Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

18 Ogos 2019

Vape juga dikenali sebagai rokok elektronik merupakan trend semasa dalam kalangan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Aliran semasa penggunaan vape telah disebarkan secara meluas melalui media sosial. Keadaan ini ditambah pula dengan kemudahan untuk mendapatkan alat vape dan cecair refill, baik daripada penjual di tepi jalan mahupun pembelian secara dalam talian serta kewujudan kafe yang bertemakan vape.  

Vape didapati dalam pelbagai reka bentuk seperti bentuk konvensional, bentuk seakanakan alat Universal Serial Bus (USB) dan reka bentuk yang menyerupai jam tangan. Taktik ini bukan sahaja telah menarik minat para perokok tegar, malah juga golongan yang tidak pernah merokok sebelum ini termasuk golongan wanita dan remaja untuk mencuba vape.  

Situasi ini menjadi lebih membimbangkan apabila penggunaan vape mula meningkat dalam kalangan kanak-kanak. Reka bentuk seperti USB dan jam tangan membolehkan vape mudah diseludup ke dalam kawasan sekolah serta menyukarkan pihak sekolah untuk mengesannya.   

Tambahan pula, cecair vape yang hadir dalam pelbagai perisa dan penampilan botol yang berwarna-warni bukan sahaja menarik perhatian orang dewasa, malah juga golongan remaja dan kanak-kanak. 

Antara faktor lain yang menyebabkan peningkatan penggunaan vape adalah terdapat pelbagai dakwaan oleh golongan penjual dan pengguna vape tentang kebaikan vape. Vape didakwa sebagai pengganti rokok, bebas daripada bahan kimia dan nikotin, tidak menyebabkan ketagihan dan selamat untuk digunakan. Selain itu, terdapat juga dakwaan seperti vape lebih jimat daripada rokok kerana harga rokok semakin mahal. Namun, adakah dakwaan-dakwaan ini benar? 

Fakta Berkaitan Vape 

Vape yang terdapat dalam pasaran terdiri daripada campuran cecair khas yang digunakan untuk menghasilkan wap cecair seakan-akan asap. Cecair khas tersebut biasanya mengandungi bahan-bahan seperti glycerin dan propylene glycol. Selain itu, bahan pewarna, perisa dan juga nikotin turut dicampurkan ke dalam sesetengah jenis cecair vape. 

Cecair tersebut akan dipanaskan dengan menggunakan elemen pemanas dalam alat vape, seterusnya menghasilkan wap cecair untuk disedut. Namun, kandungan cecair dalam vape ini dikhuatiri berpotensi untuk membawa kemudaratan kepada kesihatan pengguna terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kerana sedutan wap cecair dengan isi kandungan dalam cecair vape boleh mengganggu fungsi paru-paru manusia dalam pertukaran gas. 

Bagi peranti yang mengandungi nikotin, sudah tentu kesannya adalah sama dengan menggunakan rokok termasuk menyebabkan ketagihan. Insiden pengambilan dos nikotin yang berlebihan boleh berlaku akibat penggunaan vape yang mengandungi nikotin kerana cecair nikotin yang disediakan tidak dipantau selia kepekatan dan kekuatannya.  

Adakah Vape Selamat Untuk Kanak-Kanak? 

Fenomena penggunaan vape ini telah menjadi satu ikutan anak muda dan golongan kanak-kanak. Hal ini amat membimbangkan kerana ia bertentangan dengan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015-2020 yang mana visinya adalah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok menjelang tahun 2045. 

Tabiat menghisap vape dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya murid-murid sekolah merupakan gejala yang menggusarkan para guru dan ibu bapa. Tambahan pula, cecair vape yang mengandungi nikotin bukan sahaja boleh menyebabkan ketagihan, malah boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak apabila dos nikotin yang berlebihan diambil.  

Pelbagai perisa dan pewarna dalam cecair vape akan menarik kanak-kanak untuk cuba menghisap vape. Keadaan ini juga dikhuatiri akan membuka gerbang kepada percubaan bahan-bahan ketagihan lain seperti rokok, bahan hidu perangsang seperti gam dan juga dadah berbahaya.  

Cara Berhenti Merokok 

Perokok yang ingin berhenti merokok dinasihati untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor dan ahli farmasi yang bertauliah. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di hospital dan kebanyakkan klinik kesihatan kerajaan. Klinik Berhenti Merokok ini biasanya dianggotai oleh pasukan yang terdiri daripada doktor, ahli farmasi, penolong pegawai perubatan, dan jururawat.  

Maklumat berkaitan dengan panduan dan tip untuk berhenti merokok akan diberikan kepada perokok melalui sesi kaunseling oleh doktor dan ahli farmasi. Dalam keadaan tertentu, doktor akan memberi ubat bagi membantu seseorang itu mengawal gejala ketagihan dan berhenti merokok secara berperingkat. 

Ibu bapa dinasihati untuk memantau anak-anak mereka kerana peranti-peranti vape ini boleh datang dalam pelbagai jenis bentuk dan saiz. Pemantauan yang berterusan dapat menghindarkan kanak-kanak dan remaja daripada mengikuti budaya vape yang boleh menyebabkan mereka terjebak dengan pelbagai masalah ketagihan bahan-bahan terlarang pada masa depan.  

Bagi perokok, dapatkan bantuan daripada ahli profesional kesihatan sekiranya anda ingin berhenti merokok. Ahli profesional kesihatan yang bertugas di Klinik Berhenti Merokok terlatih dalam pengurusan dan rawatan tabiat ketagihan berbanding penjual vape yang tidak mempunyai sebarang latihan atau pentauliahan. 

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, sila hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre- NPCC) melalui talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum.

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

HUBUNGI KAMI

PROGRAM PERKHIDMATAN FARMASI
LOT 36, JALAN UNIVERSITI, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

PUSAT PANGGILAN FARMASI KEBANGSAAN (NPCC)

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2019 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman