal fungsi pundi kencing :

  • Kerosakan saraf tunjang akibat kecederaan, jangkitan atau kanser.

  • Ubat-ubatan tertentu yang bolen mengganggu fungsi saraf dan otot seperti ubat untuk gatal (antihistamin), ubat untuk insomnia, kemurungan dan kebimbangan.

Bagi warga emas, penyebab utama retensi air kencing adalah pembengkakan kelenjar prostat bagi lelaki dan pundi kencing kendur (cystocoele) bagi wanita.

 

Gejala/Tanda

Retensi air kencing kronik

Mereka yang mengalami retensi air kencing kronik masih boleh kencing tetapi ada masalah seperti kencing lambat keluar serta aliran kencing yang perlahan dan tersekat-sekat. Mereka mungkin merasa tidak puas kerana air kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya daripada pundi kencing. Keinginan untuk kencing akan datang dengan tiba-tiba tetapi setibanya ke tandas, penghidap masalah retensi air kencing ini tidak dapat mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya. Semua ini mendesak penghidap untuk kerap ke tandas dan ini boleh mengganggu fungsi kehidupan harian mereka.

Retensi air kencing akut

Mereka ini tidak boleh kencing langsung. Air kencing akan terkumpul di dalam pundi kencing sehingga terlampau penuh. Ini boleh menyebabkan penghidap merasa sakit di bahagian bawah abdomen. Ketulan pundi kencing boleh dirasa di bahagian tersebut. Bergantung kepada punca penyebab, gejala retensi air kencing akut mungkin didahului dengan tanda-tanda retensi kronik ataupun datang secara tiba-tiba.

Komplikasi

Retensi air kencing akut adalah satu keadaaan kecemasan yang memerlukan rawatan segera. Ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kesakitan yang amat sangat akibat regangan pundi kencing secara berlebihan.  Mereka boleh mengalami peluh, bimbang, sakit dada dan peningkatan tekanan darah yang berlebihan. Kerosakan pada pundi kencing dan buah pinggan mungkin berlaku sekiranya rawatan tidak diberi dengan segera.Kesan jangka panjang adalah lebih ketara bagi mereka yang ,mengalami masalah retensi air kencing kronik kerana kecenderungan untuk mereka tidak atau lewat mendapat rawatan. Antara kesan-kesan jangka panjang termasuklah:

  • Pembentukan batu karang

  • Kerosakan otot pundi kencing akibat regangan otot yang berpanjangan

  • Kebengkakan buah pinggang (hydronephrosis).

  • Kerosakan buah pinggang

Untuk bacaan lanjut, sila klik di sini

Rawatan

Pencegahan

Rehabilitasi