Home | Sitemap | Contact Us | Login   
[ English | B. Malaysia ]   
Search:
   
Ubat-ubatan

Tajuk: CHLORAMPHENICOL (TITIS MATA)
Tarikh: 23 February 2012

Panduan Pengubatan Kendiri

Sila baca risalah ini sebelum mula menggunakan ubat anda. Rujuk kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan ubat anda.

1.  Nama Generik atau Bahan Aktif:
Chloramphenicol 0.5% 

2.  Kegunaan:

Terdapat dalam bentuk ubat titis mata untuk melegakan mata merah dan gatal disebabkan jangkitan bakteria.  

3.   Bagaimana Ubat Ini Bertindak:

Ia adalah ubat antibiotik spektrum luas, yang bertindak membunuh bakteria dengan memasuki sel bakteria dan mengganggu proses sintesis protein bakteria. 

4.    Jangan Guna Ubat Ini Jika:

Anda mempunyai alahan terhadap chloramphenicol atau kandungan lain produk ini. 

5.    Sebelum Menggunakan Ubat Ini:

Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda mempunyai alahan terhadap sebarang ubat lain.

Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda pernah mempunyai masalah depresi sumsum tulang, atau masalah perubatan yang lain.

Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda sedang memakai kanta pelekap.

  • Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda mengandung, merancang untuk mengandung, atau sedang menyusukan anak.
  • Sila dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan ubat ini pada kanak-kanak. 

6.    Pengambilan Bersama Ubat Lain:

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika anda sedang mengambil sebarang ubat, vitamin, produk herba atau makanan kesihatan tambahan kerana ia mungkin bertindakbalas dengan ubat ini.

Jika anda menggunakan ubat ini bersama ubat titis mata yang lain, tunggu 5 minit di antara penggunaan setiap ubat. Sentiasa gunakan ubat salap mata sebagai ubat terakhir. 

7.    Bagaimana Menggunakan Ubat Ini: 

Ikut arahan yang tertera pada label ubat anda. Rujuk ahli farmasi jika anda tidak faham atau memerlukan penerangan lanjut (buat hyperlink dengan direktori farmasi).

a) Cara penggunaan

i.    Sekiranya anda memakai kanta pelekap jenis keras, tanggalkan sebelum menggunakan ubat ini. Tunggu sehingga 30 minit selepas menggunakan ubat titis mata sebelum memakai kanta pelekap semula.

ii.    Basuh tangan anda dengan sabun dan air sebelum dan selepas menggunakan ubat ini.

iii.    Goncang botol ubat titis mata dan buka penutup luarnya.

iv.    Pegang botol mengarah ke bawah dengan satu tangan.

v.    Tarik kelopak mata bawah sehingga membentuk poket.

vi.    Dongak kepala dan pandang ke atas.

vii.    Pegang botol ubat berhampiran dengan mata anda, tetapi jangan tersentuh mata.

viii.    Titiskan 1-2 titis ubat mata ke dalam poket diantara kelopak mata bawah dengan bebola mata.

ix.    Tutup mata untuk satu minit. Jangan kelip atau gosok mata anda.

x.    Selepas digunakan, tutup botol semula dengan rapat. 

b)   Masa penggunaan

3-4 kali sehari, atau mengikut nasihat ahli farmasi atau doktor anda. 

c)    Tempoh penggunaan

Biasanya untuk tempoh 7 hari, atau mengikut nasihat ahli farmasi atau doktor anda. 

d)   Jika anda terlupa untuk menggunakan ubat ini:

Gunakan dos tertinggal sebaik sahaja anda teringat. Abaikan dos tertinggal sekiranya masa penggunaan untuk dos seterusnya sudah hampir. Jangan gandakan dos anda.  

8.    Semasa Menggunakan Ubat Ini:

 

a)    Perkara yang perlu dilakukan:

Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya anda mengalami kesakitan mata, sakit kepala, mata menjadi merah/gatal/bengkak, atau masalah penglihatan selepas menggunakan ubat ini.

Dapatkan nasihat doktor sekiranya masalah mata anda tidak mula sembuh atau menjadi lebih teruk 2 hari selepas mula menggunakan ubat salap ini. 

b)   Perkara yang TIDAK boleh dilakukan:

  • Jangan berkongsi ubat anda dengan sesiapa.
  • Elakkan penghujung botol ubat titis mata daripada terkena mata anda atau permukaan lain.
  • Jangan pakai kanta pelekap lembut semasa menggunakan ubat ini. 

Jika terlebih dos, sila dapatkan rawatan perubatan dengan serta merta. 

9.    Kesan Sampingan:

Anda mungkin mengalami kesan sampingan ketika menggunakan ubat ini. Kesan sampingan ini biasanya tidak serius tetapi kadangkala boleh menjadi lebih teruk. Maklumkan kepada ahli farmasi atau doktor jika anda mengalami kesan sampingan yang serius atau berlanjutan. 

Kesan sampingan yang mungkin dialami:

    • Iritasi pada mata, mata merah atau bengkak
    • Mata terasa pedih
    • Penglihatan kabur (biasanya untuk sementara sahaja)
    • Sakit kepala
    • Kekeliruan 

10.Penyimpanan dan Pelupusan:

  • Jangan gunakan lebih dari 4 minggu selepas tarikh botol dibuka.
  • Simpan pada suhu bilik dan di tempat yang kering.
  • Lindungi dari cahaya.
  • Jauhkan dari kanak-kanak.
  • Jangan gunakan ubat yang telah melebihi tarikh luput.
  • Kembalikan ubat yang tidak digunakan atau sudah luput kepada farmasi yang berdekatan. 

Sumber rujukan:                                 

1.    Holly Cronau, Ramana Reddy Kankala, Thomas Mauger. Diagnosis and Management of Red Eye in Primary Care

2.    Risalah Maklumat Pesakit – Ubat titis mata chloramphenicol.

3.    Micromedex Healthcare Series 2.0

4.    Lexicomp’s Drug Information Handbook 19th edition

5.    Malaysian Index of Medical Specialities 2011

6.    British National Formulary Vol. 60



[ Back]