Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

7 Julai 2019

Pembelian secara dalam talian bukanlah suatu perkara yang asing lagi di Malaysia.  Kajian yang telah dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2018 menunjukkan bahawa 53.3% daripada pengguna internet menjalankan aktiviti membeli-belah secara dalam talian.   
 
Faktor yang menyumbang kepada amalan membeli-belah secara dalam talian ini adalah kerana ia jauh lebih mudah, tidak membebankan dan lebih menjimatkan masa. Trend pembelian sebegini tidak terhad kepada barang keperluan diri dan makanan sahaja, malah orang ramai juga gemar mendapatkan produk farmaseutikal melalui platform ini.  
 
Sungguhpun begitu, tanpa kita sedari bahawa pembelian produk dalam talian sebenarnya juga mempunyai risiko dan bahayanya. Ini adalah kerana  status sebenar sesuatu produk yang ditawarkan dan identiti penjual tidak dapat disahkan. Pembeli sering terdedah kepada risiko tertipu dan penyalahgunaan indikasi produk farmaseutikal. 
 
Di Malaysia, terdapat lambakan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang mengandungi bahan terlarang yang dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, KKM juga mendapati bahawa terdapat iklan produk farmaseutikal yang tidak mendapat kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU).   
 
Sebahagian daripada penjual produk farmaseutikal dalam talian mempromosikan produk mereka dengan memaparkan testimoni dan tuntutan perubatan yang sengaja direka tanpa asas atau tanpa bukti saintifik yang kuat bagi tujuan melariskan produk yang dijual. Akibatnya, pengguna sering kali menjadi mangsa kepada pembelian produk farmaseutikal yang tidak berdaftar yang mana aspek keselamatan penggunaannya adalah tidak dijamin dan ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini kepada pengguna.  

Bagi memastikan keselamatan orang awam, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah mengambil pelbagai inisiatif dalam usaha membasmi penjualan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar atau mengandungi bahan terlarang dalam talian. Tindakan yang diambil oleh KKM ke atas penjualan dalam talian ini adalah menjalankan saringan laman sesawang internet termasuk platform seperti blogspot, media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter; serbuan dan pemeriksaan di pintu-pintu masuk utama negara.  

Notifikasi akan dikeluarkan kepada pemilik laman e-dagang agar tindakan diambil ke atas penjual yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar atau mengandungi bahan terlarang. Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dengan kerjasama SKMM akan menyekat mana-mana laman sesawang yang didapati menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar atau mengandungi bahan terlarang.  

Selain itu, bahagian ini juga membuat aduan kepada pihak Facebook dan Google untuk menyekat akaun penjual yang menggunakan platform ini untuk aktiviti jualan produk farmaseutikal yang menyalahi undang-undang. Penjualan produk farmaseutikal dalam talian ini boleh dibasmi melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang.  
 
Kebiasaannya, penjual hanya akan menyatakan perkara yang baik sahaja berkaitan produk yang dijual melalui internet. Oleh demikian, sebagai pengguna yang bijak, jangan mudah terpedaya dengan helah penjual produk yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira kesan buruk yang mungkin berlaku kepada pengguna.   

Oleh yang demikian, berikut adalah tip yang boleh membantu orang ramai semasa membuat pembelian produk farmaseutikal secara dalam talian: 

  • Elakkan daripada percaya kepada iklan yang mempunyai tuntutan melampau seperti ‘boleh menyembuhkan semua penyakit’.
  • Semak kandungan produk sebelum membeli.  
  • Mendapat maklumat daripada sumber yang sah seperti doktor atau ahli farmasi yang bertauliah.  
  • Pastikan produk yang dijual melalui internet berdaftar dengan KKM. Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk melalui laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my) atau laman sesawang Program Perkhidmatan Farmasi (www.pharmacy.gov.my).
  • Pastikan iklan ubat mempunyai nombor KKLIU yang telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat. Iklan ubat yang telah mendapat kelulusan Lembaga Iklan Ubat telah dinilai dari segi fakta dan tuntutan perubatannya.  


Orang awam boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan penjualan produk farmaseutikal melalui internet yang meragukan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui talian 03-78413200 atau Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di negeri masing-masing agar tindakan sewajarnya dapat diambil oleh KKM bagi membanteras penjualan produk yang meragukan melalui internet. 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman